Category Archives: Soal Jawab

Soal Jawab ini adalah berkaiatn segala permasalahan agama sama ada akidah, fiqh, politik, hadis, tafsir, usul fiqh dan sebagainya.

al-Sabiqun al-Awwalun

Soalan :

Adakah benar orang yang awal memeluk Islam dari kalangan fakir miskin dan hamba abdi?

Jawapan :

Dakwah Nabi s.a.w. melalui beberapa peringkat. Peringkat pertama ialah dakwah secara sirr (sembunyi). Dakwah Nabi s.a.w. pada tahap ini bergerak di kalangan mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan baginda seperti isteri-isteri baginda, anak-anak, hamba dan sahabat-sahabat rapat. Antara mereka yang awal menerima dakwah atau awal memeluk Islam ialah :

  1. Khadijah binti Khuwailid
  2. Ali bin Abi Talib
  3. Zaid bin Harithah
  4. Abu Bakar al-Siddiq
  5. Uthman bin Affan
  6. al-Zubair bin al-Awwam
  7. Talhah bin Ubaidillah
  8. Saad bin Abi Waqqas
  9. Abd Rahman bin Auf
  10. Uthaman bin Maz’un
  11. Abu Ubaidah bin al-Jarrah
  12. Abu Salamah bin Abd al-Asad
  13. al-Arqam bin Abi al-Arqam
  14. Bilal bin Rabah
  15. Suhaib bin Sinan
  16. Ammar bin Yasir
  17. Yasir
  18. Sumayyah binti Khabat
  19. Waraqah bin Naufal

Jelas antara nama-nama yang disebutkan mereka adalah kalangan orang yang terpilih dan mulia. Apa yang disebutkan tentang kebanyakan mereka yang awal memeluk Islam ialah kalangan fakir miskin, orang-orang lemah (dua’fa’) dan hamba abdi yang ingin mencari kemerdekaan adalah kurang tepat.

Pendapat yang tepat ialah mereka yang menanggung penyeksaan yang banyak kerana memeluk Islam ialah golongan hamba abdi. Mereka diseksa di hadapan khalayak ramai. Oleh itu, cerita mereka tersebar sedangkan golongan lain dilindungi oleh kabilah mereka. Ada kalangan mereka juga hanya diseksa dalam lingkungan kabilah mereka. Oleh sebab itu, cerita mereka kurang tersebar dan tidak disebutkan. (Salih Ahmad al-Shami, Min Ma’in al-Sirah, al-Maktab al-Islami, Beirut, hlm 35-36).

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud katanya : “Mereka yang awal menzahirkan Islam tujuh orang iaitu : Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, Ammar, ibunya Sumayyah, Suhaib, Bilal dan al-Miqdad. Adapun Rasulullah s.a.w., Allah Taala melindunginya melalui bapa saudaranya, adapun Abu Bakar, Allah melindunginya melalui kaumnya, manakala yang lain diseksa oleh orang musyrikin dengan dipakaikan baju besi dan dijemur di tengah terik matahari..”

Ibn Hajar (Fath al-Bari 1/35-36) menjelaskan makna kalimah “الضعفاء” dan “ألشرفاء” yang disebut dalam hadis Hiraql dengan Abu Sufyan. “الضعفاء” ialah pengikut para rasul biasanya orang yang merendah diri (ahl al-istikanah) bukan orang yang sombong (ahl al-istikbar) dan sentiasa menentang secara melampau serta hasad seperti Abu Jahal dan pengikutnya. Makna lafaz “الشرفاء” atau al-sharaf ialah yang seerti dengan takabbur. Dan ini adalah tafsir yang sepatutnya kita fahami berkenaan perkataan al-dua’afa’ dan al-shurafa’.

Begitu juga, bilangan yang awal memeluk Islam ialah 67 orang dan hanya 13 orang adalah golongon fakir miskin, mustad’afin, hamba abdi, dan orang ajam. Mereka hanya sekadar 1/5 daripada jumlah kesemua al-sabiqun al-awwalun. Maka mereka bukan golongan terbanyak atau kebanyakan dari kumpulan al-sabiqun al-awwalun. (Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad, al-Sirah al-Nabawiyyah fi Daw’ al-Masadir al-Asliyyah, hlm 161)

Larangan kawin kepada Sayyidina Ali

Apakah benar Sayyidina Ali ingin berkahwin dengan anak perempuan Abu Jahal lalu nabi melarangnya. Kalau nak kawin jugak kena ceraikan fatimah. Benarkah hadis ini dan kenapa Nabi melarang?

