Monthly Archives: Jun 2008

Islam Hadhari beri kesan negatif

MUFTI Perlis, Dr Mohd Asri tetap mempertahankan prinsipnya sebelum ini yang menolak jenama Islam Hadhari.

Ketika diajukan isu pengharaman Islam Hadhari yang telah diusulkan oleh Kerajaan Selangor baru-baru ini, beliau berpendapat Datuk Seri Abdullah Badawi perlu akur bahawa jenama Islam Hadhari telah memberi kesan negatif di atas apa pun alasan yang diberikan oleh penyokong-penyokong jenama tersebut.

“Walaupun saya tolak jenama Islam Hadhari tapi saya pertahankan isi kandungannya yang bagus. Pak Lah sepatutnya tidak mendengar hujah yang diberikan oleh penyokong-penyokong jenama Islam Hadhari,” katanya.

Antara kelemahan Islam Hadhari ini ialah adanya lambakan hiburan yang berlebihan dan menyusahkan masyarakat Islam.

“Saya bukan anti hiburan. Cuma hiburan tidak boleh berlebihan kerana generasi muda tidak ada tumpuan terhadap tanggungjawab dan nilai-nilai patriotik, negara dan bangsa.

“Nilai-nilai ini perlu dipertahankan kerana saya lihat remaja lain tidak begitu dan longgokan hiburan ini hanya pada orang Melayu saja,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dr. Asri antara yang lantang memberi pandangannya tentang Islam Hadhari.

“Istilah Islam Hadhari telah mengelirukan banyak pihak walaupun isi kandungannya baik. Malangnya, perlaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diwar-warkan.

Beliau mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ Islam Hadhari supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam Hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu.

Susulan itu, Dr Asri juga pernah membuat kenyataan supaya dibuang saja namanya tapi makan isinya seperti kueh tahi itik di Kelantan – “tak perlu panggil tahi itek, cuma makan sudahlah”.

“Jangan silap faham, saya pertahankan inti kandungan Islam Hadhari,” katanya.

sumber : http://drmaza.com/?p=330

al-Sabiqun al-Awwalun

Soalan :

Adakah benar orang yang awal memeluk Islam dari kalangan fakir miskin dan hamba abdi?

Jawapan :

Dakwah Nabi s.a.w. melalui beberapa peringkat. Peringkat pertama ialah dakwah secara sirr (sembunyi). Dakwah Nabi s.a.w. pada tahap ini bergerak di kalangan mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan baginda seperti isteri-isteri baginda, anak-anak, hamba dan sahabat-sahabat rapat. Antara mereka yang awal menerima dakwah atau awal memeluk Islam ialah :

  1. Khadijah binti Khuwailid
  2. Ali bin Abi Talib
  3. Zaid bin Harithah
  4. Abu Bakar al-Siddiq
  5. Uthman bin Affan
  6. al-Zubair bin al-Awwam
  7. Talhah bin Ubaidillah
  8. Saad bin Abi Waqqas
  9. Abd Rahman bin Auf
  10. Uthaman bin Maz’un
  11. Abu Ubaidah bin al-Jarrah
  12. Abu Salamah bin Abd al-Asad
  13. al-Arqam bin Abi al-Arqam
  14. Bilal bin Rabah
  15. Suhaib bin Sinan
  16. Ammar bin Yasir
  17. Yasir
  18. Sumayyah binti Khabat
  19. Waraqah bin Naufal

Jelas antara nama-nama yang disebutkan mereka adalah kalangan orang yang terpilih dan mulia. Apa yang disebutkan tentang kebanyakan mereka yang awal memeluk Islam ialah kalangan fakir miskin, orang-orang lemah (dua’fa’) dan hamba abdi yang ingin mencari kemerdekaan adalah kurang tepat.

