Category Archives: Artikel Ilmiyyah

Haram saham bercampur

Dalil Pengharaman Saham Syarikat Yang Asasnya Menjalankan Kegiatan Halal Dan Kadang Kala Menjalankan Aktiviti Haram (Saham Bercampur)

 

Syarikat ini adalah merupakan syarikat yang terbanyak kewujudannya pada masa sekarang. Pada asasnya, kegiatan mereka adalah halal, tetapi terdapat beberapa kegiatan haram seperti mereka mendeposit wang dalam bank konvensional, menjalankan kegiatan pinjaman faedah dan beberapa muamalat yang fasid lain. Para pengkaji ekonomi Islam berselisih pandangan dalam masalah ini. Sebahagian ulama mengharamkan menyertai syarikat yang mana asas kegiatannya halal dan turut menjalankan kegiatan haram seperti pinjaman ribawi (sama ada meminjam atau memberi pinjaman) maka hukumnya adalah haram.

 

            Pendapat ini dinyatakan oleh Dr. Ali al-Salus, al-Sheikh Ali al-Shaybani, Dr Soleh al-Marzuqi, Dr. Ahmad Muhyi al-Din Hasan, Dr. Darwish Justaniyah, Majlis Fatwa Kuwait Finance House, Kongres Fiqh Islam dan Ahli Lajnah Kekal Fatwa yang dianggotai oleh al-Sheikh Abd al-Aziz bin Baz, al-Sheikh Abd al-Razzaq Afifi, al-Sheikh Abdullah bin Qucud, al-Sheikh Abdullah bin Ghadyan dan ia adalah pendapat pertama al-Sheikh Muhammad bin Soleh al-Uthaymin.

 

            Berikut adalah beberapa dalil dan alasan yang digunakan oleh golongan yang mengharamkan saham tersebut.

 

Dalil Pertama :

Umum dalil-dalil pengharaman riba. Antaranya ialah :

Firman Allah Taala (Ali Imran : 130) :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya”.

 

Firman Allah Taala (al-Baqarah : 278-280) :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang Yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. Dan jika orang Yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) Bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya Yang besar Yang kamu akan dapati kelak)”.

 

Daripada Jabir r.a. katanya :

لعن رسول الله آكل الربا وموكله وكاتبه وشاهديه وقال هم سواء

Maksudnya : “Rasulullah melaknat pemakan riba, pewakilnya, penulisnya, saksinya dan baginda bersabda mereka adalah sama (dari segi dosa)”.

 

Orang yang menjadi penyumbang saham dalam syarikat menjalankan riba juga termasuk dalam orang yang menjalankan riba sama ada sedikit atau banyak. Tidak harus bagi orang Islam berkekalan dalam perbuatan riba sekalipun ia sedikit. Ini kerana syarikat tersebut dibina di atas asas wakalah, maka orang yang membeli sahamnya sama ada ia menjalankan sendiri aktiviti syarikat atau mewakilkan kepada orang lain atau pun ia menjalankan aktiviti syarikat sendiri pada sebahagiannya sambil mewakilkan pada sebahagian lain. Kesemua bentuk disebutkan diatas, maka orang yang membeli sahamnya dikira sebagai pelaku riba atau mewakilkan orang yang melakukan riba dengan redha. Sekiranya ia tidak redha nescaya ia tidak akan membeli sahamnya.

 

            Asas syarikat disebut sebagai wakalah adalah diketahui oleh semua ulama. Segala kerja syarikat dianggap akan dilakukan oleh semua rakan kongsi sama ada pemilik asal atau wakil seperti yang diperjelaskan. Justeru, jika syarikat menjalankan riba, maka setiap rakan kongsi akan bersama mereka dalam akiviti riba. Maka jelaslah dalil dan penghujahannya yang digunakan dengan dalil-dalil pengharaman riba. Wallahualam.

 

Dalil Kedua :

Firman Allah Taala (al-Ma’idah : 2 ) :

Maksudnya : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

 

Dalil Ketiga :

Sabda Nabi s.a.w dalam hadis Abu Hurairah r.a :

إذا نهيتكم عن شيء فاجتنبوه ، وإذا أمرتكم بأمر فأتمروا ما استطعتم

Maksudnya : “Apabila aku melarang kamu dari melakukan sesuatu maka hendaklah kamu jauhinya, dan apabila aku menyuruh kamu lakukan sesuatu maka hendaklah kamu lakukan sedaya mungkin”.