 

Jawapan :

Hadis yang disebutkan adalah dalam sahih al-Bukhari :

‏ ‏ ‏عن ‏ ‏المسور بن مخرمة ‏ قال سمعت رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يقول وهو على المنبر إن ‏ ‏بني هشام بن المغيرة ‏ ‏استأذنوا في أن ينكحوا ‏ ‏ابنتهم ‏ ‏علي بن أبي طالب ‏ ‏فلا آذن ثم لا آذن ثم لا آذن إلا أن يريد ‏ ‏ابن أبي طالب ‏ ‏أن يطلق ابنتي وينكح ابنتهم ‏ ‏فإنما هي بضعة مني ‏ ‏يريبني ‏ ‏ما أرابها ويؤذيني ما آذاها هكذا قال

Maksudnya : “Dari al-Miswar bin Makhramah katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda sedang baginda berada di atas minbar : “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin dariku untuk mengahwinkan anak perempuan mereka dengan Ali bin Abi Talib. Lantas aku tidak mengizinkannya kemudian aku tidak mengizinkannya kemudian aku tidak mengizinkannya kecuali jika anak Abi Talib menceraikan anak perempuanku dan mengahwini anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia adalah sebahagian dari diriku, meragui diri aku apa yang meraguinya dan menyakitiku apa yang menyakitinya”. Demikianlah ia berkata.

 

Nabi melarang Ali mengahwini anak perempuan Abu Jahal kerana ia menyakiti Nabi s.a.w. dan menyakiti nabi adalah perkara yang dilarang. Menurut Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (15/38) :

وزاد في رواية الزهري ” وإني لست أحرم حلالا , ولا أحلل حراما , ولكن والله لا تجمع بنت رسول الله وبنت عدو الله عند رجل أبدا ” وفي رواية مسلم ” مكانا واحدا أبدا ” وفي رواية شعيب ” عند رجل واحد أبدا ” قال ابن التين : أصح ما تحمل عليه هذه القصة أن النبي صلى الله عليه وسلم حرم على علي أن يجمع بين ابنته وبين ابنة أبي جهل لأنه علل بأن ذلك يؤذيه وأذيته حرام بالاتفاق ,

 

Maksudnya : “Dan ditambah dalam riwayat al-Zuhri sabda Nabi : “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, tetapi demi Allah tidak akan berhimpun anak perempuan Rasulullah dengan anak perempuan musuh Allah di sisi seorang lelaki selamanya”. Dalam riwayat Muslim : “satu tempat selamanya”. Dalam riawayat Syuaib : “di sisi seorang lelaki selamanya”. Ibn al-Tin bekata : “Paling tepat ditanggung kisah ini ialah Nabi s.a.w mengharamkan ke atas Ali memadukan (menghimpun) anak perempuannya (Fatimah) dengan anak perempuan Abu Jahal kerana Nabi menyebut sebabnya ialah ia menyakitinya dan menyakiti Rasulullah s.a.w adalah haram dengan sepakat ulama”.

 

Kata Ibn Hajar : “Dan yang zahir bagi saya ialah tidak jauh kalau dikatakan ia termasuk dalam khasa’is Nabi s.a.w. bahawa anak perempuannya tidak boleh dimadukan dan boleh jadi juga ia adalah khasa’is Fatimah.

Untuk keterangan lebih lanjut sila lihat Fath al-Bari karangan Ibn Hajar al-Asqalani.

Saham bercampur

Berikut adalah jawapan Sheikhuna wa Zamiluna Abu Umair al-Madani dalam

al-ahkam.net berkenaan masalah sekuriti bercampur. Terima kasih kerana kami semua

mendapat istifadah.

http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=35896&sid=1aefb82d53418974a68456f28d009e45

Soalan

Assalamualaikum…
Saya tertarik dgn soalan berkaitan saham bercampur halal dan haram.
Kalau tak silap saya memang ada dua pendapat.
1. Haram menyertai saham bercampur antara halal dan haram.
Dalil. Umum Surah al-Baqarah 278-280 dan Ali Imran : 130 dan lain-lain hadis berkaitan riba. Sekiranya syarikat saham menjalankan kegiatan babi, arak maka termasuk dalam larangan pengharaman arak.
2. Ada qaul yang dinisbahkan kepada Uthaimin. Harus bermuamalat dengan syarikat saham seperti ini selama mana kegiatan asasinya bukan berkaitan haram atau riba. Dengan syarat menetapkan kadar unsur haram (tanda aras) dan menggunakan dana haram untuk kebajikan.
Dalil berdasarkan kaedah : “Harus secara mengikut apa yang tidak harus secara tersendiri (mustaqillan)”. Kaedah lain, al-Hajah al-Ammah Tunazzalu Manzilat al-Darurah”.

