Sunah Tahnik

Anak adalah anugerah Allah s.w.t. yang berharga di dunia ini. Ramai kalangan pasangan yang berkahwin menanti saat berbahagia seperti ini iaitu saat kehamilan isteri dan kelahiran anaknya. Apabila si anak telah lahir, Islam menggariskan pelbagai perkara sunnah yang mana ibu bapa dituntut melakukannya. Selain daripada melakukan ibadat akikah, mencukur rambut bayi kemudian bersedekah mengeluarkan emas atau nilainya dengan kadar timbangan rambut tersebut, azan di telinga bayi, memberi nama yang baik, terdapat satu amalan yang juga disunatkan yang ingin saya kongsi bersama dalam ruangan kali ini. Amalan tersebut ialah amalan tahnik. Apakah dia tahnik? Mungkin jarang orang mengetahui maksud tahnik dan bagaimana hendak melakukan tahnik.

Dalam istilah orang kampung negeri kelahiran saya, biasanya dipanggil amalan “belah mulut”. Apa pun namanya, ia merupakan satu perkara yang sangat dituntut. Tahnik dari segi bahasa ialah lelangit di dalam mulut.(al-Marbawi, Kamus Idirs al-Marbawi : 153). Pakar bahasa menyebut maksud amalan tahnik ialah dikunyah akan buah tamar atau seumpamanya lantas digosok tamar tersebut pada lelangit mulut bayi. (al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 1/462). Ia merupakan sunnah nabi yang perlu dilakukan oleh seseorang terhadap bayinya. Para ulama bersepakat mengatakan tahnik sunat dilakukan. Barangsiapa yang melakukannya, maka baginya pahala, sebaliknya barangsiapa yang tidak melakukannya, ia tidak berdosa. Ia seperti juga hukum akikah, ia adalah sunah bukan wajib.

Tahnik afdal dilakukan dengan buah tamar. Jika tiada tamar, boleh gunakah rutob (tamar muda). Jika tiada juga, boleh gunakan sesuatu makanan yang manis tetapi madu yang manis lebih awla daripada makanan lain. Dan jangan menggunakan makanan yang telah dimasak. Seeloknya, dibukakan sedikit mulut bayi supaya ia boleh menelan buah tamar tersebut. Tujuan tahnik mengikut ulama adalah melatih bayi untuk makan dan menguatkannya. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 15/390).

Anas bin Malik menceritakan, aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau dilahirkan kepada Rasulullah s.a.w. ketika baginda memakai jubah (aba’ah) sambil menginaikan untanya. Lantas baginda bertanya : “Adakah kamu mempunyai buah tamar?” Aku menjawab, ya. Lalu aku menghulurkan beberapa biji buah tamar, dan Rasulullah s.a.w. memasukkan ke dalam mulutnya. Lalu baginda mengunyahnya kemudian membuka mulut baginda dan mengeluarkan semula tamar yang dikunyah dan diletakkan ke mulut bayi itu. Lantaran itu bayi tersebut menggerakkan lidahnya meghisap tamar tersebut. Kemudian baginda menyebut : “Yang disukai orang ansar ialah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah”. (HR Muslim 3995, Lihat al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 7/269). Hadis ini menunjukkan sunnah tahnik bayi yang baru dilahirkan dan ia adalah sunnah sebagaimana ijmak ulama. Ia juga menunjukkan afdal melakukan tahnik dengan buah tamar

Bilakah sunat dilakukan tahnik? Adakah sebaik sahaja kelahiran atau perlu menunggu hari ketujuh?. Al-Bukhari membuat satu bab khusus dalam kitab sahihnya iaitu “Bab menamakan bayi dan mengtahniknya petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akikah”. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 15/390). Bermakna sekiranya bayi tersebut lahir pada pertengahan siang hari, tahnik boleh dilakukan selepas waktu tengahari pada hari kelahirannya. Ini yang dapat difahami melalui bab yang dibuat oleh al-Bukhari. Disebutkan dalam al-Majmuk, bahawa sunnah melakukan tanhik dengan tamar kepada bayi ketika dilahirkan. Maksudnya hari kelahiran (al-Nawawi, al-Majmuk 8/443). Bahkan tujuan atau hikmah tahnik sebagaimana disebut ulama ialah bertujuan untuk melatih bayi makan atau minum. Oleh itu, ia perlu disegerakan pada hari kelahirannya dan tidak perlu ditangguhkan sehingga hari ke tujuh sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu di sini.

