Tag Archives: hukum

Fatwa beli extended warranty

السؤال :
حصل زوجي على عمل في متجر كمبيوترات، فبالإضافة إلى بيع الأجهزة فإنه أيضاً يبيع كروت ضمان صيانة لمدة سنتين لكل كمبيوتر، ويظن أن بيع هذه الضمانات لا يجوز، فلا أدري ما الحكم في هذه المسألة ! فأنا أعمل في بيع الهواتف النقالة منذ ثلاث سنوات وأبيع هذا النوع من الضمانات للزبائن وقد قيل لي أنه لا بأس في ذلك ، فلا أدري إن كان الأمر كذلك بالنسبة لضمانات الكمبيوترات أم أن الأمر يختلف .. فأرجو منكم التوضيح .

Jawapan alhamdulillah, harus memjual barang dengan syarat menjamin servis baikpulih dalam tempoh tertentu. Ini termasuk dalam bab ‘promise’ atau bab ‘mensyaratkan manfaat bagi pembeli”. Kedua-duanya adalah harus. Lihat al-Hawafiz al-Tijariyyah karangan Dr. Khalid al-Muslih, hlm. 246.

Sebagaimana harus juga menambah harga barangan disebabkan pertambahan tempoh jaminan (extended warranty). Ini disebut dalam fatwa Sheikh Jibrin rhm.
Manakala membeli kad jaminan berasingan yang seperti seseorang membeli barang tanpa warranty atau membeli satu barang yang sudah tamat warrantynya. Lantas dia membeli kad jaminan yang lain untuk satu tempoh lain. Ini adalah tidak harus kerana mengandungi gharar dan perjudian. Ini kerana dia mungkin membayar (membeli) sesuatu yang mungkin dia dapat mengambil manfaat daripada servis baikpulih tersebut atau mungkin tidak dapat. Ini satu bentuk judi yang haram (qimar). Ini adalah asas yang sama seperti insuran konvensional.

Syeikh Jibrin rhm. pernah ditanya: “Apakah hukum meninggikan harga untuk menambah tempoh warranty? Beliau menjawab: “Tidak mengapa jika ada persetujuan. Adapun membeli kad khusus untuk jaminan, maka ia tidak harus. Wallahualam”.
Beza antara tambah harga barang disebabkan tambah tempoh warranty dan antara beli jaminan berasingan ialah kerana warranty pada keadaan pertama mengikut (tabi’) bagi kontrak jual beli. Kaedah menyebut :
يغتفر في التوابع مالا يغتفر في غيرها
Dimaafkan pada benda yang mengikut, apa yang tidak dimaafkan pada selainnya”.

Maka ulama menetapkan bahawa gharar yang ditegah ialah apa yang secara asalnya terkandung di dalam subjek akad, bukan pada tabi’ (benda yang mengikut).

SILA RUJUK islamqa.com

Advertisements

Hukum Main Kutu

Fatwa Sheikh Abdullah bin Jabarain tentang Kutu

Soalan :

Kami empat atau tiga orang ingin main kutu iaitu kami mengumpul sejumlah wang yang sama kadarnya di mana setiap orang perlu membayar kadar yang sama setiap bulan. Kemudian salah seorang akan mengambil wang tersebut secara giliran. Adakah ini harus atau tidak?

Jawapan :

Ia adalah harus. Ini dianggap hukum qard (pinjaman) yang diharuskan kerana ada matlamat memudahkan kepada peminjamn yang pertama. Ia dapat mengelakkannya daripada hutang dan membolehkannya menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kemudian dia akan membayarnya kembali secara ansuran bulanan, maka hukumnya adalah harus. Telah ada fatwa yang dikeluarkan oleh Lembaga Ulama Besar Arab Saudi berkenaan keharusannya sekiranya tiada darar (mudarat) kepada sesiapa dan selama mana ia tidak termasuk dalam qard (pinjaman) yang memberi manfaat. Wallahualam.

Ulasan : Oleh itu, kutu adalah harus dengan syarat :

1) Tiada mudarat kepada sesiapa

2) Tidak berbentuk qard bi al-fa’idah (pinjaman yang ada faedah tambahan).

Haram saham bercampur

Dalil Pengharaman Saham Syarikat Yang Asasnya Menjalankan Kegiatan Halal Dan Kadang Kala Menjalankan Aktiviti Haram (Saham Bercampur)

 

Syarikat ini adalah merupakan syarikat yang terbanyak kewujudannya pada masa sekarang. Pada asasnya, kegiatan mereka adalah halal, tetapi terdapat beberapa kegiatan haram seperti mereka mendeposit wang dalam bank konvensional, menjalankan kegiatan pinjaman faedah dan beberapa muamalat yang fasid lain. Para pengkaji ekonomi Islam berselisih pandangan dalam masalah ini. Sebahagian ulama mengharamkan menyertai syarikat yang mana asas kegiatannya halal dan turut menjalankan kegiatan haram seperti pinjaman ribawi (sama ada meminjam atau memberi pinjaman) maka hukumnya adalah haram.

