Doa tawassul dalam khutbah

Doa yang biasa kita dengar dalam khutbah jumaat di sekitar Selangor :

اللهم إنا نسألك و نتوسل إليك بنبيك الأمين ونتوسل بأسمائك الحسنى وصفاتك العلى……

Ertinya : “Ya Allah Ya Tuhan kami kami bermohon kepadaMu dan bertawassul kepadaMu dengan NabiMu yang bersifat amanah dan kami bertawassul dengan nama-nama baikMu dan sifat-sifat tinggiMu….”

Barangkali bagi sesiapa yang tidak memahami maksud atau erti doa ini, mereka menganggap ia hanyalah satu doa yang biasa. Bahkan jika orang yang memahami maksudnya pun, dan berpendapat bahawa tawassul dengan zat seseorang adalah satu perkara yang harus nescaya baginya ia satu perkara biasa.

Namun, pada pandangan penulis, sepatutnya jika mereka berpandangan bahawa tawassul dengan zat seseorang itu harus, lebih baik diubah sedikit doa tersebut supaya khatib mendahulukan bertawassul dengan asma’ul husna. Doanya jadi seperti ini :

اللهم إنا نسألك ونتوسل إليك بأسماءك الحسنى وصفاتك العلى وبنبيك الأمين

Ertinya : “Ya Allah Ya Tuhan kami kami bermohon kepadaMu dan bertawassul kepadaMu kami bertawassul dengan nama-nama baikMu dan sifat-sifat tinggiMu dan dengan NabiMu yang bersifat amanah….”

Di sini, kita mendahulukan tawassul dengan nama-nama dan sifat Allah Taala daripada tawassul dengan zat Nabi s.a.w. Ini sekiranya mereka masih ingin berpegang dengan pendapat yang menyatakan keharusan tawassul dengan zat makhluk.

Manakala dari sudut perbincangan ilmiyyah pula, kita perlu menilai kembali adakah tawassul cara ini diharuskan atau tidak? Tawassul berasal dari perkataan wasilah. Wasilah ialah sesuatu yang digunakan untuk mendekatkan diri kepada orang lain. Dari segi syarak, tawassul ialah taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan beribadat kepadaNya serta mengikut para Nabi dan Rasul termasuk juga dengan melakukan segala amalan yang disukai Allah Taala.

Bila kita membicarakan tentang tawassul, maka kita perlu menilai hukumnya melalui kaca mata syarak agar kita mengetahui yang mana tawassul syariyy dan yang mana tawassul tidak syar’iyy. Sebenarnya tawassul yang disyariatkan dan ijmak ulama menerimanya sebagai tawassul adalah dalam tiga bentuk.

Pertama : Tawassul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya. Firman Allah (al-A’raf 180)
ولله الأسماء الحسنى فادعوه بها
Maksudnya : “Dan bagi Allah itu nama-nama yang banik maka berdoalah dengannya (tawassul dengan nama-nama Allah)”.
Contohnya kita berdoa : “Ya Allah, kami bermohon dengan nama-nama baikmu agar engkau ampunkan dosa kami”.

Kedua : Tawassul kepada Allah dengan amalan soleh yang dilakukan. Seperti seseorang bertawassul dengan keimanannya kepada Allah. Ini diajar dalam al-Qur’an al-Karim (Ali Imran : 16)
ربنا إننا آمنا فاغفر لنا ذنوبنا وقنا عذاب النار
Maksudnya : “Yang tuhan kami, sesungguhnya kami beriman kepadaMu maka ampunkanlah segala dosa kamu dan selamatkan kami dari azab api neraka”.