Dalam negara kita, kebiasaanya orang awam suka meminta tolong para ustaz atau alim ulama melakukan tahnik kepada anaknya. Mereka mungkin menganggap ini adalah satu sunnah atau mungkin kerana mereka inginkan keberkatan ustaz tersebut. Suka saya kemukakan di sini, bahawa apa yang dilakukan oleh para sahabat dengan membawa anak mereka berjumpa Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah melakukan tahnik kepada bayi tersebut adalah suatu perkara yang mulia. Ini kerana Rasulullah s.a.w. mempunyai keberkatan pada diri atau zat baginda. Manakala selain daripada Rasulullah s.a.w. berlaku khilaf di kalangan ulama. Pendapat yang agak kuat lebih cenderung kepada keberkatan zat hanya ada pada para nabi dan rasul alaihimussolatuwassalam.

Ya, ada nas-nas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang juga menunjukkan bahawa wujud benda-benda yang diturunkan keberkatan oleh Allah kepadanya. Sama ada tempat, masa atau makhluk-makhluk dari kalangan manusia. Sheikh Soleh bin Abdul Aziz (Lihat al-Tamhid, hlm 125-127) menjelaskan, berkat yang dijadikan oleh Allah ada dua bahagian :
i. Berkat pada tempat atau masa. Seperti Allah Taala memberkati Baitillahilharam dan memberkati kawasan sekeliling Masjidil Aqsa. Maksud berkat di sini adalah dari segi makna dalaman, iaitu ada kebaikan yang banyak dan berkekalan di dalamnya. Dengan kata lain, keberkatannya adalah untuk tujuan beribadat padanya. Begitu juga keberkatan pada masa atau waktu. Allah memberkati bulan Ramadan dengan makna barangsiapa yang melaksanakan ibadat setulusnya dalam bulan ini, nescaya akan mencapai kebaikan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
ii. Berkat pada manusia. Iaitu berkat yang dijadikan Allah pada diri orang-orang mukmin. Dimulai oleh berkat pada diri Rasulullah s.a.w. dan para nabi serta rasul-rasul alaihimussalam. Berkat mereka adalah berkat pada zat, iaitu jasad dan tubuh mereka adalah berkat. Manakala selain daripada mereka, keberkatan orang yang beriman bukan pada zat mereka. Berkat pada mereka merujuk kepada berkat amalan, keimanan, ilmu dan dakwah mereka.

Dalam masalah tahnik, seeloknya bapa atau ibu atau ahli kelaurganya yang lain seperti datuk atau nenek kepada bayi itu sendiri yang melakukan tahnik. Adapun jika seseorang ingin juga meminta para ustaz atau ulama melakukan tahnik kepada bayinya, nasihat saya janganlah sampai menganggap kerana zat air liur atau tangan ustaz tersebut boleh membawa berkat kepada anaknya. Sekalipun ada ulama yang mengatakan sunat diminta kepada orang alim atau soleh melakukan tahnik untuk anak kita (Lihat al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 1/462), namun perkara tersebut ditolak oleh ulama lain. Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis Anas bin Malik di atas menyebut beberapa pengajaran hadis tersebut. Antaranya beliau menggariskan sunat dilakukan tahnik oleh orang soleh lelaki atau wanita dan boleh tabarruk dengan kesan-kesan orang soleh. (al-Nawawi, Sharh sahih Muslim 7/269).

