Monthly Archives: September 2008

Malam ini malam tujuh likur

MALAM TUJUH LIKUR

Begitu pantas perjalanan masa, ibarat kata pepatah : “Masa ibarat pedang, sekiranya anda tidak memotongnya maka nescaya ia akan memotongmu”. Sedar tidak sedar, Ramadan hampir melabuhkan tirainya, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Bagi sesetengah masyarakat, hari ini tanggal 26 ramadan adalah detik paling penting kepada mereka. Teringat zaman kanak-kanak, hari ke 26 dan malam ke 27 dipanggil malam tujuh likur. Itu mungkin hanya panggilan orang Melayu, yang lebih tepat ia mungkin dimaksudkan dengan malam penuh berkat iaitu malam lailatul qadar. Walau bagaimanapun, amalan menyalakan lampu dan lilin sangat bertentangan dengan syarak sekiranya semata-semata mempercayai sesuatu kebaikan daripada perbuatan tersebut pada malam tujuh likur.

Walaupun kurang mengerti lagi ketika zaman kanak-kanak erti malam qadar, namun ia seolah-olah sudah ditunggu-tunggu oleh kami sebagai kanak-kanak. Kanak-kanak amat kuat kepercayaannya jika dididik dan diasuh oleh ibubapanya. Sebab itu asuhan tentang lailatul qadar juga perlu disemat dalam jiwa kanak-kanak. Menunggu malam tujuh likur untuk menadah tangan berdoa kepada Allah taala menjadi kelaziman mereka yang mempunyai impian dan harapan daripada Allah Taala. Tidak kurang juga masyarakat Arab, teringat ketika berada di bumi Madinah dan Mekah, malam 27 adalah malam yang dipenuhi oleh orang ramai. Di Masjidil Haram ada yang solat diatas escalator. Tidakkah ini menggambarkan kepercayaan masyarakat terlalu kuat tentang malam ke 27.

                Tetapi, adakah benar malam tujuh likur atau malam ke 27 ramadan adalah malam lailatul qadar yang sangat ditunggu-tunggu? Bagaimana kita hendak mengenali malam tersebut? Pukul berapakah malam itu?   Teruskan membaca

Ucapan tahniah sempena raya

Apakah hukum melafazkan tahniah sempena ketibaan Hari raya atau sebagainya seperti ucapan Selamat Hari Raya, atau cara orang Arab Taqabbalallhu minna wa minkum Solehal a’mal? Ada hadis ke tentang hal ini?

Mengucapkan tahniah sempena ketibaan bulan Syawal, Ramadan atau ucapan (taqabbalallah minna wa minkum solehal a’mal) atau ucapan Selamat Hari Raya boleh dianggap termasuk dalam kes-kes adat kebiasaan setempat. Kaedah menyebut :

الأصل في العادات الحل والإباحة

Maksudnya : “Asal pada adat ialah halal dan harus

Di sini, tidak diketahui sebarang dalil yang mengharamkan perbuatan mengucap tahniah sempena masuk bulan syawal atau Ramadan. Seseorang muslim mengucapkan tahniah kepada rakannya kerana mendapat perkara yang baik adalah disyariatkan. Dalam hadis sahih Bukhari dan Muslaim daripada Ka’ab bin Malik tentang kisah tiga orang yang tercicir tidak pergi berperang dalam perang Tabuk, di mana ketika turun ayat tentang taubat mereka, para sahabat r.an yang lain mengucapkan tahniah kepada mereka.

                Manakala dalam kes Ramadan atau Syawal, tidak syak lagi bahawa bulan ini adalah antara bulan yang menggembirakan orang Islam. Orang Islam akan gembira dengan nikmat Allah Taala yang diberikan kepada mereka. Bahkan dalam bulan Ramadan sebagai contoh, ia adalah bulan nikmat yang mana Allah melimpahkan keberkatan dan kerahmatan dalam bulan ini.

: قال أحمد , رحمه الله : ولا بأس أن يقول الرجل للرجل يوم العيد : تقبل الله منا ومنك

Imam Ahmad pernah berkata : “Tidak mengapa seseorang berkata kepada seseorang lain pada hari Raya “Taqaballahu minna wa minkum”. (Ibn Qudamah, al-Mughni, Kitab al-Solah, Bab Solat al-Eidayn)

Ibn Aqil menyebut tentang mengucapkan tahniah pada hari raya beberapa hadis. Antaranya ialah Muhammad bin Ziyad berkata : “Aku bersama Abi Umamah al-Bahiliyy dan lain-lain sahabat Nabi s.a.w., maka mereka semua apabila pulang hari raya saling memberi ucapan : “Taqabbalahu minna wa minkum” Imam Ahmad berkata : “Isnad hadis Abi Umamah adalah isnad yang baik”. (Ibn Qudamah, al-Mughni, Kitab al-Solah, Bab Solat al-Eidayn)

