Monthly Archives: Julai 2008

semangat belajar

Kadang-kala kita merasa malas..kadang kala kita merasa rajin…..kadang kala kita merasa lemah semangat…..kadang kala kita merasa boring…kadang kala kita merasa bersemangat….begitulah situasi perasaan mereka yang menuntut ilmu. Saya pasti setiap orang yang menuntut ilmi pernah melalui perasaan seperti itu. Bagi mereka yang baru menjejakkan kaki ke alam kampus, kebanyakan mereka pasti berkobar-kobar ingin menuntut ilmu. Semangat dan niat murni ini ibarat api yang menyala terang benderang. Akan tetapi, jika tidak dijaga dan dikawal, api tersebut mungkin boleh terpadam jika ditiup angin kencang. Api tersebut mungkin menjadi malap jika tidak disokong oleh minyak yang merangsang api tersebut.

            Sesi baru bagi pelajar universiti baru sahaja bermula dua minggu lepas. Sudah pasti kita seronok melihat gelagat pelajar baru tahun satu yang datang. Mereka mula cuba menyesuaikan diri dengan keadaan di universiti. Kita boleh lihat dari riak wajah mereka betapa semangat dan murni niat mereka, ingin menuntut ilmu. Namun, apakah semangat ini akan berterusan sehingga akhir tahun? Atau adakah akan berterusan sehingga mereka menjadi graduan? Adakah semangat  ini akan berhenti selepas tamat semester ini?

            Semangat untuk belajar wajar dipelihara dan dijaga, agar tidak luntur dan hilang begitu sahaja. Menuntut ilmu perlukan kesabaran dan ketabahan. Seorang penyair Arab pernah berkata :

لا تحسب المجد تمرة أنت آكله        لن تبلغ المجد حتى تلعق الصبر

Maksudnya : “Janganlah kamu menyangka kemulian itu umpama buah tamar yang kamu memakannya, kamu tidak akan mencapai kemuliaan sehingga kamu menjilat pokok sobir (yang pahit).

Penyair ini mengumpamakan sabar seperti pokok sobir yang sangat pahit. Kejayaan dan kemulian bukan seperti buah tamar yang sangat manis boleh dimakan. Tetapi ia adalah pahit, bermakna walaupun pahit kita mesti sabar menelannya kerana ingin mencapai matlamat.

Menuntut ilmu memerlukan kepada kesungguhan dan usaha yang jitu. Seorang pelajar tidak boleh hanya menggoyangkan kaki menunggu ilmu datang kepadanya. Imam al-Bukhari pernah berkata :

العلم لا يأتي وإنما يؤتى إليه

“Ilmu itu tidak akan datang kepada kita, tetapi di datangi kepadanya”

 

            Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa memperbaharui semangat dan perlu mencurahkan usaha lebih untuk mendapatkan ilmu. Mudah-mudahan semua penuntut ilmu mendapat semangat yang baru setiap hari untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Tidak boleh ingkar masalah ijtihad

 

Kaedah fiqhiyyah menyebut :

لا ينكرالمختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه

Ertinya : Tidak diboleh diingkari perkara khilaf, tetapi hanya boleh diingkari perkara yang ijmak

 

Maknanya ialah jika ada perkara yang berlaku perselisihan pendapat, dan perkara itu termasuk dalam masalah khilaf, maka kita tidak boleh mengingkari orang yang berlainan pendapat dengan kita. Sebaliknya jika masalah yang diperselisihkan adalah masalah ijmak, maka boleh diingkari mereka yang berlainan pendapat daripada kita.

 

Apakah maksud sebenar kaedah ini?

 

Maksud kaedah ini ialah apabila sesuatu permasalahan itu termasuk dalam masalah ijtihadiyyah yang diharuskan khilaf padanya, maka seseorang itu tidak boleh mengingkari sesiapa yang bercanggahan pendapat dengannya dalam masalah tersebut.

 

Pengingkaran dalam masalah ijtihadiyyah boleh berlaku selepas menjelaskan dalil, hujah dan bukti. Itu pun dibolehkan tanpa melabelkan seseorang yang bercanggahan pendapat dengannya sebagai fasiq, berdosa, ahli bid’ah lebih-lebih lagi tanpa menuduhnya kafir.

 

Untuk mengenali masalah ijtihadiyyah ialah masalah yang tidak ada nas qat’iyy atau ijmak., termasuk masalah yang wujud nas, akan tetapi nas yang masih membawa ihtimal takwilan lain.

