Tag Archives: mandi

hadis ke 4 dan 5

Hadis Keempat :

وعن عائشة رضي الله عنها قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يغتسل من أربع : من الجنابة ويوم الجمعة ومن الحجامة ومن غسل الميت (رواه أبو داود وصححه ابن خزيمة)

Maksudnya ; “Daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. mandi kerana empat perkara : kerana junub, hari jumaat, berbekam dan kerana memandikan mayat”. Hadis riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Khuzaimah.

Sekitar riwayat Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan juga Ahmad serta al-Baihaqi. Dalam isnad hadis ini ada Mus’ab bin Shaibah dan ada maqal padanya.

Pengajaran hadis

Hadis ini menunjukkan pensyariatan mandi dalam empat keadaan :

  1. Mandi kerana junub. Kewajipannya jelas sepertimana hadis lalu.
  2. Mandi Jumaat. Ada khilaf di kalangan ulama dari segi hukum dan waktu mandi.

Hukum : di sana ada dua pendapat :

Jumhur : Sunat

Dalil : Hadis Samurah bin Jundab :

من توضأ يوم الجمعة فبها ونعمت و من اغتسل فالغسل أفضل

Ertinya : “Barangsiapa yang mengambil wuduk maka ia mengenai sunnah dan sebaik-baik sunnah. Dan barangsiapa yang mandi, maka mandi lebih afdhal”.

Daud : Wajib

Dalil : Hadis :

غسل الجمعة واجب على كل محتلم

Ertinya ; “Mandi Jumaat wajib ke atas setiap orang yang baligh”.

Dalil di dijawab : bahawa wajib ditanggung atas maksud sunnat yang sangat dituntut.

  1. Mandi kerana berbekam.

Hukum : Sunat berdasarkan hadis Anas bahawa Nabi s.a.w. berbekam lalu solat dan nabi tidak berwuduk.

  1. Mandi kerana sebab mandi mayat.

Ada 3 pandangan, wajib, tidak sunat dan sunat. Yang paling hampir ialah ia sunat.

Hadis Kelima :

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُفِي قِصَّةِ ثُمَامَةَ بْنِ أَثَالٍ , عِنْدَمَا أَسْلَمَوَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَغْتَسِلَ } . رَوَاهُ عَبْدُ الرَّزَّاقِ وَأَصْلُهُ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ . {

Maksud : “Daripada Abi Hurairah r.a tentang kisah Thumamah bin Uthal ketika beliau memeluk Islam dan Nabi s.a.w. memerintahnya agar mandi . Diriwayatkan oleh Abd al-Razaq dan asalnya muttafaq alaihi.

Pengajaran Hadis :

  1. Dalil menunjukkan pensyariatan mandi selepas memeluk Islam.
  2. Hukum mandi selepas memeluk Islam?

Ada khilaf kalangan ulama :

Pendapat pertama : Wajib mandi sama ada kafir asli atau murtad, atau telah mandi sebelum Islam atau belum mandi, sama ada berlaku junub sebelum Islam atau tidak. Ini adalah pendapat Malik, Hanbali, Abi Thaur, Ibn al-Munzir. Kata Ibn Qudamah :

. وَلَنَا : مَا رَوَى { قَيْسُ بْنُ عَاصِمٍ , قَالَ : أَتَيْت النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ الْإِسْلَامَ فَأَمَرَنِي أَنْ أَغْتَسِلَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ } رَوَاهُ أَبُو دَاوُد , وَالنَّسَائِيُّ وَأَمْرُهُ يَقْتَضِي الْوُجُوبَ

Maksudnya : “Dan hujah kami apa yang diriwayatkan bahawa Qais bin Asim berkata : Aku datang bertemu Nabi s.a.w. ingin memeluk Islam lantas Nabi menyuruhku mandi dengan air dan bidara. Riwayat Abu Daud, Nasa’i. al-amr menunjukkan wajib.

Pendapat kedua : Kata Abu Bakr : disunatkan mandi dan tidak wajib kecuali sekoranya berlaku perkara yang mewajibkan mandi sebelum Islam. Maka ketika itu wajib mandi. Ini adalah pandangan mazhab Shafie.