Pendapat yang tepat ialah mereka yang menanggung penyeksaan yang banyak kerana memeluk Islam ialah golongan hamba abdi. Mereka diseksa di hadapan khalayak ramai. Oleh itu, cerita mereka tersebar sedangkan golongan lain dilindungi oleh kabilah mereka. Ada kalangan mereka juga hanya diseksa dalam lingkungan kabilah mereka. Oleh sebab itu, cerita mereka kurang tersebar dan tidak disebutkan. (Salih Ahmad al-Shami, Min Ma’in al-Sirah, al-Maktab al-Islami, Beirut, hlm 35-36).

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud katanya : “Mereka yang awal menzahirkan Islam tujuh orang iaitu : Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, Ammar, ibunya Sumayyah, Suhaib, Bilal dan al-Miqdad. Adapun Rasulullah s.a.w., Allah Taala melindunginya melalui bapa saudaranya, adapun Abu Bakar, Allah melindunginya melalui kaumnya, manakala yang lain diseksa oleh orang musyrikin dengan dipakaikan baju besi dan dijemur di tengah terik matahari..”

Ibn Hajar (Fath al-Bari 1/35-36) menjelaskan makna kalimah “الضعفاء” dan “ألشرفاء” yang disebut dalam hadis Hiraql dengan Abu Sufyan. “الضعفاء” ialah pengikut para rasul biasanya orang yang merendah diri (ahl al-istikanah) bukan orang yang sombong (ahl al-istikbar) dan sentiasa menentang secara melampau serta hasad seperti Abu Jahal dan pengikutnya. Makna lafaz “الشرفاء” atau al-sharaf ialah yang seerti dengan takabbur. Dan ini adalah tafsir yang sepatutnya kita fahami berkenaan perkataan al-dua’afa’ dan al-shurafa’.

Begitu juga, bilangan yang awal memeluk Islam ialah 67 orang dan hanya 13 orang adalah golongon fakir miskin, mustad’afin, hamba abdi, dan orang ajam. Mereka hanya sekadar 1/5 daripada jumlah kesemua al-sabiqun al-awwalun. Maka mereka bukan golongan terbanyak atau kebanyakan dari kumpulan al-sabiqun al-awwalun. (Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad, al-Sirah al-Nabawiyyah fi Daw’ al-Masadir al-Asliyyah, hlm 161)

Larangan kawin kepada Sayyidina Ali

Apakah benar Sayyidina Ali ingin berkahwin dengan anak perempuan Abu Jahal lalu nabi melarangnya. Kalau nak kawin jugak kena ceraikan fatimah. Benarkah hadis ini dan kenapa Nabi melarang?

 

Jawapan :

Hadis yang disebutkan adalah dalam sahih al-Bukhari :

‏ ‏ ‏عن ‏ ‏المسور بن مخرمة ‏ قال سمعت رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يقول وهو على المنبر إن ‏ ‏بني هشام بن المغيرة ‏ ‏استأذنوا في أن ينكحوا ‏ ‏ابنتهم ‏ ‏علي بن أبي طالب ‏ ‏فلا آذن ثم لا آذن ثم لا آذن إلا أن يريد ‏ ‏ابن أبي طالب ‏ ‏أن يطلق ابنتي وينكح ابنتهم ‏ ‏فإنما هي بضعة مني ‏ ‏يريبني ‏ ‏ما أرابها ويؤذيني ما آذاها هكذا قال

Maksudnya : “Dari al-Miswar bin Makhramah katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda sedang baginda berada di atas minbar : “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin dariku untuk mengahwinkan anak perempuan mereka dengan Ali bin Abi Talib. Lantas aku tidak mengizinkannya kemudian aku tidak mengizinkannya kemudian aku tidak mengizinkannya kecuali jika anak Abi Talib menceraikan anak perempuanku dan mengahwini anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia adalah sebahagian dari diriku, meragui diri aku apa yang meraguinya dan menyakitiku apa yang menyakitinya”. Demikianlah ia berkata.