 

            Pendapat ini dinyatakan oleh Dr. Ali al-Salus, al-Sheikh Ali al-Shaybani, Dr Soleh al-Marzuqi, Dr. Ahmad Muhyi al-Din Hasan, Dr. Darwish Justaniyah, Majlis Fatwa Kuwait Finance House, Kongres Fiqh Islam dan Ahli Lajnah Kekal Fatwa yang dianggotai oleh al-Sheikh Abd al-Aziz bin Baz, al-Sheikh Abd al-Razzaq Afifi, al-Sheikh Abdullah bin Qucud, al-Sheikh Abdullah bin Ghadyan dan ia adalah pendapat pertama al-Sheikh Muhammad bin Soleh al-Uthaymin.

 

            Berikut adalah beberapa dalil dan alasan yang digunakan oleh golongan yang mengharamkan saham tersebut.

 

Dalil Pertama :

Umum dalil-dalil pengharaman riba. Antaranya ialah :

Firman Allah Taala (Ali Imran : 130) :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya”.

 

Firman Allah Taala (al-Baqarah : 278-280) :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang Yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. Dan jika orang Yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) Bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya Yang besar Yang kamu akan dapati kelak)”.

 

Daripada Jabir r.a. katanya :

لعن رسول الله آكل الربا وموكله وكاتبه وشاهديه وقال هم سواء

Maksudnya : “Rasulullah melaknat pemakan riba, pewakilnya, penulisnya, saksinya dan baginda bersabda mereka adalah sama (dari segi dosa)”.

 

Orang yang menjadi penyumbang saham dalam syarikat menjalankan riba juga termasuk dalam orang yang menjalankan riba sama ada sedikit atau banyak. Tidak harus bagi orang Islam berkekalan dalam perbuatan riba sekalipun ia sedikit. Ini kerana syarikat tersebut dibina di atas asas wakalah, maka orang yang membeli sahamnya sama ada ia menjalankan sendiri aktiviti syarikat atau mewakilkan kepada orang lain atau pun ia menjalankan aktiviti syarikat sendiri pada sebahagiannya sambil mewakilkan pada sebahagian lain. Kesemua bentuk disebutkan diatas, maka orang yang membeli sahamnya dikira sebagai pelaku riba atau mewakilkan orang yang melakukan riba dengan redha. Sekiranya ia tidak redha nescaya ia tidak akan membeli sahamnya.

 

            Asas syarikat disebut sebagai wakalah adalah diketahui oleh semua ulama. Segala kerja syarikat dianggap akan dilakukan oleh semua rakan kongsi sama ada pemilik asal atau wakil seperti yang diperjelaskan. Justeru, jika syarikat menjalankan riba, maka setiap rakan kongsi akan bersama mereka dalam akiviti riba. Maka jelaslah dalil dan penghujahannya yang digunakan dengan dalil-dalil pengharaman riba. Wallahualam.

 

Dalil Kedua :

Firman Allah Taala (al-Ma’idah : 2 ) :

Maksudnya : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

 

Dalil Ketiga :

Sabda Nabi s.a.w dalam hadis Abu Hurairah r.a :

إذا نهيتكم عن شيء فاجتنبوه ، وإذا أمرتكم بأمر فأتمروا ما استطعتم

Maksudnya : “Apabila aku melarang kamu dari melakukan sesuatu maka hendaklah kamu jauhinya, dan apabila aku menyuruh kamu lakukan sesuatu maka hendaklah kamu lakukan sedaya mungkin”.

 

Maka setiap perkara yang dilarang, wajib dijauhi dan ditinggalkan secara keseluruhannya terutama riba yang merupakan dosa besar. Sedangkan riba ada dalam syarikat saham ini. Hadis ini menuntut larangan menyertai syarikat ini kerana wujudnya riba padanya.

 

Dalil Keempat :

عن عطاء قال : “نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن مشاركة اليهود والنصارى إلا أن يكون الشراء والبيع بيد المسلم

Maksudnya : Daripada Ata’ katanya : “Rasulullah s.a.w. melarang kita menyertai syarikat Yahudi dan Nasrani kecuali pembelian dan penjualan di tangan orang Islam”.

 

Di sini, ‘illah atau sebab larangan adalah kerana mereka bermuamalat dengan riba. Maka ia adalah larangan kepada kita menyertai semua syarikat orang yang bermuamalat dengan riba berdasarkan illah yang sama.

 

Perbincangan dalil : Hadis ini adalah mursal maka tidak boleh dijadikan hujah.