Pendapat ketiga : Tidak wajib mandi. Ini adalah pandangan Abu Hanifah. Hujahnya kerana ramai orang masuk Islam, sekiranya mereka diperintah nescaya ada dinukilkan secara mutawatir atau jelas.

Bahkan ketika Nabi mengutus Muaz ke Yaman, baginda menyebut :

اُدْعُهُمْ إلَى شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوك لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya : “Serulah mereka kepada ucapan dua kalmia syahadah bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad pesuruh Allah, jika mereka mentaatimu maka beritahulah mereka wajib ke atas mereka sedekah……..”

Sekiranya mandi wajib nescaya Nabi akan perintahkan nya kerana ia adalah perkara wajib yang pertama dalam Islam.

.

Sharah Kitab Bulugh al-Maram

Sharah Kitab Bulugh al-Maram

باب الغسل وحكم الجنب

Bab Mandi dan Hukum Junub

Bab ini akan menyentuh berkenaan al-ghusl iaitu mandi dan hukum junub iaitu hukum-hukum berkaitan orang yang berjunub.

Mufradat al-Kalimat

Al-Ghusl : dibaca dengan dammah ghayn menunjukkan maksud perbuatan mandi. Setengah ulama menyebut dengan fathah membawa makna masdar atau kata terbitan bagi ghasala (basuh).

Maksud mandi dalam bab ini ialah dua jenis mandi :

  1. Mandi Wajib
  2. Mandi Sunat

Al-Junub : ذا جنابة iaitu yang berjunub. Perkataan junub boleh digunakan untuk lelaki, wanita, mufrad, muthanna dan jamak.

Imam al-Nawawi berkata : Perkara yang mewajibkan mandi (bagi orang hidup) ada empat perkara sebagaimana ittifaq ulama. Ia adalah :

  1. Memasukkan hasyafah zakar ke dalam faraj
  2. Keluar mani
  3. Keluar Haid
  4. Keluar Nifas.

Maksud “memasukkan hasyafah zakar” : memasukkan hasyafah dengan sempurna dalam kemaluan sama ada manusia atau bukan manusia (haiwan), qubul atau dubur, lelaki atau perempuan yang hidup atau mati, kecil atau dewasa, maka kesemuanya mewajibkan mandi.

Hadis Pertama :

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :

الْمَاءُ مِنْ الْمَاءِ . رواه مسلم وأصله في البخاري

Maksudnya : “Daripada Abi Said al-Khudri r.a katanya, Rasululah s.a.w. bersabda : Air adalah daripada air. Riwayat Muslim dan asalnya dalam Bukhari.

Mufradat al-Hadis

Air daripada air : “Air” pertama maksudnya air mutlak yang digunakan untuk mandi, “air” kedua adalah mani. Dari segi balaghah ia dikenali sebagai al-jinas al-tam dalam ilmu badi’. Makna hadis ialah Mandi berpunca daripada keluar air mani.

Pengajaran hadis

  1. Hadis ini menunjukkan tidak wajib mandi kecuali apabila keluar air mani dan tidak wajib mandi jika tidak keluar mani walaupun telah tenggelam hashafah. Ini adalah pandangan Daud al-Zahiri dan sebahagian kecil sahabat serta tabi’in.

Dalil mereka ialah hadis di atas dan hadis Bukhari bahawa Uthman ditanya tentang orang yang jimak isterinya dan tidak keluar mani. Lalu Uthman berkata : “Hendaklah ia berwudhuk seperti wudhuk untuk solat dan basuh zakarnya”.

  1. Pendapat kedua ialah jumhur ulama yang menyatakan bahawa jika tidak keluar mani maka diwajibkan mandi apabila telah tenggelam hashafah. Jumhur berkata : “mafhum hadis ini dimansuhkkan dengan hadis Abi Hurairah iaitu hadis kedua dalam bab ini”.

Kesimpulan

  1. Keluar mani mewajibkan mandi
  2. Jimak (tenggelam hashafah dalam kemaluan) mewajibkan mandi walaupun tidak keluar mani.