 

Nabi melarang Ali mengahwini anak perempuan Abu Jahal kerana ia menyakiti Nabi s.a.w. dan menyakiti nabi adalah perkara yang dilarang. Menurut Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (15/38) :

وزاد في رواية الزهري ” وإني لست أحرم حلالا , ولا أحلل حراما , ولكن والله لا تجمع بنت رسول الله وبنت عدو الله عند رجل أبدا ” وفي رواية مسلم ” مكانا واحدا أبدا ” وفي رواية شعيب ” عند رجل واحد أبدا ” قال ابن التين : أصح ما تحمل عليه هذه القصة أن النبي صلى الله عليه وسلم حرم على علي أن يجمع بين ابنته وبين ابنة أبي جهل لأنه علل بأن ذلك يؤذيه وأذيته حرام بالاتفاق ,

 

Maksudnya : “Dan ditambah dalam riwayat al-Zuhri sabda Nabi : “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, tetapi demi Allah tidak akan berhimpun anak perempuan Rasulullah dengan anak perempuan musuh Allah di sisi seorang lelaki selamanya”. Dalam riwayat Muslim : “satu tempat selamanya”. Dalam riawayat Syuaib : “di sisi seorang lelaki selamanya”. Ibn al-Tin bekata : “Paling tepat ditanggung kisah ini ialah Nabi s.a.w mengharamkan ke atas Ali memadukan (menghimpun) anak perempuannya (Fatimah) dengan anak perempuan Abu Jahal kerana Nabi menyebut sebabnya ialah ia menyakitinya dan menyakiti Rasulullah s.a.w adalah haram dengan sepakat ulama”.

 

Kata Ibn Hajar : “Dan yang zahir bagi saya ialah tidak jauh kalau dikatakan ia termasuk dalam khasa’is Nabi s.a.w. bahawa anak perempuannya tidak boleh dimadukan dan boleh jadi juga ia adalah khasa’is Fatimah.

Untuk keterangan lebih lanjut sila lihat Fath al-Bari karangan Ibn Hajar al-Asqalani.

Islam dan konvensional sama?

“Sama saja, Islamic atau konvensional, yang beza akad je” kata-kata seorang staff sebuah bank di Cheras. Dalam hati saya rasa nak membalas balik dengan sindiran pedas, “sama ke kalau kita kawin atau tak kawin, semuanya dapat anak”? atau “sama ke kalau kita makan ayam disembelih dengan ayam yang ditembak?

Beginilah kelemahan kerani-kerani bank di tanahair kita. Saya maksudkan kerani yang beragama Islam. Pengalaman semalam ketika saya berurusan dengan mereka untuk mendapat pembiayaan kereta membuatkan saya terfikir sekali lagi betapa lemahnya pemahaman dan pemikiran masyarakat Islam berkenaan perbankan Islam. Tanggapan mereka, bank Islam atau bukan Islam adalah sama sahaja. Apakah kita boleh menyamakan antara Islam dan kufur? Adakah sama antara riba dan jual beli? Orang yang menyamakan antara riba dan jual beli telah disifatkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah : 275. Firman Allah s.w.t :

 

Maksudnya : “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang Yang dirasuk Syaitan Dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba”.

 

            Tanggapan dan sikap masyarakat perlu diperbetulkan dari sekarang. Bagaimana kita mahu memajukan perbankan Islam kalau orang Islam sendiri yang mengatakan sama antara perbankan Islam dengan konvensional. Mereka tidak mengutamakan perbankan Islam. Sudah 2 minggu saya menanti kelulusan pihak bank untuk meluluskan pembiayaan bagi pembelian kereta. Tiba-tiba semalam, mereka tersalah meluluskan pembiayaan konvensional. Bila saya kata saya nak kepada Islamic, jawapan yang terkeluar dari mulut seorang staff yang muslim, “sama saja, Islamic atau konvensional”.