Di Malaysia MPS Suruhanjaya Sekuriti telah memutuskan bahawa syarikat bercampur yang elemen haramnya sedikit dan tidak melebihi ukur rujuk yang telah ditetapkan MPS boleh dimasukan dalam senarai sekuriti patuh syariah. MPS berhujah dengan umum al-balwa dan gharar yasir perlu diambil kira dalam membuat justifikasi terhadap sesebuah syarikat bercampur yang aktiviti utamanya adalah halal.
(Keputusan MPS Suruhanjaya Sekuriti hlm 165)

Mohon penjelasan dari pakar-pakar al-ahkam secara lebih ditil dan rujukan yang lebih muktabar.


Sekian terima kasih

Jawapan

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Jazakallah Khaira atas info berkenaan dengan hukum membeli saham bercampur antara halal dan haram.

Memang ada dua pendapat masyhur di kalangan ulama sekarang (spt yang disebut).

Pendapat Pertama:
Hukumnya haram. Dan dipilih oleh:

i- Majmak al-Feqh al-Islami @ Islamic Fiqh Academy (IFA) yang bernaung di bawah OIC. Dalam satu persidangannya, diluluskan satu resolusi bernunyi:
“Dari segi asas, haram membeli saham di syarikat-syarikat yang kadangkala berurusan dengan anasir haram, seperti riba dan lain-lain, sekalipun aktiviti asasnya bertepatan dengan syarak”

ii- Al-Majmak al-Feqhiy al-Islami yang bernaung di bawah Rabitah al-Alam al-Islamiy (Muslim World League). Dalam satu resolusinya menyebut:
“Tidak harus bagi seorang muslim membeli saham-saham syarikat dan bank jika sebahagian ativitinya adalah riba, walhal pembeli itu mengetahui perkara demikian”.

iii- Lajnah Daemah di KSA yang dipengerusikan oleh Syeikh Bin Baz.

iv- Jawatankuasa Syariah di Dubai Islamic Bank.

v- Jawatankuasa Syariah di Kuwait Finance House.

vi- Jawatankuasa Penyelidikan Syarak di Bank Islam Sudan.

Pendapat Kedua:
Harus membeli saham di syarikat yang urusniaganya bercampur halal dan haram. Tetapi keuntungan yang diperolehi, hendaklah dibersihkan bahagian haramnya, mengikut peratus riba di syarikat.

Antara yang berpendapat demikian ialah:

i- Jawatankuasa Syariah di Al-Rajhi Bank Corp.

ii- Jawatankuasa Syariah di Jordan Islamic Bank.

Sesetengah yang mengharuskan meletakkan tanda aras berdasarkan peratusan untuk mengukur tahap percampuran yang dibenarkan.

Dan pendapat kedua yang mengharuskan inilah yang diguna di Malaysia secara rasmi. Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti telah meletakkan tanda aras tertentu mengikut jenis aktiviti.

Contohnya:

-Tanda aras 5% digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktivti yang jelas keharamannya, seperti riba, judi, dan daging babi.

– Tanda aras 10% bagi percampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur umum balwa.

– Tanda aras 20% bagi mengukur percampuran sumbangan terima sewaan daripada aktiviti tidak patuh syariah.

– Tanda aras 25% bagi mengukur percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya bertepatan syariah dan bermaslahah, namun terdapat unsur lain yang menjejaskan status syariahnya.

Walaubagaimanapun, penetapan kadar tanda-tanda aras ini hanyalah diasaskan kepada ijtihad. Jadi, ia bukan satu yang qat’ie, dan ia boleh dikaji semula dan dikemaskini mengikut masa.

Secara keseluruhan, seseorang Muslim wajar menghindari aktiviti-aktiviti yang diperselisihkan seperti ini. Kerana mengelak diri daripada perkara khilaf adalah dituntut.

Wallahu A’lam.

Jual beli matawang

Soalan : Apakah hukum jual beli mata wang asing (foreign exchange) pada masa hadapan, di mana perjanjian dimeterai pada masa sekarang atas satu harga tertentu sedangkan kemungkinan nilai mata wang akan menaik atau menurun pada masa hadapan?