 

Maka setiap perkara yang dilarang, wajib dijauhi dan ditinggalkan secara keseluruhannya terutama riba yang merupakan dosa besar. Sedangkan riba ada dalam syarikat saham ini. Hadis ini menuntut larangan menyertai syarikat ini kerana wujudnya riba padanya.

 

Dalil Keempat :

عن عطاء قال : “نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن مشاركة اليهود والنصارى إلا أن يكون الشراء والبيع بيد المسلم

Maksudnya : Daripada Ata’ katanya : “Rasulullah s.a.w. melarang kita menyertai syarikat Yahudi dan Nasrani kecuali pembelian dan penjualan di tangan orang Islam”.

 

Di sini, ‘illah atau sebab larangan adalah kerana mereka bermuamalat dengan riba. Maka ia adalah larangan kepada kita menyertai semua syarikat orang yang bermuamalat dengan riba berdasarkan illah yang sama.

 

Perbincangan dalil : Hadis ini adalah mursal maka tidak boleh dijadikan hujah.

 

Dalil Kelima :

عن أبي حمزة قال : قلت لابن عباس : إن رجلا جلابا يجلب الغنم وإنه ليشارك اليهودي والنصراني قال : لا يشارك يهوديا ولا نصرانيا ولا مجوسيا قال : قلت لما؟ قال : لأنهم يربون والربا لا يحل

Maksudnya : Dari Abi Hamzah katanya, aku berkata kepada Ibn Abbas “Seorang peniaga lelaki membawa barangan dagangan (kambing) dan ia menyertai orang Yahudi dan Nasrani”. Lantas beliau berkata : “Janganlah ia menyertai Yahudi, Nasrani dan Majusi”. Aku bertanya, mengapa tidak boleh? Lalu beliau menjawab : “Kerana mereka melakukan riba dan riba tidak halal”

 

Dalam athar ini, ada penjelasan yang nyata tentang ketidakharusan menyertai syarikat orang yang melakukan riba. Ia adalah menjadi nas atau seperti nas dalam masalah ini.

Perbincangan dalil : Ia adalah hadis dhaif.

 

Dalil Keenam :

Melihat kepada maslahah yang wujud daripada pendapat yang melarang dan dibandingkan dengan maslahah yang wujud daripada pendapat yang mengharuskan.

  1. Antara maslahah tersebut ialah maslahah yang telah dinaskan iaitu terhindar daripada mafsadah riba.
  2. Antara maslahah juga ialah larangan orang Islam menyertai syarikat yang terlibat dengan riba akan memberi galakan kepada institusi kewanganatau bank-bank menghapuskan amalan riba. Bahkan ia satu percubaan mewujudkan cara yang syar’ie dalam pelaburan modal umat Islam. Ini kerana apabila mereka melihat orang Islam enggan melabur dalam aktiviti riba sedangkan mereka berhajat kepada dana (modal) daripada umat Islam, maka ini akan menyebabkan mereka terpaksa membuka pintu pelaburan yang lain yang disyariatkan.

Antara yang membantu perkembangan ini juga ialah orang-orang Islam lebih menerima pelabur yang hanya ingin menjalankan kegiatan yang selamat daripada transaksi riba sama ada syarikat atau bank.

 

Dalil Ketujuh :

Kaedah :

إذا اجتمع الحلال والحرام غلب الحرام

Maksudnya : “Apabila berhimpun yang halal dan haram maka akan dimenangkan yang haram”.

Para fuqaha’ menyebut antara masalah cabang kaedah ini ialah apabila wang haram bercampur dengan wang halal, maka hukum menjadi haram menjalankan urusan pada kedua-duanya sehinggalah boleh dibezakan antara halal dan haram jika boleh. Sekiranya tidak boleh dibezakan, ia dimaafkan jika tidak boleh dikira (terlalu banyak) sepertimana bercampur baur perkara haram yang banyak dalam satu negeri. Jika boleh dikira benda haram dan tidak tercapai kepada menggunakan benda harus kecuali dengan menggunakan benda haram, maka dimenangkan hukum haram sebab ihtiyat (berhati-hati).

 

Dalil Kelapan :

Kaedah

درء المفاسد أولى أو مقدم على جلب المصالح

Maksudnya : “Menolak keburukan lebih utama daripada mencapai kebaikan”.