 

Di sinilah kita dapat meihat antara perkara yang menghambat usaha memajukan perbankan Islam. Pemahaman masyarakat terutamakan pegawai perbankan (bankers) amat cetek dan tidak dapat membezakan antara Islam dan konvensional. Ini kemungkinan kerana permulaan sistem perbankan Islam terbina dalam kerangka besar sistem ekonomi dan kewangan konvensional yang telah lama diamalkan di Malaysia. Perbankan konvensional sudah bertapak kukuh dan diterima dengan meluas di kalangan rakyat termasuk umat Islam. Di samping wujud kesan daripada penjajahan dan faktor-faktor lain, pegangan umat Islam terhadap agamanya masih longgar dan pemikiran majoriti mereka terhadap halal haram terbatas dalam soal makanan dan minuman sahaja.

 

Mudah-mudahan umat Islam diberi pendedahan yang meluas berkenaan perbankan Islam. Dan yang paling utama perlu ditekankan aspek rohani, iaitu kecenderungan kepada mengamalkan setiap ajaran Islam. Bukan hanya melihat aspek keuntungan atau wang ringgit.

 

hadis ke 4 dan 5

Hadis Keempat :

وعن عائشة رضي الله عنها قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يغتسل من أربع : من الجنابة ويوم الجمعة ومن الحجامة ومن غسل الميت (رواه أبو داود وصححه ابن خزيمة)

Maksudnya ; “Daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. mandi kerana empat perkara : kerana junub, hari jumaat, berbekam dan kerana memandikan mayat”. Hadis riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Khuzaimah.

Sekitar riwayat Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan juga Ahmad serta al-Baihaqi. Dalam isnad hadis ini ada Mus’ab bin Shaibah dan ada maqal padanya.

Pengajaran hadis

Hadis ini menunjukkan pensyariatan mandi dalam empat keadaan :

  1. Mandi kerana junub. Kewajipannya jelas sepertimana hadis lalu.
  2. Mandi Jumaat. Ada khilaf di kalangan ulama dari segi hukum dan waktu mandi.

Hukum : di sana ada dua pendapat :

Jumhur : Sunat

Dalil : Hadis Samurah bin Jundab :

من توضأ يوم الجمعة فبها ونعمت و من اغتسل فالغسل أفضل

Ertinya : “Barangsiapa yang mengambil wuduk maka ia mengenai sunnah dan sebaik-baik sunnah. Dan barangsiapa yang mandi, maka mandi lebih afdhal”.

Daud : Wajib

Dalil : Hadis :

غسل الجمعة واجب على كل محتلم

Ertinya ; “Mandi Jumaat wajib ke atas setiap orang yang baligh”.

Dalil di dijawab : bahawa wajib ditanggung atas maksud sunnat yang sangat dituntut.

  1. Mandi kerana berbekam.

Hukum : Sunat berdasarkan hadis Anas bahawa Nabi s.a.w. berbekam lalu solat dan nabi tidak berwuduk.

  1. Mandi kerana sebab mandi mayat.

Ada 3 pandangan, wajib, tidak sunat dan sunat. Yang paling hampir ialah ia sunat.

Hadis Kelima :

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُفِي قِصَّةِ ثُمَامَةَ بْنِ أَثَالٍ , عِنْدَمَا أَسْلَمَوَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَغْتَسِلَ } . رَوَاهُ عَبْدُ الرَّزَّاقِ وَأَصْلُهُ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ . {

Maksud : “Daripada Abi Hurairah r.a tentang kisah Thumamah bin Uthal ketika beliau memeluk Islam dan Nabi s.a.w. memerintahnya agar mandi . Diriwayatkan oleh Abd al-Razaq dan asalnya muttafaq alaihi.

