Category Archives: Isu Semasa

Hijrah Nabi bulan Rabiulawwal

Bilakah Rasulullah s.a.w sampai di bumi Madinah?

Menurut riwayat yang direkodkan oleh al-Bukhari, Ibn Ishaq, al-Hakim dan lain-lain bahawasanya ketika mana sampai berita kepada kaum ansar tentang keluarnya Rasulullah s.a.w. berhijrah dari Mekah menuju Madinah, mereka keluar menunggu Rasulullah s.a.w. setiap hari di tanah lapang pada awal siang hari. Tatkala panas mula menjadi bersangatan, mereka pulang ke rumah masing-masing. Kemudian apabila tiba hari Isnin 12hb Rabiulawwal tahun ke 14 daripada kebangkitan Rasulullah s.a.w. (iaitu tahun pertama hijrah) bersamaan dengan 23hb September 622M, mereka keluar menunggu ketibaan Rasulullah seperti biasa. Teruskan membaca

Advertisements

Zakat kepada bukan Islam

Akhir-akhir ini banyak orang memperkatakan berkenaan isu memberi zakat kepada orang bukan Islam. Saya amat tertarik dengan artikel sahabat saya, Sheikh Abu Umair al-Madani dalam blognya yang menjelaskan hukum berkenaan isu ini secara ringkas dan padat disertakan dengan hujah dan dalil-dalil.
Untuk menyokong artikel berkenaan Teruskan membaca

Islam penyelamat ekonomi

Boleh dikatakan semua kesatuan ulama sedunia dan pertubuhan persidangan Islam menyeru agar diadakan satu persidangan antarabangsa khusus bagi membincangkan sudut pandang Syariah Islam dalam menangani krisis kewangan antarabangsa. Mereka menegaskan bahawa ekonomi Islam apabila diaplikasikan, ia mampu menghalang ekonomi terjebak dalam krisis seperti ini. Hal ini kerana sistem ekonomi Islam mengharamkan riba dan spekulasi yang menjadi aktiviti harian bank-bank dunia hari ini.

Dr. Ali al-Qurah Daghi, ketua Lajnah Isu-isu dan Minoriti Islam, Kesatuan Ulama Islam Sedunia menegaskan Teruskan membaca

Komen Dr Asri Ttg Harga Minyak

Di bawah adalah beberapa petikan yang saya ambil dari artikel Dr Asri, Mufti Negeri Perlis

Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.

Rujuk ayat di atas (al-Isra’ 26-27)

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.

Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada ATAS.

Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.

Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Ulasan albaruhiyy : Tahniah kepada Dr Asri atas tulisan ini. Maksud yang hendak disampaikan oleh beliau cukup mendalam. Diharap semua pembaca dapat menilai dan memikir situasi yang kita hadapi sekarang terutamanya golongan atasan. Wallahualam.

harga minyak naik lagi

Fuel hike: 78 sen more to RM2.70 per litre Jun 4, 08 4:55pm The government has just announced that petrol price will go up by 78 sen at midnight – a 40.6 percent jump from RM1.92 per litre to RM2.70. (http://www.malaysiakini.com/news/83938)

Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikkan harga petrol sebanyak 78 sen – satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70. Manakala harga minyak diesel pula naik kepada RM2.50 – naik 92 sen berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter. Menurut laporan Malaysiakini, kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 58.2 peratus bagi diesel akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini. Kerajaan juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan. Mengikut skim tersebut tersebut, kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM625 setahun – rebat bagi 800 liter di bawah harga baru. Pemilik motosikal pula akan diberi rebet RM120. Bayaran akan dibuat melalui wang pos. Difahamkan rebet tersebut akan dibayar apabila pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka. Kerajaan dijangka menjimatkan RM4 bilion di bawah penstrukturan semula skim subsidi tersebut.

Jika harga petrol dijual mengikut harga penuh pasaran, ia boleh mencecah setinggi hampir RM4 seliter – naik 100 peratus.

Bagaimanapun, kerajaan dijangka menuju ke arah memansuhkan terus pemberian subsidi pada masa depan. (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=014952&Itemid=28)

Bersatulah…

Sebagai rakyat Malaysia kita merasa terharu dan sedih apabila Pulau Batu Putih dapat dikuasai oleh Singapura. Kita merasa marah, kesal, geram dan sebagainya, namun Pulau Batu Putih tidak akan kembali kepada kita kecuali ada tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Pulau Batu Puteh hanya tujuh batu nautika dari pantai Malaysia dan 25 batu nautika dari Singapura.

