Tag Archives: sunat

Doa berbuka puasa: sebelum ke selepas berbuka?

Doa sebelum berbuka atau selepas berbuka?

Kuasa doa orang berpuasa

Doa orang yang berpuasa adalah antara doa yang mustajab. Ini diriwayatkan dalam hadis Rasulullah s.a.w bersabda:

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حين يفطر ، والإمام العادل ، ودعوة المظلوم

Ertinya: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu; orang yang berpuasa ketika berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi”

Ada riwayat menyebut:

وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ

Orang yang berpuasa sehingga berbuka

Jadi, mereka yang berpuasa sunat memperbanyakkan doa, tidak kira bila masanya, sama ada pada awal pagi, tengahari, selepas solat atau sebelum solat. Namun ada sesetengah doa yang warid dalam hadis menyebut secara jelas sunat dibaca ketika berbuka.

Doa berbuka puasa: Sebelum atau selepas berbuka?

Cuma isu yang timbul berdasarkan hadis tersebut, bilakah sunat dibaca, adakah sebelum berbuka atau selepas berbuka. Ini kerana melihat kepada sighah hadis itu dan juga beberapa pandangan ulama yang dinukilkan. Antara hadis-hadis mengenai doa tersebut ialah:

قال عمر : ” كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا أفطر قال : ” ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله ” .

Ibn Umar berkata bahawa Rasulullah s.a.w. apabila berbuka/hendak berbuka baginda berdoa: “Telah hilangnya dahaga, basahlah urat dan tetaplah pahala dengan izin Allah”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud (2357), al-Daruqutni (25). Ibn Hajar berkata dalam al-Talkhis al-Habir (2/202): “al-Daruqutni berkata isnad hadis ini baik (hasan)”.

Manakala doa yang terkenal:

اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت

Doa ini diriwayatkan Abu Dawud (2358) dan hadis ini mursal dan ia lemah (daif) sepertimana disebut al-Albani.

Sheikh al-Uthaymin rh pernah diajukan soalan mengenai hal ini. Rumusan pandangan beliau seperti berikut:

  1. Doa bagi orang puasa dilakukan sebelum terbenam matahari (ketika menunggu untuk berbuka) kerana ketika itu terhimpun perasaan jiwa yang tunduk mengharap kepada Allah Taala sedang dalam keadaan berpuasa.
  2. Jika sabit hadis doa di atas (ذهب الظمأ…..) maka ia dibaca selepas berbuka.

Ini adalah pandangan al-Uthaymin rh. Menunjukkan bahawa beliau lebih cenderung kepada pendapat membaca doa tersebut selepas berbuka. Iaitu selepas memakan beberapa biji tamar maka sunat dibaca doa ini.

Ulasan saya

Pandangan beliau ini boleh dikaitan dengan tuntutan supaya berdoa selepas melakukan ibadat seperti yang disebut sebahagian ulama. Seperti doa selepas solat, selepas menunaikan haji. Tidak syak lagi, bahawa bulan Ramadan termasuk dalam ibadat. Malahan, firman Allah dalam surah al-Baqarah (Rujuk ayat 186) menjelaskan kepentingan doa pada bulan Ramadan.

Namun begitu, apabila saya diajukan soalan ini, pada peringkat awalnya apa yang zahir dari hadis tersebut, saya lebih berpendapat ia hendaklah dibaca sebelum berbuka. Ini kerana terdapat beberapa dalil daripada al-Quran dan hadis yang sighah hadis lebih kurang sama, namun bacaannya adalah sebelum melakukan sesuatu. Antaranya ialah:

  1. Firman Allah Taala [al-Nahl: 98] mengenai tuntutan membaca istiazah sebelum membaca al-Quran

فإذا قرأت القرآن فاستعذ بالله من الشيطان الرجيم

Melihat kepada ayat ini, sighah fi’il (kata kerja) yang digunakan ialah past tense iaitu (قرأت) bermakna kamu telah baca. Namun Ibn Kathir menyebut: “Ini adalah perintah Allah kepada hamba-hambaNya melalui lidah NabiNya saw apabila mereka hendak membaca al-Quran maka hendaklah membaca Auzubillahiminashaytanirrajim. Perintah ini adalah sunat dan bukan wajib. Al-Imam Abu Ja’far bin Jarir dan selainnya meriwayatkan ijmak ulama mengenai hal ini.