Ali bin Thabit berkata : ‘Aku bertanya Malik bin Anas semenjak 35 tahun. Dan kata beliau : “Perkara ini sudah menjadi adat diketahui orang di negeri Madinah”. Ada juga riwayat dari Imam Ahmad mengatakan bahawa beliau berkata : “Aku tidak akan memulakan dengan ucapan ini kepada sesiapa, tetapi sekiranya ada orang memberi ucapan ini kepada ku, nescaya aku menjawabnya”. (Ibn Qudamah, al-Mughni, Kitab al-Solah, Bab Solat al-Eidayn)

Samahat al-Sheikh Abdul Aziz bin Baz pernah ditanya berkenaan ucapan Taqabbalallahu minna wa minkum solehal a’mal, beliau menjawa : “Tidak mengapa seseorang muslim berkata kepada rakannya pada hari raya atau selain hari raya “taqbbalallu minna wa minka a’amlana al-solehah”, aku tidak mengetahui ada sesuatu dalil yang dinaskan dalam hal ini. Sesungguhnya ia adalah doa orang mukmin kepada saudaranya dengan doa-doa yang baik bedasarkan dalil-dalil berkaitannya yang baik. (Majmuk fatawa wa maqalat mutanawwi’ah, Ibn Baz).

Antara mencari dan menunggu lailatulqadar?

Antara mencari dan menunggu lailatulqadar

Ibn al-Mulaqqin dalam karya beliau al-I’lam bifawa’id Umdat al-Ahkam pernah membawa kisah “sekumpulan orang-orang baik mengembara pada malam 23 Ramadan di atas kapal laut, lantas tiba-tiba ombak bergelora. Kapal mereka dipukul ombak, akibatnya salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam laut tersebut. Lelaki tadi tertelan air laut ketika terkapai-kapai dan alangkah terkejutnya dia bila mendapati air laut yang biasanya masin, pada malam tersebut menjadi tawar.”

Apakah malam tersebut benar-benar lailatulqadar? Sekiranya benar, alangkah beruntungnya mereka yang dipilih oleh Allah diperlihatkan malam lailatulqadar. Namun mereka yang memenuhi malam tersebut dengan ibadat adalah yang sebenar-benar beruntung. Sekiranya benar keberkatan lailatulqadar boleh dilihat oleh sesiapa yang dipilih oleh Allah. Amat bertuah kiranya kita menghidupkan malam tersebut dengan ibadat solat, membaca al-qur’an, zikir dan bertaubat kepada Allah.

Menariknya di sini juga, bayangkan sekiranya seseorang yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah pada malam lailatulqadar sudah pasti dosanya yang banyak ibarat masinnya air laut, akan diampunkan oleh Allah Taala seperti air laut menjadi tawar. Ya Rabb…ampunilah dosa-dosa kami…..

Rata-rata penceramah di masjid-masjid atau media massa elektronik hari ini memperkatakan tentang lailatulqadar. Kerana kita telah mula memasuki fasa ke-3 ramadan. Iaitu 10 terakhir ramadan. Hakikatnya memang Allah Taala merahsiakan malam itu daripada kita. Tujuannya adalah untuk menguji setiap orang-orang yang beriman sejauh mana kesungguhan mereka ingin bertemu dengan malam qadar. Namun di sana ada klu-klu tertentu sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. Klu pertama ialah :

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya : Carilah malam qadar pada 10 terakhir bulan Ramadan (al-Bukhari no 1880)

Bermakna, sekarang daripada 30 hari, hanya tinggal 10 hari sahaja untuk kita meneruskan usaha mencari lailatulqadar. Klu kedua ialah sabda Nabi s.a.w. :

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي السَّبْعِ الْأَوَاخِرِ

Maksudnya : Carilah malam qadar pada 7 terakhir Ramadan. (Muslim no.1986)

Tinggal 7 hari sahaja lagi, malam-malam yang meyakinkan kita ia adalah malam qadar. Seterusnya klu ketiga ialah sabda Nabi s.a.w :

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya : ”Carilah malam qadar pada malam ganjil 10 terakhri ramadan” (Bukhari no 1878)

Maka, hanya tinggal 5 hari sahaja lagi yang dapat kita jangkakan malam qadar akan tiba. Ini menunjukkan rahmat Allah Taala kepada manusia. Walaupun dirahsiakan namun, masi ada klu-klu yang diberitahukan….maka, apa tunggu lagi? Carilah…..

Boleh ke berbuka dalam perjalanan musafir?

Soalan :

Saya keluar musafir pada jam 9 pagi kemudian saya berbuka puasa selepas satu jam perjalanan kerana terasa agak penat. Apakah hukumnya?

Jawapan :

Berbuka puasa ketika bermusafir adalah satu rukhsah. Bagi sesiapa yang memulakan perjalanan sebelum subuh maka ulama menegaskan harus baginya berbuka.

Namun, bagi mereka yang memulakan perjalanan selepas subuh, sebahagian ulama seperti Imam Syafie, Malik, Abu Hanifah dan salah satu riwayat Imam Ahmad mengatakan bahawa ia wajib berpuasa dan tidak boleh mengambil rukhsah kerana mengtaghlibkan hukum iqamah daripada hukum bermusafir.