 

Maka hukum tidak boleh mengingkari masalah ijtihadiyyah hanya khusus untuk masalah-masalah ini.

 

Manakala masalah yang tidak menerima ijtihad iaitu masalah yang ada ijmak dan nas qat’ii padanya, maka mereka yang menyalahi hukum tersebut hendaklah diingkari perbuatannya dan dihukumkan sebagai orang yang salah. Bahkan mungkin boleh dituduh sebagai fasiq, ahli bid’ah atau kafir dengan mengambil kira syarat-syarat yang muktabar untuk menghukumkan seseorang secara khusus.

 

Oleh itu, kita hendaklah mengawasi agar tidak mencampur adukkan masalah ijtihadiyyah dan masalah bukan ijtihadiyyah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqi’in (3/288).

 

Antara contoh masalah ijtihadiyyah ialah hadis

Maksudnya : “Tidak melakukan solat asar seseorang daripada kamu kecuali di Bani Quraizah”.

Ada sebahagian sahabat bersembahyang ditengah jalan, dan ada yang bersembahyang apabila sampai di perkampungan Bani Quraizah.

Maka Nabi  s.a.w tidak mencela kedua-dua golongan sahabat Nabi.

 

Antara contoh masalah qat’i ialah masalah pasukan pemanah yang menyalahi arahan Nabi agar tidak turun dari bukit Uhud ketika peperangan Uhud. Wallahualam

Puasa Jumaat 1 Rejab

Soalan :

Ustaz, saya nak tanya hukum berpuasa hari jumaat sunat 1 rejab?

Jawapan :

Terdapat larangan Nabi daripada berpuasa hari jumaat. Jumhur ulama mengatakan hukumnya makruh kecuali jika berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya. Atau jika mengenai adat puasa sunatnya, atau mengenai puasa sunat lain seperti sunat hari Arafah dan Asyura. Maka ketika itu tidak makruh, bahkan sunat.

Sabda Nabi s.a.w.

لا يصومن أحدكم يوم الجمعة إلا أن يصوم يوماً قبله أو يوماً بعده

Maksudnya : “Tidak berpuasa seorang kamu akan hari jumaat kecuali ia berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya”.

Dalam hadis lain Nabi bersabda :

لا تخصوا يوم الجمعة بصيام ولا ليلتها بقيام

Maksudnya ; “Jangan kamu mengkhususkan hari dan malam Jumaat dengan ibadat puasa atau sembahyang”.

Manakala puasa bulan Rejab pula, tiada hadis sahih meriwayatkan kelebihan berpuasa dalam bulan tersebut. Kata Ibn Hajar al-Asqalani : “Tidak datang satu pun hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan rejab, sama ada berkaitan puasa dalamnya, puasa sebahagian hari tertentu daripadanya, atau melakukan qiyamullail khusus pada malam harinya…” (Tabyin al-Ujab Fima warada Fi Fadl al-Rajab, hlm 6)

Kata beliau lagi : “Adapun hadis-hadis yang datang tentang kelebihan bulan Rejab atau kelebihan berpuasa bulan tersebut atau berpuasa hari tertentu daripadanya secara soreh (jelas) terbahagi kepada dua jenis. Pertama, hadis dhaif, kedua mawduk (rekaan). Dan kami mendatangkan hadis-hadis dhaif dan kami tunjukkan hadis-hadis mawduk secara pemahaman. (Tabyin al-Ujab Fima warada Fi Fadl al-Rajab, hlm 8)

Oleh kerana tidak ada hadis yang sahih berkenaan puasa bulan Rejab, ia bukan bermakna tidak boleh berpuasa sunat pada bulan Rejab. Ia boleh dilakukan sekiranya termasuk dalam dalil sunat umum seperti sunat puasa hari Isnin dan Khamis, tiga hari setiap bulan (bulan penuh), atau puasa selang seli.

Puasa yang dilarang ialah :

1) sekiranya dikhususkan setiap tahun mengikut fahaman orang awam seolah-olah ia menjadi fardhu seperti Ramadhan.

2) Dilarang apabila diiktikad puasa Rejab sunat dan sabit seperti sunat lain.

3) Dilarang apabila ada iktikad bahawa puasa dikhususkan pada bulan Rejab kerana ada kelebihan pahala dalamnya.

Oleh itu, lebih baik ditinggalkan perkara yang diragukan. Lakukanlah puasa sunat yang sabit dengan hadis sahih seperti puasa hari isnin dan khamis dan sebagainya. Wallahualam.