Monthly Archives: Januari 2009

Doa tawassul dalam khutbah

Doa yang biasa kita dengar dalam khutbah jumaat di sekitar Selangor :

اللهم إنا نسألك و نتوسل إليك بنبيك الأمين ونتوسل بأسمائك الحسنى وصفاتك العلى……

Ertinya : “Ya Allah Ya Tuhan kami kami bermohon kepadaMu dan bertawassul kepadaMu dengan NabiMu yang bersifat amanah dan kami bertawassul dengan nama-nama baikMu dan sifat-sifat tinggiMu….”

Barangkali bagi sesiapa yang tidak memahami maksud atau erti doa ini, mereka menganggap ia hanyalah satu doa yang biasa. Bahkan jika orang yang memahami maksudnya pun, dan berpendapat bahawa tawassul dengan zat seseorang adalah satu perkara yang harus nescaya baginya ia satu perkara biasa.

Namun, pada pandangan penulis, sepatutnya jika mereka berpandangan bahawa tawassul dengan zat seseorang itu harus, lebih baik diubah sedikit doa tersebut supaya khatib mendahulukan bertawassul dengan asma’ul husna. Doanya jadi seperti ini :

اللهم إنا نسألك ونتوسل إليك بأسماءك الحسنى وصفاتك العلى وبنبيك الأمين

Ertinya : “Ya Allah Ya Tuhan kami kami bermohon kepadaMu dan bertawassul kepadaMu kami bertawassul dengan nama-nama baikMu dan sifat-sifat tinggiMu dan dengan NabiMu yang bersifat amanah….”

Di sini, kita mendahulukan tawassul dengan nama-nama dan sifat Allah Taala daripada tawassul dengan zat Nabi s.a.w. Ini sekiranya mereka masih ingin berpegang dengan pendapat yang menyatakan keharusan tawassul dengan zat makhluk.

Manakala dari sudut perbincangan ilmiyyah pula, kita perlu menilai kembali adakah tawassul cara ini diharuskan atau tidak? Tawassul berasal dari perkataan wasilah. Wasilah ialah sesuatu yang digunakan untuk mendekatkan diri kepada orang lain. Dari segi syarak, tawassul ialah taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan beribadat kepadaNya serta mengikut para Nabi dan Rasul termasuk juga dengan melakukan segala amalan yang disukai Allah Taala.

Bila kita membicarakan tentang tawassul, maka kita perlu menilai hukumnya melalui kaca mata syarak agar kita mengetahui yang mana tawassul syariyy dan yang mana tawassul tidak syar’iyy. Sebenarnya tawassul yang disyariatkan dan ijmak ulama menerimanya sebagai tawassul adalah dalam tiga bentuk.

Pertama : Tawassul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya. Firman Allah (al-A’raf 180)
ولله الأسماء الحسنى فادعوه بها
Maksudnya : “Dan bagi Allah itu nama-nama yang banik maka berdoalah dengannya (tawassul dengan nama-nama Allah)”.
Contohnya kita berdoa : “Ya Allah, kami bermohon dengan nama-nama baikmu agar engkau ampunkan dosa kami”.

Kedua : Tawassul kepada Allah dengan amalan soleh yang dilakukan. Seperti seseorang bertawassul dengan keimanannya kepada Allah. Ini diajar dalam al-Qur’an al-Karim (Ali Imran : 16)
ربنا إننا آمنا فاغفر لنا ذنوبنا وقنا عذاب النار
Maksudnya : “Yang tuhan kami, sesungguhnya kami beriman kepadaMu maka ampunkanlah segala dosa kamu dan selamatkan kami dari azab api neraka”.

Di sini disebutkan dahulu amalan keimanan mereka kemudian baru diminta ampunkan dosa. Bahkan sabit dalam hadis sahih kisah tiga orang Bani Israel yang terperangkap dalam gua, mereka berdoa dengan bertawassul dengan amalan masing-masing lantas Allah menyelamatkan mereka. (Rujuk riyad al-Salihin)

Ketiga : Tawassul kepada Allah dengan doa orang yang soleh atau dengan doa saudaranya. Firman Allah Taala dalam surah Yusuf (97-98):

قالوا يا أبانا استغفر لنا ذنوبنا إنا كنا خطئين . قال سوف أستغفر لكم ربي إنه هو الغفور الرحيم

Maksudnya : “ Mereka berkata: “Wahai ayah kami! mintalah ampun bagi Kami akan dosa-dosa kami; Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Yang bersalah”. Nabi Yaakub berkata: “Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Ayat ini menunjukkan mereka meminta Nabi Yaakub berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa-dosa mereka.

Ketiga-tiga tawassul berkenaan ialah tawassul yang disepakati oleh semua ulama. Manakala selainnya, masih lagi dalam kategori khilaf. Adakah wajar kita amalkan perkara yang diperselisihkan, tetapi dalam masa yang sama kita meninggalkan perkara atau hukum yang disepakati ulama? Justeru, saya tegaskan di sini, lebih baik diamalkan perkara yang sudah jelas hukumnya dan sudah diterima oleh ulama. Mengapa kita perlu bersusah payah berdoa dengan tawassul yang diperselisihkan tentang hukumnya sama ada harus atau haram, syar’iyy atau bid’ah. Wallahualam.

Advertisements

Resolusi majlis keselamatan

Majlis Keselamatan Bersetuju Menghentikan Serangan Terhadap Gaza

Hari ini, Jumaat 9 Januari 2009, Majlis Keselamatan Antarabangsa bersetuju dengan resolusi menghentikan segera serangan rejim Israel dan supaya tentera mereka berundur dari Genting Gaza. Resolusi berkenaan dikeluarkan selepas 13 hari serangan Israel ke atas Gaza yang menyebabkan ratusan mangsa terbunuh serta cedera.
Semua anggota Majlis bersetuju kecuali Amerika Syarikat yang diwakili oleh Condoleezza Rice mengambil sikap berkecuali berkenaan resolusi berkenaan. Ia diputuskan selepas beberapa persidangan antara menteri-menteri luar Negara Arab untuk mengeluarkan resolusi tersebut.

Israel terroris sebenar

Serangan ganas zionis ke atas Gaza telah masuk minggu kedua. Seperti yang dilaporkan semalam, sabtu 3/1/09 angka kematian umat Islam Palestin mencecah 434 orang. Angka umat Islam yang cedera meningkat seramai 2280 orang. Dalam serangan semalam, seramai 10 orang terkorban. Antaranya ialah 3 orang kanak-kanak yang merupakan satu keluarga. Di tambah lagi dengan kematian 2 orang kanak-kanak lain, seorang lelaki dan seorang wanita. Teruskan membaca

Hijrah Nabi bulan Rabiulawwal

Bilakah Rasulullah s.a.w sampai di bumi Madinah?

Menurut riwayat yang direkodkan oleh al-Bukhari, Ibn Ishaq, al-Hakim dan lain-lain bahawasanya ketika mana sampai berita kepada kaum ansar tentang keluarnya Rasulullah s.a.w. berhijrah dari Mekah menuju Madinah, mereka keluar menunggu Rasulullah s.a.w. setiap hari di tanah lapang pada awal siang hari. Tatkala panas mula menjadi bersangatan, mereka pulang ke rumah masing-masing. Kemudian apabila tiba hari Isnin 12hb Rabiulawwal tahun ke 14 daripada kebangkitan Rasulullah s.a.w. (iaitu tahun pertama hijrah) bersamaan dengan 23hb September 622M, mereka keluar menunggu ketibaan Rasulullah seperti biasa. Teruskan membaca