Di sini disebutkan dahulu amalan keimanan mereka kemudian baru diminta ampunkan dosa. Bahkan sabit dalam hadis sahih kisah tiga orang Bani Israel yang terperangkap dalam gua, mereka berdoa dengan bertawassul dengan amalan masing-masing lantas Allah menyelamatkan mereka. (Rujuk riyad al-Salihin)

Ketiga : Tawassul kepada Allah dengan doa orang yang soleh atau dengan doa saudaranya. Firman Allah Taala dalam surah Yusuf (97-98):

قالوا يا أبانا استغفر لنا ذنوبنا إنا كنا خطئين . قال سوف أستغفر لكم ربي إنه هو الغفور الرحيم

Maksudnya : “ Mereka berkata: “Wahai ayah kami! mintalah ampun bagi Kami akan dosa-dosa kami; Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Yang bersalah”. Nabi Yaakub berkata: “Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Ayat ini menunjukkan mereka meminta Nabi Yaakub berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa-dosa mereka.

Ketiga-tiga tawassul berkenaan ialah tawassul yang disepakati oleh semua ulama. Manakala selainnya, masih lagi dalam kategori khilaf. Adakah wajar kita amalkan perkara yang diperselisihkan, tetapi dalam masa yang sama kita meninggalkan perkara atau hukum yang disepakati ulama? Justeru, saya tegaskan di sini, lebih baik diamalkan perkara yang sudah jelas hukumnya dan sudah diterima oleh ulama. Mengapa kita perlu bersusah payah berdoa dengan tawassul yang diperselisihkan tentang hukumnya sama ada harus atau haram, syar’iyy atau bid’ah. Wallahualam.

7 responses to “Doa tawassul dalam khutbah

  1. Semoga penerangan ini dapat meluaskan lagi usaha tashfiyyah di dalam masyarakat Islam di Malaysia. Malahan, kadangkala kita dapat mengetahui manhaj beragama seseorang khatib menerusi pembacaan doa tawasul di atas. Sama ada dia membaca tawasul kepada zat nabi atau tidak.

    Semoga usaha dakwah ini dapat dimanfaatkan oleh ummat.

  2. “Adakah wajar kita amalkan perkara yang diperselisihkan, tetapi dalam masa yang sama kita meninggalkan perkara atau hukum yang disepakati ulama?”

    Ulama mana yg anta maksudkan disini? Ijmak Ulama ASWJ (Asya’irah dan Maturidiyah) mengharuskan tawassul bakan tawassul amalan para sahabat nabi SAW. Hanyalah Ulama Wahabi/Mujassimah/ Musyabbihah ikutan Ibnu Taimiyah yg sememangnya Musyabbihah. Cuba paste scan kitab ulama wahabi yg kata haram tu meh nak tgk

    • Assalamualaikum sheikh ibnhajar,
      1. Semua ulama telah bersepakat bahawa ketiga2 tawassul yang ana maksudkan itu diharuskan dan menjadi satu tawassul yang disyariatkan. Hatta ulama Wahabi yang akhi maksudkan juga menerima tawassul tersebut. Justeru ia tiada khilaf dalam masalah ini.
      2. Banyak kitab2 yang anta boleh rujuk berkenaan masalah tawassul ini. Anta boleh dapatkan di Perpustakaan atau mana-mana web yang ada buku yang discan dalam bentuk pdf. Cuma tuduhan bahawa Ibn Taimiah adalah musyabbihah amat keterlaluan. Mengapa dituduh sebegitu rupa? Apakah maskud anta dengan Wahabi?Musyabbihah?Mujassimah? Bagaimana pula anta menyatakan Musyabbihah ikutan Ibn Taimiah?

      terima kasih atas pandangan yang dilontarkan

  3. Assalamualaikum ustaz… disini ana nak tanya bagaimanakah penyelewengan umat Islam pada hari ini dalam bertawassur. wassalam

  4. Assalamualaikum Wrth Wbth.

    Tawassul tidak pernah ada perselisihan. Jika pertuduhan sesat lagi menyesatkan tu adalah. Makanya Tawassul merupakan sesuatu yang dituntut di dalam agama bukan di selisihkan.

    Sedemikian sayugialah kita sama-sama bertawassul baik dengan orang hidup mahupun orang yang mati. Mereka yang menolak atau mendatangkan perselisihan bertawassul dengan orang yang mati telah difatwakan syirk khofi. Rujuk fatwa syed syeikh ahmad zaini dahlan. Sebenarnya perselisihan ulama aswj tidak pernah berlaku di dlam bab bertawassul

Tinggalkan komen