 

            Kaedah ini menunjukkan apabila berlaku pertembungan antara mafsadah dan maslahah, maka biasanya perlu diutamakan menolak mafsadah. Ini kerana syarak lebih mengambil berat soal al-manhiyyat (larangan) daripada al-ma’murat (suruhan).

 

            Masalah saham yang dibincangkan boleh dimasukkan dalam kaedah ini. Menolak keburukan yang terhasil akibat melakukan perkara yang dilarang (riba dan kontrak yang batal) lebih utama daripada mencapai kebaikan yang wujud jika menyertai syarikat ini. Oleh itu, tidak harus menyertai syarikat (bercampur) seperti ini.  

 

Dalil Kesembilan :

Apabila dilihat kepada syarikat-syarikat seperti ini, diketahui bahawa harta haram yang diambil daripada amalan riba adalah tersebar dalam kesemua dananya. Maka percampuran yang berlaku dalam harta syarikat itu menjadikannya bercampur baur dengan perkara haram sehingga walaupu diberi satu bahagian daripada riba, hartanya masih bercampur dengan harta syarikat yang telah tersebar dengan perkara haram.

Ini adalah beberapa dalil pengharaman yang disebut oleh  Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, Prof. Madya di Jabatan Syariah, Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud, di di al-Qasim dalam thesis beiau bertajuk “al-Ashum wa al-Sanadat wa Ahkamuha fi al-Fiqh al-Islamiyy”.

Teori Pengeluaran

Teori Pengeluaran Menurut Ekonomi Islam

Pengeluaran merupakan elemen penting dalam ilmu ekonomi dari segi hubungan kemasukan pendapatan, peningkatan taraf hidup dan memenuhi keperluan atau kehendak manusia serta memastikan kestabilan ekonomi dalam sesebuah Negara. Oleh kerana pentingnya aktiviti pengeluaran dalam ekonomi, ada sesetengah sarjana mendefinisikan ilmu ekonomi sebagai ilmu undang-undang pengeluaran.

Kepentingan pengeluaran dapat dilihat dari beberapa sudut. Dari segi ekonomi Islam, pengeluaran dianggap sebagai asas kepada penggunaan dan penggunaan amat penting untuk memastikan kesinambungan kehidupan manusia. Bagi memastikan penggunaan keperluan manusia dapat dicapai sama ada daruriyyat atau hajiyyat maka Islam meletakkan pengeluaran sebagai asasnya. Allah Taala tidak menjadikan semua sumber alam ini telah siap untuk memenuhi kehendak manusia, tetapi Allah menjadikannya berhajat kepada aktiviti pengeluaran agar dapat dimanfaatkan. Islam juga memandang pengeluaran sebagai satu ibadat dan juga sebagai satu mekanisme untuk melaksanakan perintah Allah Taala. Ini menunjukkan betapa pentingnya pengeluaran dalam ekonomi Islam.

Definisi Pengeluaran

Ekonomi Barat membataskan kefahaman tentang pengeluaran hanya pada mewujudkan barangan material (madiyyah). Ada sesetengah aliran mazhab ekonomi meluaskan konsep pengeluaran sehingga mencakupi aspek barangan (material) dan perkhidmatan selama mana ia dapat merealisasikan manfaat kepada manusia. Kemudian pakar ekonomi mula menyebut lafaz pengeluaran bagi menunjukkan makna yang merangkumi aktiviti berikut :

i. Kegiatan memindahkan barangan dari satu tempat yang mana kurang dimanfaatkan di situ ke satu tempat lain yang boleh dimanfaatkan dengan lebih banyak. Ia dinamakan “manfaat tempat”.

ii. Kegiatan mengumpul barangan dalam sumbernya dan memeliharanya daripada musnah. Menggunakannya ketika waktu kekurangan seperti aktiviti pengumpulan beras. Ini dinamakan “manfaat tempat”.

iii. Kegiatan yang dijalankan oleh golongan professional seperti doktor dan jurutera yang menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap manusia. Ini dinamakan “manfaat perkhidmatan individu”.

iv. Sebahagian ahli ekonomi menambah satu lagi bentuk manfaat lain iaitu “manfaat pemilikan atau pertukaran”. Manfaat ini disandarkan kepada material di mana ia boleh bertukar tangan seperti saham yang ditulis padanya kontrak pemilikan.