 

Dalil Kelima :

عن أبي حمزة قال : قلت لابن عباس : إن رجلا جلابا يجلب الغنم وإنه ليشارك اليهودي والنصراني قال : لا يشارك يهوديا ولا نصرانيا ولا مجوسيا قال : قلت لما؟ قال : لأنهم يربون والربا لا يحل

Maksudnya : Dari Abi Hamzah katanya, aku berkata kepada Ibn Abbas “Seorang peniaga lelaki membawa barangan dagangan (kambing) dan ia menyertai orang Yahudi dan Nasrani”. Lantas beliau berkata : “Janganlah ia menyertai Yahudi, Nasrani dan Majusi”. Aku bertanya, mengapa tidak boleh? Lalu beliau menjawab : “Kerana mereka melakukan riba dan riba tidak halal”

 

Dalam athar ini, ada penjelasan yang nyata tentang ketidakharusan menyertai syarikat orang yang melakukan riba. Ia adalah menjadi nas atau seperti nas dalam masalah ini.

Perbincangan dalil : Ia adalah hadis dhaif.

 

Dalil Keenam :

Melihat kepada maslahah yang wujud daripada pendapat yang melarang dan dibandingkan dengan maslahah yang wujud daripada pendapat yang mengharuskan.

  1. Antara maslahah tersebut ialah maslahah yang telah dinaskan iaitu terhindar daripada mafsadah riba.
  2. Antara maslahah juga ialah larangan orang Islam menyertai syarikat yang terlibat dengan riba akan memberi galakan kepada institusi kewanganatau bank-bank menghapuskan amalan riba. Bahkan ia satu percubaan mewujudkan cara yang syar’ie dalam pelaburan modal umat Islam. Ini kerana apabila mereka melihat orang Islam enggan melabur dalam aktiviti riba sedangkan mereka berhajat kepada dana (modal) daripada umat Islam, maka ini akan menyebabkan mereka terpaksa membuka pintu pelaburan yang lain yang disyariatkan.

Antara yang membantu perkembangan ini juga ialah orang-orang Islam lebih menerima pelabur yang hanya ingin menjalankan kegiatan yang selamat daripada transaksi riba sama ada syarikat atau bank.

 

Dalil Ketujuh :

Kaedah :

إذا اجتمع الحلال والحرام غلب الحرام

Maksudnya : “Apabila berhimpun yang halal dan haram maka akan dimenangkan yang haram”.

Para fuqaha’ menyebut antara masalah cabang kaedah ini ialah apabila wang haram bercampur dengan wang halal, maka hukum menjadi haram menjalankan urusan pada kedua-duanya sehinggalah boleh dibezakan antara halal dan haram jika boleh. Sekiranya tidak boleh dibezakan, ia dimaafkan jika tidak boleh dikira (terlalu banyak) sepertimana bercampur baur perkara haram yang banyak dalam satu negeri. Jika boleh dikira benda haram dan tidak tercapai kepada menggunakan benda harus kecuali dengan menggunakan benda haram, maka dimenangkan hukum haram sebab ihtiyat (berhati-hati).

 

Dalil Kelapan :

Kaedah

درء المفاسد أولى أو مقدم على جلب المصالح

Maksudnya : “Menolak keburukan lebih utama daripada mencapai kebaikan”.

 

            Kaedah ini menunjukkan apabila berlaku pertembungan antara mafsadah dan maslahah, maka biasanya perlu diutamakan menolak mafsadah. Ini kerana syarak lebih mengambil berat soal al-manhiyyat (larangan) daripada al-ma’murat (suruhan).

 

            Masalah saham yang dibincangkan boleh dimasukkan dalam kaedah ini. Menolak keburukan yang terhasil akibat melakukan perkara yang dilarang (riba dan kontrak yang batal) lebih utama daripada mencapai kebaikan yang wujud jika menyertai syarikat ini. Oleh itu, tidak harus menyertai syarikat (bercampur) seperti ini.  

 

Dalil Kesembilan :

Apabila dilihat kepada syarikat-syarikat seperti ini, diketahui bahawa harta haram yang diambil daripada amalan riba adalah tersebar dalam kesemua dananya. Maka percampuran yang berlaku dalam harta syarikat itu menjadikannya bercampur baur dengan perkara haram sehingga walaupu diberi satu bahagian daripada riba, hartanya masih bercampur dengan harta syarikat yang telah tersebar dengan perkara haram.

Ini adalah beberapa dalil pengharaman yang disebut oleh  Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, Prof. Madya di Jabatan Syariah, Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud, di di al-Qasim dalam thesis beiau bertajuk “al-Ashum wa al-Sanadat wa Ahkamuha fi al-Fiqh al-Islamiyy”.