Category Archives: Coretan Penulis

رحم الله أخانا الأستاذ وان محمد سليمي

اللهم اغفر لأخينا وان محمد وان سليمي بن وان سولوغ وارحمه رحمة واسعة……
Ucapan yang mampu saya hadiahkan buat sahabat karibku, Ustaz Wan Mohd Salimi Wan Sulong yang baru sahaja kembali ke Rahmatullah pada petang semalam 8 Jun 2009. Teruskan membaca

Sunah Yang Jarang dilakukan

Leka, sungguh leka, kita sebenarnya leka..terlepas pandang, kadang kala kita menyangka sudah banyak amalan sunah yang dilakukan. Namun sebaliknya, masih banyak amalan sunah yang ditinggalkan. Marilah sama-sama kita bermuhasabah, adakah amalan-amalan tersebut kita pernah lakukan? Teruskan membaca

Muhadarah al-Buti

Tertarik dengan perbincangan berkenaan dawabit al-taysir, saya telah melontarkan satu soalan kepada Dr. Muhammad Tawfiq Ramadan al-Buti tentang masalah ini pada hari Selasa 23/12/2008 baru-baru ini. Beliau mengatakan perlu diadakan satu muhadarah khusus berkenaan soalan saya, dan alhamdulillah terjayanya muhadarah khusus bertajuk ”al-Ijtihad al-Muasir fi al-Fiqh al-Islami bayna al-Taysir dan al-Tamyi’” pada hari Jumaat 26hb 12 2008 jam 3.30 ptg. Mungkin saya boleh nyatakan maksud tajuk ini dalam bahasa melayu iaitu ”Ijtihad Semasa dalam Fiqh Islam antara Prinsip Memudahkan dan Mempermudah-mudahkan”. Kebetulan apabila saya membuka blog sahabat saya (http://abuumair1.wordpress.com/2008/12/22/taisir-vs-tasahul/), beliau turut membahaskan permasalahan taysir dan tasahul. Terima kasih kepada Abu Umair kerana tulisan yang ringkas dan padat. Teruskan membaca

Mancetnya jakarta!

“Waduh! Mancetnya” (dlm BM : Aduh! jamenya). Itulah istilah yang biasa diungkapkan ketika berada di Pulau Jawa. Baru 2 hari saya pulang dari Jakarta, banyak perkara dan pengalaman baru dapat ditimba. Suasananya amat berbeza dari Kuala Lumpur. Perkara yang sangat menarik perhatian saya ialah Teruskan membaca

Antara mencari dan menunggu lailatulqadar?

Antara mencari dan menunggu lailatulqadar

Ibn al-Mulaqqin dalam karya beliau al-I’lam bifawa’id Umdat al-Ahkam pernah membawa kisah “sekumpulan orang-orang baik mengembara pada malam 23 Ramadan di atas kapal laut, lantas tiba-tiba ombak bergelora. Kapal mereka dipukul ombak, akibatnya salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam laut tersebut. Lelaki tadi tertelan air laut ketika terkapai-kapai dan alangkah terkejutnya dia bila mendapati air laut yang biasanya masin, pada malam tersebut menjadi tawar.”

Apakah malam tersebut benar-benar lailatulqadar? Sekiranya benar, alangkah beruntungnya mereka yang dipilih oleh Allah diperlihatkan malam lailatulqadar. Namun mereka yang memenuhi malam tersebut dengan ibadat adalah yang sebenar-benar beruntung. Sekiranya benar keberkatan lailatulqadar boleh dilihat oleh sesiapa yang dipilih oleh Allah. Amat bertuah kiranya kita menghidupkan malam tersebut dengan ibadat solat, membaca al-qur’an, zikir dan bertaubat kepada Allah.

Menariknya di sini juga, bayangkan sekiranya seseorang yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah pada malam lailatulqadar sudah pasti dosanya yang banyak ibarat masinnya air laut, akan diampunkan oleh Allah Taala seperti air laut menjadi tawar. Ya Rabb…ampunilah dosa-dosa kami…..