Mungkin pengeluaran menurut ekonomi Islam boleh ditakrifkan sebagai mencurahkan kesungguhan (segala usaha) untuk mengembang sumber kekayaan mengikut asas-asas dan matlamat syariat bertujuan memastikan kesenangan masyarakat dalam memenuhi keperluan material dan rohani.

Takrif ini menjelaskan hakikat dan asas pengeluaran iaitu kegiatan menggunakan kekayaan dan menambah serta mewujudkannya melalui kaedah mengembangkannya atau melaburkannya dalam sebarang projek pengeluaran. Ia turut menjelaskan bahawa sumber kepada penggunaan dan pelaburan ini ialah syariat Islam. Justeru, segala kegiatn pengeluaran wajib berada dalam lingkungan syariat Islam. Takrif ini juga menyebut objektif pengeluaran iaitu merealisasikan kesenangan kepada individu masyarakat Islam. Ini sekaligus mengekalkan kewujudan mereka malahan nilai mereka. Kesenangan ini tidak akan tercapai hanya pada keperluan material sahaja, bahkan perlu kepada keperluan maknawi (rohani) seperti intelektual (ilmu).

Objektif Pengeluaran

Pengeluaran dalam Islam bukan semata-mata untuk mencapai manfaat material sebagaimana dinyatakan dalam sistem ekonomi lain. Bahkan ekonomi Islam ingin mencapai matlamat manfaat maknawi atau rohani yang mana akan membawa kepada kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat. Maka, seorang muslim tidak akan menjalankan aktiviti pengeluaran semata-mata untuk memenuhi kehendaknya atau kehendak keluarganya sahaja. Ia juga bertujuan memenuhi kehendak orang lain bahkan untuk semua makhluk Allah. Pengeluaran juga bertujuan menjadikan seseorang muslim tidak berhajat kepada manusia lain atau dengan kata lain menjadikan tangannya ialah tangan yang berada di atas. Sabda Nabi s.a.w. :

اليد العليا خير من اليد السفلى

Maksudnya : “Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah”.

Orang Islam akan menjadikan aktiviti pengeluaran sebagai mekanisme untuk ia menjalankan ketaatan kepada Allah dan beribadat kepadaNya. Bagaimanakah seseorang yang tidak mempunyai sebarang mekanisme atau wasilah yang melindungi daripada mati kebuluran atau ketakutan boleh melaksanakan ibadat kepada Allah Taala. Begitu juga seseorang yang tidak mempunyai bahan atau alat yang boleh melindunginya daripada kepanasan cahaya matahari pada musim panas atau daripada kesejukan musim sejuk. Orang yang tidak mempunyai mekanisme yang memberinya keamanan dan kesihatan kepada tubuh badannya juga tidak mampu melaksanakan ibadat kepada Allah Taala. Maka, benarlah bahawa pengeluaran merupakan satu mekanisme untuk mencapai matlamat asasi iaitu mengimarahkan dunia dan merealisaikan tugas khilafah atas muka bumi.

Justeru, seorang muslim akan menjalankan aktiviti pengeluaran untuk mencapai objektif kehidupannya dan mengukuhkan masyarakat Islam. Ia juga bertujuan membangunkan konsep khilafah, taraf kebaikan (khairiyyah) yang diberikan oleh Allah dan juga taraf saksi kepada umat-umat lain di bumi ini. Firman Allah Taala (Ali Imran : 110) :

Maksudnya : “Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada Segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Maka pengeluaran dalam Islam tidak bermatlamatkan penguasaan ke atas sistem pasaran, atau matlamat penyorokan barang atau mengutamakan kebendaan duniawi seperti sistem kapitalisme. Matlamat utama pengeluaran dalam Islam ialah untuk mencapai kebaikan, kesenangan dan manfaat umum kepada seluruh masyarakat. Ini adalah kerana menjujung perintah Allah Taala dalam al-Qur’an (al-Qasas : 77) :

Maksudnuya : “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Ia bertujuan untuk mencari keredhaan Allah kerana keredhaanNya adalah merupakan matlamat yang ingin dicapai oleh setiap muslim dalam segala aktiviti ekonomi yang dilakukan. Firman Allah Taala (al-An’am : 162-163) :

Maksudnya : “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja Aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”.