Penentuan tarikh lailatul qadar

Adakah Lailatul Qadar telah diberitahu?

Firman Allah Taala:

وما أدراك ما ليلة القدر

Ertinya: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?”

Menurut para mufassirin, istifham tersebut menunjukkan kebesaran dan kagungan malam tersebut, seolah-olah ilmu berkaitannya bergantung kepada Allah Taala (Ibn Kathir 4/350, al-Shawkani, 5/471).

Al-Bukhari (4/255) dalam kitab sahihnya menjelaskan bahawa Sufyan bin Uyainah pernah berkata: “Setiap ayat (وما أدراك) dalam al-Quran, Allah telah memberitahunya, dan setiap ayat (وما يدريك), maka Allah tidak memberitahunya”.

Dalam kitab tafsir adwa’ al-bayan, dinyatakan bahawa ini adalah kebiasaan dalam al-Quran sedangkan secara realitinya, lafaz (وما أدراك ) datang sebanyak 13 kali dan semuanya diberitahukan kecuali ayat (وما أدراك ما الحاقة). Dalam surah al-Qadr, Allah swt memberitahu mengenai kelebihan lailatul qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Dan benarlah bahawa Allah juga telah memberitahu Nabi s.a.w. mengenai tarikh sebenar lailatul qadar ketika itu, namun ilmu mengenai tarikh tersebut telah diangkat daripada Rasulullah s.a.w. berdasarkan hadis sahih:

عبادة بن الصامت قال خرج النبي صلى الله عليه وسلم ليخبرنا بليلة القدر فتلاحى رجلان من المسلمين فقال خرجت لأخبركم بليلة القدر فتلاحى فلان وفلان فرفعت وعسى أن يكون خيرا لكم فالتمسوها في التاسعة والسابعة والخامسة

Maksudnya: Daripada Ubadah bin al-Somit katanya, Nabi s.a.w pernah keluar untuk memberitahu mengenai lailatul qadar, tiba-tiba dua orang lelaki dari kalangan orang Islam berkelahi. Lalu Nabi bersabda: “Aku telah keluar untuk memberitahumu tentang lailatul qadar, tapi si fulan berkelahi dengan si fulan, maka ia telah diangkat. Mudah-mudahan ia menjadi satu kebaikan untuk kamu, carilah ia pada malam ke sembilan, ketujuh dan kelima”.

Bolehkah berlaku lailatul qadar selain Ramadan?

Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa lailatul qadar boleh berlaku selain dari Ramadan. Antara ulama yang menyokong pandangan ini ialah Abu Bakar al-Jassas (rujuk Ahkam al-Quran lil Jassas) .

Walau bagaimanapun, berdasarkan nas-nas al-Quran, hadis dan kalam para al-salaf al-soleh, jelas menunjukkan bahawa lailatul qadar hanya berlaku pada bulan Ramadan. Antara hujahnya ialah surah al-Qadr menyatakan Allah menurunkan Quran pada malam qadar dan surah al-Baqarah menyatakan ia turun pada bulan Ramadan. Maka jelaslah malam qadar berlaku pada bulan Ramadan.

Bahkan al-Hafiz Ibn Khuzaimah r.hm menyebut dalam sahihnya satu bab khusus bertajuk:

باب ذكر الدليل على أن ليلة القدر هي في رمضان من غير شك ولا ارتياب في غيره

“Bab mengenai dalil menunjukkan lailatul qadar ialah pada bulan Ramadan tanpa syak bukan meraguiya pada bulan lain”.

Bilakah tarikh lailatul qadar?

Berdasarkan nas-nas al-Quran dan hadis, lailatul qadar hanya berlaku pada malam-malam bulan Ramadan sahaja. Namun begitu, secara lebih spesifik, bilakah malam tersebut? Apakah tarikhnya?

Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan malam qadar sehingga al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menganggarkan sebanyak 42 pendapat. Al-Hafiz al-Iraqi pula mengatakan perselisihan pendapat sampai kepada 52 pendapat. Manakala menurut al-Hazimi, para ulama berbeza pandangan mengenai penentuan tarikh lailatul qadar sehingga dinukilkan lebih dari 60 pendapat ulama.