Pengajaran Hadis :

  1. Dalil menunjukkan pensyariatan mandi selepas memeluk Islam.
  2. Hukum mandi selepas memeluk Islam?

Ada khilaf kalangan ulama :

Pendapat pertama : Wajib mandi sama ada kafir asli atau murtad, atau telah mandi sebelum Islam atau belum mandi, sama ada berlaku junub sebelum Islam atau tidak. Ini adalah pendapat Malik, Hanbali, Abi Thaur, Ibn al-Munzir. Kata Ibn Qudamah :

. وَلَنَا : مَا رَوَى { قَيْسُ بْنُ عَاصِمٍ , قَالَ : أَتَيْت النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ الْإِسْلَامَ فَأَمَرَنِي أَنْ أَغْتَسِلَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ } رَوَاهُ أَبُو دَاوُد , وَالنَّسَائِيُّ وَأَمْرُهُ يَقْتَضِي الْوُجُوبَ

Maksudnya : “Dan hujah kami apa yang diriwayatkan bahawa Qais bin Asim berkata : Aku datang bertemu Nabi s.a.w. ingin memeluk Islam lantas Nabi menyuruhku mandi dengan air dan bidara. Riwayat Abu Daud, Nasa’i. al-amr menunjukkan wajib.

Pendapat kedua : Kata Abu Bakr : disunatkan mandi dan tidak wajib kecuali sekoranya berlaku perkara yang mewajibkan mandi sebelum Islam. Maka ketika itu wajib mandi. Ini adalah pandangan mazhab Shafie.

Pendapat ketiga : Tidak wajib mandi. Ini adalah pandangan Abu Hanifah. Hujahnya kerana ramai orang masuk Islam, sekiranya mereka diperintah nescaya ada dinukilkan secara mutawatir atau jelas.

Bahkan ketika Nabi mengutus Muaz ke Yaman, baginda menyebut :

اُدْعُهُمْ إلَى شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوك لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya : “Serulah mereka kepada ucapan dua kalmia syahadah bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad pesuruh Allah, jika mereka mentaatimu maka beritahulah mereka wajib ke atas mereka sedekah……..”

Sekiranya mandi wajib nescaya Nabi akan perintahkan nya kerana ia adalah perkara wajib yang pertama dalam Islam.

.

Saham bercampur

Berikut adalah jawapan Sheikhuna wa Zamiluna Abu Umair al-Madani dalam

al-ahkam.net berkenaan masalah sekuriti bercampur. Terima kasih kerana kami semua

mendapat istifadah.

http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=35896&sid=1aefb82d53418974a68456f28d009e45

Soalan

Assalamualaikum…
Saya tertarik dgn soalan berkaitan saham bercampur halal dan haram.
Kalau tak silap saya memang ada dua pendapat.
1. Haram menyertai saham bercampur antara halal dan haram.
Dalil. Umum Surah al-Baqarah 278-280 dan Ali Imran : 130 dan lain-lain hadis berkaitan riba. Sekiranya syarikat saham menjalankan kegiatan babi, arak maka termasuk dalam larangan pengharaman arak.
2. Ada qaul yang dinisbahkan kepada Uthaimin. Harus bermuamalat dengan syarikat saham seperti ini selama mana kegiatan asasinya bukan berkaitan haram atau riba. Dengan syarat menetapkan kadar unsur haram (tanda aras) dan menggunakan dana haram untuk kebajikan.
Dalil berdasarkan kaedah : “Harus secara mengikut apa yang tidak harus secara tersendiri (mustaqillan)”. Kaedah lain, al-Hajah al-Ammah Tunazzalu Manzilat al-Darurah”.

Di Malaysia MPS Suruhanjaya Sekuriti telah memutuskan bahawa syarikat bercampur yang elemen haramnya sedikit dan tidak melebihi ukur rujuk yang telah ditetapkan MPS boleh dimasukan dalam senarai sekuriti patuh syariah. MPS berhujah dengan umum al-balwa dan gharar yasir perlu diambil kira dalam membuat justifikasi terhadap sesebuah syarikat bercampur yang aktiviti utamanya adalah halal.
(Keputusan MPS Suruhanjaya Sekuriti hlm 165)

Mohon penjelasan dari pakar-pakar al-ahkam secara lebih ditil dan rujukan yang lebih muktabar.