Rata-rata penceramah di masjid-masjid atau media massa elektronik hari ini memperkatakan tentang lailatulqadar. Kerana kita telah mula memasuki fasa ke-3 ramadan. Iaitu 10 terakhir ramadan. Hakikatnya memang Allah Taala merahsiakan malam itu daripada kita. Tujuannya adalah untuk menguji setiap orang-orang yang beriman sejauh mana kesungguhan mereka ingin bertemu dengan malam qadar. Namun di sana ada klu-klu tertentu sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. Klu pertama ialah :

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya : Carilah malam qadar pada 10 terakhir bulan Ramadan (al-Bukhari no 1880)

Bermakna, sekarang daripada 30 hari, hanya tinggal 10 hari sahaja untuk kita meneruskan usaha mencari lailatulqadar. Klu kedua ialah sabda Nabi s.a.w. :

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي السَّبْعِ الْأَوَاخِرِ

Maksudnya : Carilah malam qadar pada 7 terakhir Ramadan. (Muslim no.1986)

Tinggal 7 hari sahaja lagi, malam-malam yang meyakinkan kita ia adalah malam qadar. Seterusnya klu ketiga ialah sabda Nabi s.a.w :

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya : ”Carilah malam qadar pada malam ganjil 10 terakhri ramadan” (Bukhari no 1878)

Maka, hanya tinggal 5 hari sahaja lagi yang dapat kita jangkakan malam qadar akan tiba. Ini menunjukkan rahmat Allah Taala kepada manusia. Walaupun dirahsiakan namun, masi ada klu-klu yang diberitahukan….maka, apa tunggu lagi? Carilah…..

Kalau kita nak menang loteri, belilah semua tiket loteri.

Tips-tips menjadi mukmin berjaya bulan Ramadhan

Kalau kita nak menang loteri, belilah semua tiket loteri. Pasti dan confirm kita akan memenangi hadiah loteri tersebut”. Begitulah ungkapan yang pernah saya dengar dahulu. Suatu analogi yang dibuatnya bagi menunjukkan betapa perlunya seseorang itu bangun pada setiap malam bulan Ramadhan untuk merebut hadiah lailatulqadar.

Ironinya, Ramadhan yang menjelma setiap tahun memberi seribu satu makna bagi orang-orang yang beriman dan soleh. Para solehin dan siddiqin zaman silam berlumba-lumba mencari lailatulqadar setiap malam. Senario kehidupan mereka amat berbeza sekali jika nak dibandingkan dengan masyarakat dunia moden sekarang. Mereka hanya sibuk mengejar duit siang dan malam, mengejar lauk pauk berbuka puasa pada waktu petang, tidur berpanjangan pada siang hari, dan berlumba-lumba menonton siaran tv pada malam hari. Ke manakah perginya roh Ramadhan? Mana perginya keberkatan bulan keampunan, bulan berkat, bulan agung ini? Tidakkah kita mengetahui bahawa Nabi s.a.w bersabda :

أتاكم رمضان شهر بركة يغشاكم الله فيه فينزل الرحمة ويحط الخطايا ويستجيب فيه الدعاء ينظر الله إلى تنافسكم فيه ويباهي بكم ملائكته فأروا الله من أنفسكم خيراً فإن الشقي من حرم فيه رحمة الله

Maksudnya : “Telah datang kepadamu Ramadhan bulan berkat, Allah meliputi kamu padanya maka diturunkan rahmat, digugurkan dosa dan diperkenankan doa. Allah melihat perlumbaan kamu, Allah berbangga denganmu hadapan para malaikat, maka tunjukkanlah dari dirimu kebaikan. Sesungguhnya orang yang celaka adalah mereka yang diharamkan rahmat Allah daripadanya”.

Apakah yang harus dilakukan dalam bulan Ramadhan? Apakah suluk terbaik yang wajar diikuti setiap insan yang bergelar muslim?

Pertama : Orang mukmin pada bulan Ramadhan akan berpuasa di siang hari dimulai dengan ibadat sahur sebelum terbit fajar. Sahur ada keberkatan padanya serta lewatkanlah sahur ke waktu yang hampir kepada subuh. Percepatkanlah berbuka apabila masuk waktunya. Sesungguhnya manusia sentiasa berada dalam keadaan kebaikan sekiranya melaksanakan sunnah melewatkan sahur dan mempercepatkan berbuka.

Kedua : Jauhilah daripada semua perkara yang mencacatkan dan merosakkan puasa sama ada dalam ucapan atau perbuatanmu. Jauhilah segala bentuk perkara yang membatalkan puasa dan perkara yang boleh membawa kepada terbatalnya puasa.

Ketiga : Cubalah bangun (qiyam) pada waktu malam sekadar mampu, dan janganlah tinggalkan solat Terawih. Bantulah qiyam anda dengan merehatkan diri pada wkatu tengahari (qailulah) sedaya mungkin.