Punca perselisihan pandangan ini sepertimana dinyatakan oleh Abu al-Abbas al-Qurtubi : “Dan ini adalah pandangan-pandangan bagi para salaf dan ulama dan sebabnya ialah kerana perbezaan hadis-hadis…”

Antara pendapat-pendapat tersebut ialah seperti berikut:

i. Lailatul Qadar telah diangkat (tiada lagi lailatul qadar). Lailatul qadar khusus pada satu tahun pada zaman Nabi s.a.w. Pandangan ini ditolak oleh ijmak ulama.

ii. Lailatul Qadar khusus pada bulan Ramadan, dan mungkin berlaku pada mana-mana malam Ramadan tersebut.

iii. Lailatul Qadar boleh berpindah dari satu tahun ke satu tahun dalam bulan Ramadan. Dinukilkan dari Abu Hanifah.

iv. Lailatul Qadar berlaku pada satu malam khusus daripada Ramadan, namun ia tidak diketahui. Diriwayatkan dari Abu Yusuf dan Muhammad.

v. Malam pertama Ramadan. Pendapat Abu Razin al-Uqayli.

vi. Malam nisfu Ramadan.

vii. Malam-malam separuh terakhir

viii. 10 malam pertengahan dan terakhir.

ix. Malam-malam sepuluh terakhir

x. Malam 21

xi. Malam 27

xii. Malam 29

Rumusan pandangan ulama

Selain dari pandangan-pandangan di atas, banyak lagi pandangan lain yang dinukilkan daripada para alim ulama silam. Namun, apabila melihat kepada nas-nas hadis sahih yang diriwayatkan dari Rasulullah saw., maka boleh dirumuskan perkara berikut:

i. lailatul qadar berlaku hanya pada bulan Ramadan secara khusus. Dalilnya ialah:

Surah al-Dukhan 1-4

Surah al-Qadr 1-5

Surah al-Baqarah 185.

Ayat-ayat ini jelas menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam lailatul qadar yang disebut dalam surah al-Baqarah sebagai bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran.

ii. Paling diharapkan berlakunya lailatul qadar ialah pada sepuluh terakhir Ramadan. Ini berdasarkan hadis yang sahih dilaporkan oleh Abu Said al-Khudri, sabda Nabi:

إنها في العشر الأواخر فمن أحب منكم أن يعتكف فليعتكف

Ertinya: “Sesungguhnya ia berlaku pada 10 terakhir, maka barangsiapa dari kalangan kamu yang suka untuk beriktikaf, maka beriktikaflah ” (Sahih Muslim 1167)

Dalam hadis Ibn Abbas, Nabi bersabda:

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان، في تاسعة تبقى في سابعة تبقى في خامسة تبقى

Ertinya: “Carilah ia pada sepuluh terakhir dari Ramadan iaitu pada sembilan berbaki, tujuh berbaki, lima berbaki”.

Para ulama menukilkan ijmak para sahabat mengenai hal ini. Abu al-Razzaq dalam musannaf meriwayatkan dari Ibn Abbas r.a bahawa beliau berkata: “Umar bin al-Khattab pernah memanggil para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dan bertanya mengenai lailatul qadar, mereka berijmak bahawa ia berlaku pada sepuluh terakhir”.

iii. Paling diharapkan ialah pada malam-malam ganjil dalam 10 terakhir Ramadan. Ini berdasarkan hadis-hadis Nabi seperti sabda:

تحروا ليلة القدر في الوتر في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya: “Carilah lailatul qadar pada malam ganjil daripada 10 terakhir Ramadan” [Bukhari dan Muslim]

Hadis Ubadah bin al-Somit:

وعسى أن يكون خيراً لكم، فالتمسوها في التاسعة، والسابعة، والخامسة

Ertinya: “Mudah-mudahan ia menjadi satu kebaikan bagi kamu, maka carilah ia pada malam kesembilan, ketujuh dan kelima”.