  1. Anas bin Malik meriwayatkan bacaan sebelum masuk tandas:

عن أنس بن مالك قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل الخلاء قال عن حماد قال اللهم إني أعوذ بك وقال عن عبد الوارث قال أعوذ بالله من الخبث والخبائث

Lafaz di sini menggunakan (إذا دخل الخلاء) yang berbentuk past tense, seolah menunjukkan bacaan selepas masuk tandas. Tetapi para ulama mengatakan maksudnya ialah:

 (إذا أراد الدخول) iaitu apabila hendak masuk ke tandas

 

Walau bagaimanapun, selepas berbincang ringkas dengan seorang sahabat melalui telefon, beliau menukilkan bahawa Sheikhuna, Sheikh Abdul Muhsin al-Abbad (hafizahullah) pernah diajukan soalan ini dalam kelas pengajian Sunan Abi Dawud di masjid Nabawi dahulu. Sheikhuna berpandangan bahawa doa tersebut boleh di baca sama ada sebelum atau selepas berbuka. Oleh kerana itu, kedua-duanya adalah tidak salah sama ada sebelum atau selepas berbuka. Bagi saya, ia berbeza dengan kes doa sebelum masuk tandas kerana para ulama sudah bersepakat melarang menyebut nama Allah di dalam tandas, maka sudah pasti maksud hadis tersebut ialah sebelum masuk tandas. Manakala dalam kes berbuka puasa ia berbeza. Apapun kedua-dua pendapat boleh diterima. Sama ada baca doa sebelum atau selepas berbuka. Apa yang penting ialah doa itu di baca dan diamalkan. Malanglah bagi sesiapa yang tidak pernah membaca dan tidak pernah ambil tahu mengenai doa ini.

Wallahualam.Image

Advertisements

Puasa Jumaat 1 Rejab

Soalan :

Ustaz, saya nak tanya hukum berpuasa hari jumaat sunat 1 rejab?

Jawapan :

Terdapat larangan Nabi daripada berpuasa hari jumaat. Jumhur ulama mengatakan hukumnya makruh kecuali jika berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya. Atau jika mengenai adat puasa sunatnya, atau mengenai puasa sunat lain seperti sunat hari Arafah dan Asyura. Maka ketika itu tidak makruh, bahkan sunat.

Sabda Nabi s.a.w.

لا يصومن أحدكم يوم الجمعة إلا أن يصوم يوماً قبله أو يوماً بعده

Maksudnya : “Tidak berpuasa seorang kamu akan hari jumaat kecuali ia berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya”.

Dalam hadis lain Nabi bersabda :

لا تخصوا يوم الجمعة بصيام ولا ليلتها بقيام

Maksudnya ; “Jangan kamu mengkhususkan hari dan malam Jumaat dengan ibadat puasa atau sembahyang”.

Manakala puasa bulan Rejab pula, tiada hadis sahih meriwayatkan kelebihan berpuasa dalam bulan tersebut. Kata Ibn Hajar al-Asqalani : “Tidak datang satu pun hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan rejab, sama ada berkaitan puasa dalamnya, puasa sebahagian hari tertentu daripadanya, atau melakukan qiyamullail khusus pada malam harinya…” (Tabyin al-Ujab Fima warada Fi Fadl al-Rajab, hlm 6)

Kata beliau lagi : “Adapun hadis-hadis yang datang tentang kelebihan bulan Rejab atau kelebihan berpuasa bulan tersebut atau berpuasa hari tertentu daripadanya secara soreh (jelas) terbahagi kepada dua jenis. Pertama, hadis dhaif, kedua mawduk (rekaan). Dan kami mendatangkan hadis-hadis dhaif dan kami tunjukkan hadis-hadis mawduk secara pemahaman. (Tabyin al-Ujab Fima warada Fi Fadl al-Rajab, hlm 8)

Oleh kerana tidak ada hadis yang sahih berkenaan puasa bulan Rejab, ia bukan bermakna tidak boleh berpuasa sunat pada bulan Rejab. Ia boleh dilakukan sekiranya termasuk dalam dalil sunat umum seperti sunat puasa hari Isnin dan Khamis, tiga hari setiap bulan (bulan penuh), atau puasa selang seli.

Puasa yang dilarang ialah :

1) sekiranya dikhususkan setiap tahun mengikut fahaman orang awam seolah-olah ia menjadi fardhu seperti Ramadhan.

2) Dilarang apabila diiktikad puasa Rejab sunat dan sabit seperti sunat lain.

3) Dilarang apabila ada iktikad bahawa puasa dikhususkan pada bulan Rejab kerana ada kelebihan pahala dalamnya.

Oleh itu, lebih baik ditinggalkan perkara yang diragukan. Lakukanlah puasa sunat yang sabit dengan hadis sahih seperti puasa hari isnin dan khamis dan sebagainya. Wallahualam.