Pendapat kedua mengharuskan berbuka puasa walaupun memulakan perjalanan selepas subuh kerana ia termasuk dalam nama musafir juga. Pendapat ini dipegang oleh Imam Ahmad dalam satu riwayatnya dan al-Muzani.

Dalil pendapat pertama kurang jelas, cuma terdapat satu athar dari al-Hasan al-Basri berkata : ”Apabila seseorang itu berpagi dalam keadaan puasa dalam bulan ramadan kemudian keluar musafir waktu siang hari. Maka janganlah berbuka hari itu kecuali ia bimbang dahaga. Jika bimbang maka berbuka dan gantilah nanti. Selepas itu, ia boleh pilih sama ada hendak berbuka atau berpuasa

Ulama mengatakan pada riwayat lemah dari segi sanad.

Dalil pendapat kedua agak jelas iaitu hadis Abu Daud yang disandarkan kepada Ubayd bin Jubayr katanya,

Aku menaiki bersama Abu Basrah al-Ghifari sahabat Rasulullah s.a.w. dalam satu kapal dari al-Fistat pada bulan ramadan. Lantas Abu Basrah diangkat dan kemudian dihampirkan makanannya. Jaafar berkata dalam hadisnya : ”Maka tidak melepasi rumah2 sehingga ia minta kain hamparan. Katanya, sila dekatkan. Lalu aku berkata : ”Tidakkah kamu masih melihat rumah2?. Jawabnya : ”Kamu tidak inginkan sunnah Rasulullah s.a.w. Jaafar berkata : ”Lalu dia pun makan”.

Pendapat kedua adalah lebih jelas dalilnya. Bahkan dalam ayat menceritakan secara umum orang musafir boleh berbuka. Begitu juga hukum ini menunjukkan prisip taysir dalam syariat Islam. Wallahualam

Imsak sebelum subuh

IMSAK SEBELUM AZAN SUBUH PADA BULAN RAMADAN

Dr Yusuf al-Qardhawi :

Sahur merupakan sunnah Nabi s.a.w. Sahur dapat menguatkan orang yang berpuasa, bahkan terdapat hikmah yang banyak dalam ibadat sahur. Sahur bermula daripada tengah malam dan berakhir dengan apabila masuk fajar dengan yakin. Justeru, menentukan waktu untuk imsak sebelum azan subuh dengan kadar beberapa minit tidak ada asas yang sahih menyokongnya. Antara sunnah tunjuk ajar Nabi kepada orang yang berpuasa ialah bersahur dan mengakhirkan atau melewatkan sahur. Dan perkataan sahur bererti sesuatu yang dimakan pada waktu sahur iaitu selepas pertengahan malam sehingga waktu fajar. Tujuannya ialah untuk menguatkan orang yang berpuasa menanggung puasanya, laparnya dan dahaganya terutama ketika musim siang panjang……”.

Nabi s.a.w. bersabda : (Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur ada berkat) riwayat Bukhari dan Muslim

Sabda Nabi lagi : (Beza antara puasa kita dengan puasa ahli Kitab ialah makan sahur). Riwayat Muslim 1096

Antara sunnah Nabi ialah melewatkan sahur supaya dapat dikurangkan tempoh lapar atau imsak. Zaid bin Thabit menyebut : (Kami bersahur bersama Nabi s.a.w kemudian kami bangkit untuk solat. Anas bertanya : Berapakah tempoh antara keduanya? Jawab beliau : lebih kurang kadar 50 ayat). Muttafaq alaihi.

Firman Allah Taala : (Maka makan dan minumlah sehingga nyata bagimu benang putih (fajar) daripada benang hitam (malam)).

Ayat ini jelas menunjukkan harus makan sehingga nyata dan zahir waktu fajar atau subuh. Sesiapa yang syak adakah telah masuk waktu fajar atau tidak, maka harus baginya makan dan minum sehingga yakin masuk waktu subuh. Ibn Abbas berkata : (Makanlah selama mana anda ragu-ragu sehingga anda yakin).

Abu Hurairah menyebut hadis marfu’ : (Apabila seseorang kamu mendengar azan, sedangkan bekas minuman ditangannya, maka janganlah diletakkan sehinggalah ia menghabiskan hajatnya). Riwayat al-Hakim dan disahkan mengikut syarat Muslim dan disetujui oleh al-Zahabi.

Ibn Kathir menjelaskan : (Dan diriwayatkan ramai kalangan salaf bahawa mereka bertolak ansur dalam masalah sahur ketika hampir masuk waktu subuh, diriwayatkan seperti ini daripada Abi Bakar, Umar, Ali, Ibn Mas’ud, Huzaifah, Abi Hurairah, Ibn Umar, Ibn Abbas, Zaid bin Thabit dan ramai di kalangan ta’biin seperti Muhammad bin Ali bin Husain, Abu Mujlaz, Ibrahim al-Nakha’i, Abu al-Dhuha, Abu Wa’il dan lain-lain rakan Ibn Mas’ud, Ata’, al-Hasan, al-Hakam bin Uyainah, Mujahid, Urwah bin al-Zubair, Abu al-Sha’tha’ Jabir bin Zaid, dan ini pendapat al-A’masyh dan Jabir bin Rasyid) 1/222