Jawapan : Mengikut soalam, pembelian tersebut berlaku pada masa sekarang, mereka bersetuju untuk melewatkan penyerahan harga atau al-thaman (matawang negeri) dan al-muthman (mata wang asing). Ataupun mendahulukan salah satu antara keduanya dan melewatkan penyerahan objek kontrak lain. Waktunya telah disepakati oleh kedua-dua belah pihak yang berkontrak. Bentuk ini dinamakan al-sarf, maka jual beli ini tidak harus tergolong dalam akad riba kerana tidak memenuhi syarat keharusan al-sarf (pertukaran mata wang). Iaitu syarat (al-taqabud fi majlis al-aqd) yang wajib ada dalam jual beli emas dengan emas, perak dengan perak atau salah satu antara keduanya dengan yang lain sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith Abi Said al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Jangan kamu menjual emas kecuali sama timbangan dan jangan kamu melebihi sebahagianya atas sebahagian yang lain dan jangan kamu menjual yang ghaib daripadanya dengan yang hadir” (Bukhari 2175, Muslim 1584).

Perkataan akhir dalam hadis menyebut syarat al-taqabud. Begitu juga sabit dalam hadis masyhur yang dilaporkan oleh Ubadah bin al-Samit r.a dalam Muslim (1587), sabda nabi s.a.w. : “Emas dengan emas, perak dengan perak, Burr dengan burr, Gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, hendaklah sama nilai dan diserahkan pada masa yang sama. Sekiranya jenis-jenis itu berbeza maka juallah mengikut kamu kehendaki dengan syarat taqabud (yadan biyadin)”.

Dan diqiyaskan atas emas dan perak secara qiyas jaliyy setiap mata wang yang mempunyai ‘illah riba yang sama iaitu al-thumaniyyah (nilaian harga) seperti mata wang tempatan atau asing kerana kesemuanya mempunyai nilai. Justeru disyaratkan untuk sah jual beli antaranya seperti SR dengan SR atau RM dengan RM wujud tamathul (persamaan nilai) dan taqabud (serah segera). Dan disyaratkan untuk sah jual beli dengan mata wang asing ialah seperti SR dengan RM wujud taqabud sahaja.

Demikian juga disyaratkan wujud taqabud dalam pembelian emas atau perak dengan mata wang.

hukum kata : “Kamu masuk syurga”

Bismillah..Walhamdulillah Wa Ba’d…
Tidak boleh disaksikan seseorang itu masuk syurga kcuali kepada siapa yang disebutkan dalam nusus seperti al-Asharah al-Mubasyyarin bi alJannah, Hasan, Husain ketua pemuda ahli syurga, Bilal dan lain-lain.
Ahli Sunnah mengatakan tidak boleh disaksikan seseorang secara khusus bahawa masuk syurga atau masuk neraka, tetapi boleh diharapkan orang baik masuk syurga adn orang jahat dibimbangi masuk neraka. Orang yang melakukan maksiat, kita tidak boleh mengatakan “kamu masuk neraka” kepadanya.
Namun kita boleh menyebut secara umum, iaitu “setiap mukmin masuk syurga dan setiap kafir masuk neraka”. Ini umum.
adapun menyebut si fulan bin si fulan masuk neraka maka ini tidak harus. atau si fulan ini masuk syurga, pun tidak boleh. Tetapi kita harapkan kebaikan kepadanya jika ia istiqamah. Ini pendapat jumhur.
Ada sebahagian ulama mengharuskan kita menaik saksi orang yang terkenal dgn kebaikan bahawa ia akan masuk syurga. Berdalilkan dengan hadis
مروا عليه بجنازة فأثنوا عليها خيراً، فقال وجبت. ثم مروا بجنازة أخرى فأثنوا عليها شراً، فقال: وجبت. فسألوا عن ذلك فقال: هذا أثنيتم عليه خيراً فوجبت له الجنة، وهذا أثنيتم عليه شراً فوجبت له النار”. والله أعلم.
Lalu dengn jenazah lantas mereka puji kebakan. Nabi bersabda ; “Wajiblah”. Kemdian lalu jenazah lain dan mereka mengejinya. Nabi bersabada : Wajiblah. Lantaran itu sahabt bertyanya, Nabi menjawab : Ini kamu puji lalu wajiblah baginya syurga dan yang satu lagi kamu keji maka wajiblah neraka baginya
Wallahualam