Sekian terima kasih

Jawapan

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Jazakallah Khaira atas info berkenaan dengan hukum membeli saham bercampur antara halal dan haram.

Memang ada dua pendapat masyhur di kalangan ulama sekarang (spt yang disebut).

Pendapat Pertama:
Hukumnya haram. Dan dipilih oleh:

i- Majmak al-Feqh al-Islami @ Islamic Fiqh Academy (IFA) yang bernaung di bawah OIC. Dalam satu persidangannya, diluluskan satu resolusi bernunyi:
“Dari segi asas, haram membeli saham di syarikat-syarikat yang kadangkala berurusan dengan anasir haram, seperti riba dan lain-lain, sekalipun aktiviti asasnya bertepatan dengan syarak”

ii- Al-Majmak al-Feqhiy al-Islami yang bernaung di bawah Rabitah al-Alam al-Islamiy (Muslim World League). Dalam satu resolusinya menyebut:
“Tidak harus bagi seorang muslim membeli saham-saham syarikat dan bank jika sebahagian ativitinya adalah riba, walhal pembeli itu mengetahui perkara demikian”.

iii- Lajnah Daemah di KSA yang dipengerusikan oleh Syeikh Bin Baz.

iv- Jawatankuasa Syariah di Dubai Islamic Bank.

v- Jawatankuasa Syariah di Kuwait Finance House.

vi- Jawatankuasa Penyelidikan Syarak di Bank Islam Sudan.

Pendapat Kedua:
Harus membeli saham di syarikat yang urusniaganya bercampur halal dan haram. Tetapi keuntungan yang diperolehi, hendaklah dibersihkan bahagian haramnya, mengikut peratus riba di syarikat.

Antara yang berpendapat demikian ialah:

i- Jawatankuasa Syariah di Al-Rajhi Bank Corp.

ii- Jawatankuasa Syariah di Jordan Islamic Bank.

Sesetengah yang mengharuskan meletakkan tanda aras berdasarkan peratusan untuk mengukur tahap percampuran yang dibenarkan.

Dan pendapat kedua yang mengharuskan inilah yang diguna di Malaysia secara rasmi. Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti telah meletakkan tanda aras tertentu mengikut jenis aktiviti.

Contohnya:

-Tanda aras 5% digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktivti yang jelas keharamannya, seperti riba, judi, dan daging babi.

– Tanda aras 10% bagi percampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur umum balwa.

– Tanda aras 20% bagi mengukur percampuran sumbangan terima sewaan daripada aktiviti tidak patuh syariah.

– Tanda aras 25% bagi mengukur percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya bertepatan syariah dan bermaslahah, namun terdapat unsur lain yang menjejaskan status syariahnya.

Walaubagaimanapun, penetapan kadar tanda-tanda aras ini hanyalah diasaskan kepada ijtihad. Jadi, ia bukan satu yang qat’ie, dan ia boleh dikaji semula dan dikemaskini mengikut masa.

Secara keseluruhan, seseorang Muslim wajar menghindari aktiviti-aktiviti yang diperselisihkan seperti ini. Kerana mengelak diri daripada perkara khilaf adalah dituntut.

Wallahu A’lam.

Komen Dr Asri Ttg Harga Minyak

Di bawah adalah beberapa petikan yang saya ambil dari artikel Dr Asri, Mufti Negeri Perlis

Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.

Rujuk ayat di atas (al-Isra’ 26-27)

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.

Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada ATAS.

Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.

Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Ulasan albaruhiyy : Tahniah kepada Dr Asri atas tulisan ini. Maksud yang hendak disampaikan oleh beliau cukup mendalam. Diharap semua pembaca dapat menilai dan memikir situasi yang kita hadapi sekarang terutamanya golongan atasan. Wallahualam.