Hadis Ibn Abbas yang telah disebutkan di atas: “Carilah ia pada sepuluh terakhir dari Ramadan iaitu pada sembilan berbaki, tujuh berbaki, lima berbaki”

iv. Paling diharapkan pada 7 terakhir Ramadan.

Hadis Ibn Umar ra. menceritakan bahawa beberapa orang sahabat Nabi telah diperlihatkan lailatul qadar dalam mimpi mereka pada 7 terakhir Ramadan. Lalu Nabi s.a.w bersabda:

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر، فمن كان متحريها، فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya: “Aku melihat mimpi-mimpimu menepati pada 7 terakhir Ramadan, maka barangsiapa yang ingin mencarinya, maka carilah pada 7 terakhir Ramadan.

v. Paling diharapkan pada malam 27 Ramadan

Daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Maksudnya : “Lailatul qadar ialah malam ke 27” (Direkodkan oleh Imam Ahmad 4793 daripada hadis Ibn Umar dengan sanad sahih, dan Abu Dawud1386 daripada hadis Mu’awiyah bin Abi Sufyan)

Imam Muslim merekodkan (762) daripada Ubay bin Kaab r.a. bahawa beliau pernah bersumpah mengatakan malam 27 adalah malam lailatul qadar. Begitu juga Ibn Abi Shaibah meriwayatkan daripada Zurr bahawa beliau pernah ditanya tentang lailatul qadar, maka jawabnya : “Adalah Umar, Huzaifah dan sebahagian sahabat tidak menyesyaki lagi bahawa malam 27 adalah lailatul qadar” (al-Durr al-Manthur, tafsir surah al-Qadr).

Ada beberapa dalil lain lagi yang disebut oleh ulama. Sebagai contoh, jika kita mengkaji surah al-Qadr, perkataan فيها (fiha) dalam ayat ( تنزل الملائكة والروح فيها) adalah perkataan yang ke 27 daripada surah tersebut. Ada juga ulama yang mengistinbatkan malam qadar pada malam 27 melalui kaedah perkiraan atau matematik. Kalimah ليلة القدر mengandungi 9 huruf. Ia disebut sebanyak 3 kali dalam surah al-Qadr. Maka 9×3 = 27. Namun cara ini tersangat jauh untuk dijadikan pegangan. Ia terlalu takalluf, jadi tidak perlu dipegang dengan cara-cara seperti ini.

Antara dalil-dalil syarak yang boleh dijadikan hujah ialah kisah seorang lelaki yang bermimpi melihat malam qadar pada malam 27 ramadan, lantas Nabi bersabda :

أرى رؤياكم في العشر الأواخر فاطلبوها في الوتر منها

Maksudnya : “Aku melihat mimpi-mimpi mu pada sepuluh terakkhir maka carilah nya pada malam-malam witir daripadanya”. (Bukhari 2015)

Kesimpulannya, melihat kepada kisah ini, Nabi s.a.w. tidak mengakui dan membenarkan bahawa malam 27 adalah malam qadar tetapi Nabi lebih cenderung menggalakkan umatnya mencari lailatul qadar pada sepuluh terakhir daripadanya. Manakala malam ke 27, mungkin ia adalah biasa berlaku (wallahualam) dan kadang kala boleh berlaku pada malam ke 21 seperti hadis Abi Said al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. sujud pada pagi 21 atas tanah becampur air (في ماء وطين). Dan mungkin boleh berlaku malam-malam lain. Hadis-hadis yang dinyatakan di atas mengenai lailatul qadar, seperti berkaitan malam-malam ganjil, malam 27, atau 7 terakhir, maka ia boleh dijadikan sebagai “klu” untuk mencari lailatul qadar. Bahkan kadang-kadang sepertimana yang disebutkan oleh Ibn Battal ia juga berbeza jika mengikut bulan Ramadan tersebut sama ada sempurna (30 hari) atau tidak (29 hari).