Keempat : Hindarkan diri anda daripada berjaga malam tanpa melakukan sebarang ketaatan. Dibimbangi keberkatan Ramadhan ditarik dari diri anda dan luputlah segala kebaikan, bahkan dikhuatiri menjerumuskan anda ke dalam kancah dosa.

Kelima : Makmurkan waktu anda dengan segala macam ketaatan dan ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T sepeti membaca al-Qur’an, beristighfar, zikir, doa, dakwah kepada kebaikan, amar makruf nahi mungkar, membantu segala perbuatan baik dan sebagainya.

Keenam : Rebutlah peluang membuka hidangan berbuka atau sahur kepada mereka yang berpuasa. Bantulah mereka dan hindarilah diri anda daripada menyakiti mereka. Takutlah kepada Allah dan jauhilah diri anda daripada kemungkinan dihalang daripada mendapat nikmat dan rahmat Allah dalam bulan ini.

Mudah-mudahan Allah Taala memilih anda menjadi seorang mukmin yang berjaya pada bulan Ramadhan. Amin

Bertakwalah dalam sumpah

Bahana Sumpah Dusta

 

Akhir-akhir ini, kita mula mendengar kalimah sumpah, mubahalah, laknat Allah dan sebagainya. Gara-gara fitnah menfitnah yang berlaku di Negara kita, masyarakat mula menyedari betapa pentingnya sumpah dengan nama Allah. Isu DSAnwar Ibrahim dan Saiful hangat diperkatakan oleh sesiapa sahaja. Baru-baru ini Saiful sudah pun bersumpah dengan sumpah laknat yang dilakukan di Masjid Wilayah. Diikuti pula, YAB Timbalan Perdana Menteri membuat sumpah menyatakan bahawa beliau tidak mengenali wanita Mongolia itu. Seterusnya, Bekas Menteri Besar Perak juga bersumpah menyatakan beliau tidak terlibat dalam apa-apa konspirasi menjatuhkan kerajaan PR Perak dalam isu rasuah EXCOnya.

 

            Sepatutnya, umat Islam perlu berhati-hati dengan lafaz sumpah dengan nama Allah. Janganlah terlalu dipermainkan nama Allah dan nampak terlalu mudah melafazkannya. Umat Islam perlu diingatkan dengan bala dan bencana akibat mempermudahkan atau memperkecilkan sumpah dengan nama Allah. Kita bimbang, masyarakat non muslim di luar sana, hanya melihat dan geli hati dengan perbuatan umat Islam. Seolah-olah kita umat Islam mudah sangat bersumpah dengan nama Allah. Tidak masyarakat non muslim akan melihat umat Islam seolah-olah memperkecilkan nama Allah. Ada sesetengah yang bersumpah dengan nama Allah, boleh bersumpah dalam keadaan suka-suka dan senyum-senyum. Seolah-olah tiada kegerungan pada sumpah yang dilakukan. Firman Allah :

77. Sesungguhnya orang-orang Yang mengutamakan keuntungan dunia Yang sedikit Dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian Yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata Dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.

 

Ayat ini mencela orang Yahudi yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan mereka mengetahui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan mereka bersumpah atas apa yang mereka ucapkan padahal Allah Taala Maha Mengetahu apa yang dikatakan.

 

            Justeru, wahai sekelian umat Islam, janji dan sumpah dengan nama Allah merupakan perkara yang sangat besar. Ia tidak boleh dianggap remeh dan perkara mudah-mudah sahaja. Ia bukan hanya satu ucapan biasa. Surah al-Maidah (89) :

dan jagalah – peliharalah sumpah kamu.

 

Janganlah terlalu mudah menggunakan nama Allah apabila berlaku pertembungan politik, pemikiran, perbalahan perkara kecil dan remeh dan sebagainya. Ingatlah satu hadis tentang larangan Nabi daripada sumpah dusta:

من اقتطع مال امرئ مسلم بيمين هو فيها فاجر لقي الله وهو عليه غضبان

Maksudnya : ‘Barang siapa yang mengambil harta seorang muslim dengan sumpah yang mana ia dusta padanya, maka nescaya ia akan bertemu Allah sedang Allah murka ke atasnya”.

            Mudah-mudahan umat Islam memuliakan nama Allah dan hindarilah bersumpah dengan nama Allah kecuali berada dalam pihak yang benar. Wallahualam.