Saya tertarik dengan kenyataan Haji Mahfuz Omar, ketua Penerangan PAS, “Kerajaan mesti bertindak segera untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman (judicial review) kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam tuntutan bertindih Malaysia dan Singapura ke atas Pulau Batu Puteh”. Tambah beliau lagi, Jangan nanti sehingga hampir sepuluh tahun baru hendak membuat semakan kehakiman. Jika Singapura mengukuhkan lagi cengkaman dan kelengkapan ketenteraannya ke atas pulau itu, keadaan akan semakin sukar.” (sumber : harakahdaily.net)

Apa yang pasti di masa akan datang Singapura pastinya akan mencabar Malaysia sekali lagi di ICJ mengenai hak-hak kedaulatan bagi beberapa kawasan termasuklah satu kawasan yang dijangkakan akan juga tergadai kepada Singapura iaitu WPI. Janganlah kita semua terkejut bilamana hak-hak mengawal ruang udara dan perairan Selat Melaka dan Selat Johor nantinya akan dicabar di ICJ oleh Singapura kerana sememangnya sejak dari dahulu lagi telah ada semacam perjanjian mulut oleh beberapa pihak di Semenanjung Tanah Melayu yang memberikan kuasa mentadbir Selat Melaka dan Selat Johor kepada Kompeni Inggeris.  (sumber ketuaperusuh.wordpress.com)

Sebaliknya saya melihat keputusan ini daripada aspek yang lain. Tidakkah anda terfikir, bila menyebut Malaysia maka majoritinya adalah Melayu dan bila menyebut Singapura maka majoritinya adalah kaum Cina. Apa yang telah terjadi antara Malaysia dan Singapura sejak akhir-akhir ini kadang kala menunjukkan Singapura mula menampakkan taringnya..Orang Melayu kalah dengan kaum Cina sejak dahulu lagi. Mereka kalah bukan setakat di peringkat antarabangsa, bahkan bermula dari peringkat kampung, daerah, negeri dan Negara mereka kalah dengan kaum cina? Sepatutnya kita mengambil pengajaran bahawa kaum cina mempunyai kekuatan dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu. Saya amat tertarik dengan buku yang dikarang oleh saudara Ann Wan Seng yang menceritakan bagaimana orang Cina boleh maju dalam bisnes mereka. Mereka mempunyai strategi dan kekuatan dan sewajarnya dicontohi oleh kita kaum Melayu. Mereka mempunyai semangat kerjasama dan permuafakatan yang tinggi. Mereka mempunyai kesungguhan dalam membuat sesuatu perkara. Sebab itu kita melihat kaum Cina boleh maju dalam perniagaan mereka dan boleh berjaya di tempat orang. Tokoh paling kaya di Malaysia adalah orang Cina. Antara 10 tokoh terkaya kaum Malaysia hanya seorang sahaja kaum Melayu. Mana menghilangnya Melayu di Malaysia? Justeru, dalam isu Pulau Batu Putih, diharapkan umat Islam di Malaysia mengambil iktibar. Jangan kita leka lagi, kerana kemungkinan Singapura akan menuntut pelbagai kawasan lain lagi. Di harap kerajaan bersiap sedia dengan menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji dan menilai kembali masalah ini. Dan paling penting, umat Islam mestilah bersatu. Marilah kita semua bersepakat dan kesepakatan kita mestilah didasarkan kepada Islam sebagai agama. Hanya Islamlah boleh membangunkan sebuah umah. Percayalah dan yakinlah….

Pertikaian Pulau Batu Putih

THE HAGUE, Belanda 23 Mei – Pertikaian mengenai status Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.

Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pemangku Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh ketika membaca keputusan kes tuntutan bertindih itu berkata, status mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih diputuskan oleh majoriti 12-4 hakim, manakala majoriti 15-1 hakim pula bersetuju berhubung kedudukan Middle Rocks dan South Ledge.

Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih.

“Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api.

“Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, adalah menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut.

“Oleh itu mahkamah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat yang mempengerusikan persidangan ICJ bagi memutuskan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Beliau bersidang bersama 15 orang hakim lain.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura mengemukakan nota bantahan kepada Malaysia menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.

Tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge pula hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara berhubung pertikaian Pulau Batu Putih.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sumber – Utusan Malaysia Online