Tetapi jika kita melihat hadis-hadis atau athar para sahabat, selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. tiada satu pun cerita yang diriwayatkan mengisahkan orang ramai berjumpa para sahabat besar seperti Abu Bakr, Umar, Uhtman, Ali dan lain-lain untuk meminta mereka melakukan tahnik kepada bayi-bayi yang baru dilahirkan. Ini jelas membuktikan bahawa perbuatan meminta orang-orang soleh atau alim ulama melakukan tahnik tidak dilakukan oleh para al-salaf al-soleh. Justeru, bapa atau ibu kepada bayi tersebut boleh melakukan sunnah tahnik sendiri tanpa perlu pergi mencari ustaz-ustaz untuk melakukannya.

Selain itu, perkara lain yang ingin dikongsi bersama ialah berkaitan melakukan tahnik dengan menggunakan air zam-zam. Dalam hadis-hadis, kesemuanya menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. hanya menguyah buah tamar apabila melakukan tahnik. Apakah terdapat dalil yang mengharuskan kita menggunakan air zam-zam ketika tahnik. Dalam kitab Akhbar Makkah karangan al-Fakihi, beliau membawa satu athar yang mursal daripada Ata’ bahawa Habib berkata kepada Ata’, aku perlu membawa air zam-zam? Jawab Ata’ : Ya, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. membawa air zam-zam dalam botol lalu mengtahnikkan Hasan dan Husain dengannya menggunakan tamar ajwah. (al-Fakihi, Akhbar Makkah 3/198). Walaupun hadis ini mursal, namun ia masih disokong oleh dalil-dalil umum yang menjelaskan kewajaran mengambil berkat dengan air zam-zam, atau berubat dengannya. Maka bagi penulis, tidak menjadi kesalahan menggunakan air zam-zam untuk melakukan tahnik.

Ini adalah beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh orang ramai berkaitan sunnah tahnik. Mudah-mudahan sunnah yang kita lakukan dengan niat ikhlas mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. Amin

47 responses to “Sunah Tahnik

  1. shukran di atas ilmu yang dikongsi ini. 🙂

  2. sama-sama, mudah-mudahan kita semua mendapat petunjuk ilahi. Amin

  3. artikel tahnik ni lengkap, saya quote pd blog saya untuk dikongsi dgn rakan-rakan ye..

  4. nak tanya, masa tahnik doa apa yang patut di baca. surah ape yang patut di baca? mase belah mulut apa doa yang patut dibaca

  5. sy nk tanya…dlam mase tahnik ni rasulullah ad membacakan doa kpd Abdullah ketika di tahnikan..boleh x beritahu apkah doa tersebut..

  6. terima kasih atas ilmu yang disebarluaskan

  7. salam, bole tak saya share ilmu nih di laman facebook sy?

  8. salam
    sebaik2nya tahnik dilakukan oleh orang2 soleh atau alim ulamak. Para sahabat membawa bayi2 mereka kepada Rasuulah untuk ditahnikkan. Penulis perlu peka kepada keberkatan yang ada pada mereka. Harap maaf. Sekadar pembetulan.

    • Terima kasih kepada komen..Keberkatan pada rasulullah s.a.w tidak dinafikan secara ittifaq.
      Manakala isu selain rasululah adalah khilafiyyah. Apa yang anda komen itu adalah atas pandangan menyatakan bahawa mereka mempunyai keberkatan.
      Sebab itu, .Jika diharapkan keberkatan, maka minta lah mereka mengtahnikkan anak-anak dengan aggapan doa mereka lebih baik dari doa kita.
      Itu lebih baik dari menganggap zat diri mereka lebih baik kerana mempunyai keberkatan. Berkat ada pada doa mereka insyaAllah

  9. sngt setuju ngan penulis,,.. para alim ulama itu lbh dekat ngan Allah,,thp ketaqwaan yg tggi,,..mujahadah mnjaga amalan,,.kt mst braggapan.(sudah tentu doa mereka lbh baik drp kita),,..moga2 ada keberkatan disana,,…sbb manusia ada bnyk ngolongan,,.ada yg terbaik diantara yg terbaik,,…contohnya hadis belajar dan mengajar AL-Quran,,..(khoirukum man ta’allamal Quraana wa’allamah),,..wallAllahu a’lam,,..