 

 

 

             

semangat belajar

Kadang-kala kita merasa malas..kadang kala kita merasa rajin…..kadang kala kita merasa lemah semangat…..kadang kala kita merasa boring…kadang kala kita merasa bersemangat….begitulah situasi perasaan mereka yang menuntut ilmu. Saya pasti setiap orang yang menuntut ilmi pernah melalui perasaan seperti itu. Bagi mereka yang baru menjejakkan kaki ke alam kampus, kebanyakan mereka pasti berkobar-kobar ingin menuntut ilmu. Semangat dan niat murni ini ibarat api yang menyala terang benderang. Akan tetapi, jika tidak dijaga dan dikawal, api tersebut mungkin boleh terpadam jika ditiup angin kencang. Api tersebut mungkin menjadi malap jika tidak disokong oleh minyak yang merangsang api tersebut.

            Sesi baru bagi pelajar universiti baru sahaja bermula dua minggu lepas. Sudah pasti kita seronok melihat gelagat pelajar baru tahun satu yang datang. Mereka mula cuba menyesuaikan diri dengan keadaan di universiti. Kita boleh lihat dari riak wajah mereka betapa semangat dan murni niat mereka, ingin menuntut ilmu. Namun, apakah semangat ini akan berterusan sehingga akhir tahun? Atau adakah akan berterusan sehingga mereka menjadi graduan? Adakah semangat  ini akan berhenti selepas tamat semester ini?

            Semangat untuk belajar wajar dipelihara dan dijaga, agar tidak luntur dan hilang begitu sahaja. Menuntut ilmu perlukan kesabaran dan ketabahan. Seorang penyair Arab pernah berkata :

لا تحسب المجد تمرة أنت آكله        لن تبلغ المجد حتى تلعق الصبر

Maksudnya : “Janganlah kamu menyangka kemulian itu umpama buah tamar yang kamu memakannya, kamu tidak akan mencapai kemuliaan sehingga kamu menjilat pokok sobir (yang pahit).

Penyair ini mengumpamakan sabar seperti pokok sobir yang sangat pahit. Kejayaan dan kemulian bukan seperti buah tamar yang sangat manis boleh dimakan. Tetapi ia adalah pahit, bermakna walaupun pahit kita mesti sabar menelannya kerana ingin mencapai matlamat.

Menuntut ilmu memerlukan kepada kesungguhan dan usaha yang jitu. Seorang pelajar tidak boleh hanya menggoyangkan kaki menunggu ilmu datang kepadanya. Imam al-Bukhari pernah berkata :

العلم لا يأتي وإنما يؤتى إليه

“Ilmu itu tidak akan datang kepada kita, tetapi di datangi kepadanya”

 

            Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa memperbaharui semangat dan perlu mencurahkan usaha lebih untuk mendapatkan ilmu. Mudah-mudahan semua penuntut ilmu mendapat semangat yang baru setiap hari untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Islam dan konvensional sama?

“Sama saja, Islamic atau konvensional, yang beza akad je” kata-kata seorang staff sebuah bank di Cheras. Dalam hati saya rasa nak membalas balik dengan sindiran pedas, “sama ke kalau kita kawin atau tak kawin, semuanya dapat anak”? atau “sama ke kalau kita makan ayam disembelih dengan ayam yang ditembak?

Beginilah kelemahan kerani-kerani bank di tanahair kita. Saya maksudkan kerani yang beragama Islam. Pengalaman semalam ketika saya berurusan dengan mereka untuk mendapat pembiayaan kereta membuatkan saya terfikir sekali lagi betapa lemahnya pemahaman dan pemikiran masyarakat Islam berkenaan perbankan Islam. Tanggapan mereka, bank Islam atau bukan Islam adalah sama sahaja. Apakah kita boleh menyamakan antara Islam dan kufur? Adakah sama antara riba dan jual beli? Orang yang menyamakan antara riba dan jual beli telah disifatkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah : 275. Firman Allah s.w.t :

 

Maksudnya : “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang Yang dirasuk Syaitan Dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba”.