Ibn Battal rhm. menjelaskan:

قال ابن بطال: “وإنّما يصح معناه وتُوافِق ليلة القدر وتراً من الليالي على ما ذُكِر في الحديث: إذا كان الشهر ناقصاً، فأما إن كان كاملاً فإنها لا تكون إلا في شفع، فتكون التاسعة الباقية: ثنتين وعشرين، والخامسة الباقية: ليلة ست وعشرين، والسابعة الباقية: ليلة أربع وعشرين على ما ذكره البخاري عن ابن عباس

Ertinya: “Sesungguhnya sah makna lailatul qadar menepati pada malam ganjil berdasarkan apa yang disebut dalam hadis, apabila bulan tersebut kurang (29 hari sahaja). Manakala sekiranya bulan tersebuh sempurna (30 hari sahaja), maka ia tidak akan berlaku melainkan pada malam genap. Maka 9 berbaki jatuh pada malam ke 22, lima berbaki jatuh pada malam ke 26 dan 7 berbaki jatuh pada malam 24 sepertimana disebut oleh al-Bukhari dan Ibn Abbas.”

Begitu juga sama seperti yang disebutkan oleh Ibn Taimiah r.hm:

لكن الوتر يكون باعتبار الماضي فتطلب ليلة إحدى وعشرين، وليلة ثلاث وعشرين، وليلة سبع وعشرين، وليلة تسع وعشرين، ويكون باعتبار ما بقي كما قال النبي صلى الله عليه وسلم : لتاسعة تبقى، لسابعة تبقى، لخامسة تبقى، لثالثة تبقى”. فعلى هذا إذا كان الشهر ثلاثين يكون ذلك ليالي الأشفاع، وتكون الاثنان والعشرون تاسعةً تبقى، وليلةُ أربع وعشرين سابعة تبقى. وهكذا فسره أبو سعيد الخدري في الحديث الصحيح، وهكذا أقام النبي صلى الله عليه وسلم في الشهر… وإذا كان الأمر هكذا فينبغي أن يتحراها المؤمن في العشر الأواخر جميعه

Ertinya: “Tetapi maksud witir (ganjil) sama ada mengikut malam yang telah lepas, maka dicari malam 21, 23, 27 29, atau sama ada mengikut malam yang berbaki seperti yang disabda Nabi s.a.w: “bagi sembilan berbaki, tujuh berbaki, lima berbaki, tiga berbaki”. Justeru, berdasarkan ini jika bulan (ramadan) tersebut 30 hari, ia (lailatul qadar) ialah malam genap iaitu malam 22 berbaki sembilan, malam 24 berbaki 7. Dan demikianlah ditafsirkan oleh Abu Said al-Khudri dalam hadis sahih, dan demikian juga Nabi menghidupkan malam dalam bulan ini……Apabila hal ini sepertimana yang disebutkan, maka wajarlah seseorang itu mencarinya pada seluruh 10 terakhir”.

Inilah yang disokong oleh al-Nawawi dalam fatwa beliau (hlm. 65) menjelaskan bahawa malam qadar boleh berpindah-pindah dari satu satu ke tahun:

“Dan pendapat yang masyhur dalam mazhab kami lailatul qadar terbatas pada 10 terakhir Ramadan. Malam tersebut tertentu satu malam tidak berpindah, bahkan ia berlaku pada setiap tahun pada malam yang sama. Namun pendapat terpilih ialah malam tersebut berpindah-pindah, boleh jadi sesetengah tahun ia pada satu malam tertentu dan tahun-tahun lain ialah berlaku pada malam yang lain. Tetapi ia hanya berpindah-pindah dalam lingkungan 10 terakhir. Dengan ini dapat dihimpunkan dalil-dall hadis sahih yang banyak”.

2 responses to “Penentuan tarikh lailatul qadar

  1. mengikut yang saya tahu, sememangnya ianya berlaku dalam sepuluh malam yang terakhir terutama malam ganjil dan tidak pernah ditegaskan oleh nadi s.a.w pada malam tertentu, cuma disuruh beramal dan beriktikaf dan tiada bukti nyata tanda seperti pokok tunduk dan sebagainya. hanya nabi dan Allah sahaja yang tahu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s