  10. Salam…sy nk tnya, adakah pelakuan tahnik ini sekadar menyapukan kunyahan buah tamar ke mulut shj, atau ia perlu smpi ke lidah bayi…(maksudnya buah tersebut perlu dirasa oleh bayi atau tidak? )

  11. Di tempat saya untuk melakukan tahmik menggunakan tamar,cincin perak & air zam-zam. Apakah ada maksud atau tujuan tertentu menggunakan cincin perak juga?

  12. salam…..
    maknanye selepas tahnik maka boleh terus bg nama la ye.
    bersama dengan air zam2 tu setrelah kunyah sama ada celup dalam air @ masuk kan air dan kurma dalam mulut bayi
    jihad……

  13. Terima kasih kerana berkongsi ilmu

  14. ulama pewaris anbiyak

  15. adakah cukup sekali atau boleh dilakukan secara ulang kali (contoh: seminggu sekali)?

  16. salam, buah tamar tu besar mana ye? adakah sebiji buah tamar yang telah dikunyah itu diberikan kepada bayi tersebut? ada tak dinyatakan?

    hmn kalau begitu bermakna najis yang keluar sudah berubah lah ye, kerana makan makanan selain susu ibu? hmn..

  17. Pingback: Day 7: Zahraa dan Amalan Tahniq « Our Little Caliph

  18. abuhusnie ibnu jalaludin

    Penerangan yg baik, tahniah! Minta izin share dan copy.

  19. Pingback: 118. Terkini « sooous

  20. bagaimana pula, bagi bapa yg tidak pndai baca doa?

  21. Penerangan ilmiah, mohon izin kongsi ilmu, shukran

  22. Apa juga juzuk dari Rasulullah SAW itu mempunyai keberkatan sabit daripada banyak hadis (antaranya ummu sulaim-simpan peluh nabi, anas simpan rambut nabi) TETAPI tidak ada pada manusia lain. Ditakuti berlaku syirik. wallahu’alam.

  23. saya nk tanya.. Saya nk lakukan tahnik keatas anak saya yg baru lahir.. Namun saya khuatir takut2 ustaz yg buat tu berpenyakit contohnya batuk, paru2, batuk kering ke, hisab rokok ke.. Nnti tu semua akan berjangkit kat anak saya.. minta tlng bagi pnjelasan dan cadangan.. Terima kasih

  24. Pingback: Tahnik | hampala2345's Blog

  25. Anak sya sudh 2 thun..tp masih belum bleh bercakap…nak sbut cucu(susu)pun blum,….adakah ini disbbkan saya tidak mmbuat tahnik keatas anak saya….dan boleh kah…dgn umur anak saya skrang ini..2 thun sya mmbuat tahnik utknya

    • Tahnik tiada kaitan dengan boleh atau tidak boleh bercakap. Ia disunatkan ketika bayi baru dilahirkan dan sebelum diberikan apa-apa makanan kepada bayi tersebut. Apabila sudah mencecah 2 tahun, pada pandangan saya, tidak disunatkan lagi tahnik

  26. terima kasih tuan,

    sungguh ilmiah dan sangat membantu.

  27. assalamualaikum.. syukran atas ilmu ini. saya mohon untuk dapatkan nama penuh tuan sebagai tujuan rujukan blog ini ^^

  28. Amalan ini tidak ada dizaman sahabat..kenapa para sahabat yg mulia tidak melakukannya.? adakah amalan ini khusus utk Nabi saw sahaja

  29. Pingback: alhamdulillah ditahnik TGHH :) – pasak istiqomah!

  30. Adakah tahnik bermakna bayi sudah makan selain daripada susu ibu?

  31. boleh tak bagi tajuk buku yg terang lebih terperinci tentang tahnik ini

Tinggalkan komen