 

            Tanggapan dan sikap masyarakat perlu diperbetulkan dari sekarang. Bagaimana kita mahu memajukan perbankan Islam kalau orang Islam sendiri yang mengatakan sama antara perbankan Islam dengan konvensional. Mereka tidak mengutamakan perbankan Islam. Sudah 2 minggu saya menanti kelulusan pihak bank untuk meluluskan pembiayaan bagi pembelian kereta. Tiba-tiba semalam, mereka tersalah meluluskan pembiayaan konvensional. Bila saya kata saya nak kepada Islamic, jawapan yang terkeluar dari mulut seorang staff yang muslim, “sama saja, Islamic atau konvensional”.

 

Di sinilah kita dapat meihat antara perkara yang menghambat usaha memajukan perbankan Islam. Pemahaman masyarakat terutamakan pegawai perbankan (bankers) amat cetek dan tidak dapat membezakan antara Islam dan konvensional. Ini kemungkinan kerana permulaan sistem perbankan Islam terbina dalam kerangka besar sistem ekonomi dan kewangan konvensional yang telah lama diamalkan di Malaysia. Perbankan konvensional sudah bertapak kukuh dan diterima dengan meluas di kalangan rakyat termasuk umat Islam. Di samping wujud kesan daripada penjajahan dan faktor-faktor lain, pegangan umat Islam terhadap agamanya masih longgar dan pemikiran majoriti mereka terhadap halal haram terbatas dalam soal makanan dan minuman sahaja.

 

Mudah-mudahan umat Islam diberi pendedahan yang meluas berkenaan perbankan Islam. Dan yang paling utama perlu ditekankan aspek rohani, iaitu kecenderungan kepada mengamalkan setiap ajaran Islam. Bukan hanya melihat aspek keuntungan atau wang ringgit.

 

Gara-gara minyak naik!

Gara-gara minyak naik!

Semalam jam 9.00 malam saya keluar menghantar isteri ke UKM kerana beliau ada aktiviti sukan di sana. Alangkah terkejutnya melihat jalan raya sesak. Tak pernah sesak seperti ini, kereta bejujuk (loghat Trg : “tersusun”). Semua jalan yang menuju ke UKM dipenuhi dengan kenderaan yang berpusu-pusu. Stesen minyak Shell yang terhampir dengan rumah saya sesak dengan kenderaan sepanjang ½ kilometer. Stesen minyak Shell jalan Reko juga sesak. Ada sebuah kereta yang mati dan terpaksa ditolak oleh pemiliknya sendiri kerana kehabisan minyak. Inilah gara-gara harga minyak naik 41% hari ini bagi petrol. Jadi orang ramai mula mengisi minyak penuh sebelum kenaikan itu berkuatkuasa 12 tengah malam nanti.

Bagi rakyat Malaysia, pasti kita merasa agak kesal, marah, geram kat kerajaan dan merasa terbeban. Paling kasihan dan terniaya ialah golongan berpendapatan rendah atau miskin. Bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan mendatang. Apabila harga minyak naik, sudah pasti harga barang akan juga melambung. Dalam buletin utama tv3 semalam, Dato’ Sharir, Menteri DNHEP ada mengatakan kenaikan harga minyak hari ini tidak akan memberi kesan limpahan kenaikan harga barang lain. Saya rasa nak tanya balik kat beliau, “dato’ tau macam mana harga barang tak naik?”. Bagi saya, tak payah nak uar-uarkan bermacam-macam insentif, rebetlah, subsidi makanan lah dan tak payah nak kata harga barang lain tak naik. Rakyat Malaysia dah ada pengalaman sebelum ini. Harga barang pasti naik. Manakala rebet yang dinyatakan oleh kerajaan sebanyak RM625 setahun bagi pengguna kenderaan bawah 2000cc tidak boleh membantu dan tidak mencukupi. Bayangkan kalau seseorang itu menggunakan minyak sehari sebanyak 5 liter dengan harga RM 2.70 seliter. Dia terpaksa membayar sebanyak RM 13.50 sehari. Sebelum ini dia hanya membayar RM9.60 untuk lima liter dengan harga RM1.92 seliter. Beza antara kedua-dua harga ialah RM3.90. RM3.90 jika disimpan oleh pengguna dalam masa setahun, mereka akan dapat lebih kurang RM1388.40. Jumlah itu lebih besar berbanding RM625 yang diberikan kerajaan. Ini congak mudah yang saya fikirkan.

Tambahan pula dengan bebanan harga barang yang akan meningkat akibat peningkatan harga minyak. Harga beras telah naik sebelum diumumkan kenaikan harga minyak. Mungkin satu taktik dinaikkan harga beras terlebih awal sebelum harga minyak naik. Lepas ni, harga makanan dan lauk pauk di restoran semua akan naik. Kalau sekarang seorang nak makandi restoran mungkin hanya membayar lebih kurang RM5, tapi ia mungkin menjadi RM10. Tidak mustahil (bukan semat-mata nak melawak) ada orang makan “nasi dengan kuah” saja. Begitu juga harga simen akan naik tidak lama lagi, kerajaan sudah mansuhkan harga siling simen baru-baru ini. Bermakna pembekal berhak menaikkan harga simen melebihi paras harga siling sebelum ini. Macam-macam lagi akan naik, kata orang-orang kampong, “semua akan naik, beras naik, simen naik, minyak masak naik, kecuali satu..hujan je turun”. Alhamdulillah, hujan kan berkat turun dari Allah Taala.

Sebenarnya, saya melihat situasi kenaikan harga minyak di Malaysia ini akan berterusan. Kerajaan telah mengumumkan harga minyak bergantung kepada harga minyak dunia. Apabila berlaku kenaikan harga minyak, banyak implikasi buruk yang akan dihadapi rakyat. Bagi mereka yang menyewa bas sekolah untuk anak-anak ke sekolah, mungkin akan menghadapi kenaikan tambang bas sekolah. “Bas sekolah pakai minyak kan, bukan pakai air!”. Kalau ada seorang anak mungkin kurang merasa, tapi kalau tiga atau lebih yang menyewa bas sekolah. Tidakkah peritnya ibu bapa yang menanggung. Dari segi ekonomi, pada pandangan saya, kegiatan pengeluaran akan menurun berbanding sebelum. Ini kerana kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barang. Maka kuasa beli pengguna akan menurun dan seterusnya berlaku inflasi. Kemungkinan, para pengeluar terpaksa menghentikan aktiviti pengeluaran atau mengurangkannya kerana kurang permintaan daripada pengguna. Permintaan berkurangan akibat kuasa beli menurun di kalangan pengguna. Akhirnya, pertumbuhan ekonomi juga akan terbantut.

Dari sudut lain, nak tak nak, minyak dah naik..sebagai pengguna kita tak dapat mengelak situasi ini. Maka sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mencari jalan atau merancang hidup untuk masa depan. Kenaikan harga minyak mengajar kita untuk lebih berjimat jermat dalam perbelanjaan harian. Makan minum jangan terlalu boros. Beli pakaian kalau dahulu, sebulan 3 helai baju baru, sekarang sebulan satu helai atau jarakkan dua bulan sekali beli baju baru. Islam pun menggalakkan umatnya berjimat jermat. Itulah yang dinamakan sebagai ekonomi atau dalam bahasa Arab al-Iqtisad. Iqtisad bermaksud kesederhanaan atau dengan kata lain, berjimat cermat dalam kehidupan. Islam juga melarang umatNya daripada melakukan pembaziran. Pembaziran air dan elektrik. Jangan terkejut, kerana ada sesetengah orang membasuh keretanya setiap hari! Padahal kalau tidak basuh kereta setiap hari, keretanya tidak akan mati. Jadi berpada-padalah dalam menggunakan air. Jangan terlalu membazir.

Justeru, bagi saya, untuk menunggu kerajaan menurunkan harga minyak, saya merasakan ia tidak akan berlaku. Kerana kerajaan pun menyatakan bahawa subsidi minyak akan dimansuhkan sepenuhnya. Walaupun harga minyak dunia akan menurun semula, kerajaan tidak akan menurunkan harga minyak lagi, kerana berdasarkan pengalaman lepas selepas minyak kembali ke paras harga normal, kerajaan tidak menurunkan harga minyak juga. Kecualilah mungkin, berlaku pertukaran kerajaan, mungkin akan berlaku perubahan. Bagi rakyat Malaysia, saya merasakan kalaulah kita mahu buat bantahan, buatlah secara rasional dan tepat. Guna saluran yang lebih membawa manfaat. Demonstrasi jalanan tidak akan membawa apa-apa faedah. Tidakkah kita lihat berapa banyak demonstrasi yang dilakukan. Kerajaan masih berdegil menurunkan harga minyak. Oleh itu, rakyat Malaysia perlu merancang masa depan sama ada dengan menguruskan perbelanjaan harian dengan bijak atau menunggu pilihanraya akan datang…Wallahualam..sekadar luahan dan coretan saya….fikir-fikirkan lah…