Fatwa Saudi mengenai isu hari raya jatuh hari Jumaat


Banyak persoalan mengenai isu hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka berhimpun dua perayaan (Hari Raya Aidilfitri/Adha dan Hari Jumaat iaitu raya mingguan). Persoalannya adakah wajib solat Jumaat bagi sesiapa yang telah mengerjakan solat hari Raya, atau adakah memadai solat Hari Raya dan hanya wajib zohor menggantikan jumaat hari tersebut. Adakah perlu di azankan zohor di masjid atau tidak?…. Justeru, Lajnah Tetap Penyelidikan dan Fatwa Arab Saudi mengeluarkan fatwa berikut :

Dalam isu ini terdapat beberapa hadis marfu’ dan athar mawquf. Antaranya :

1. Hadis Zayd bin Arqam r.a bahawa Muawiyah bin Abi Sufyan r.a pernah bertanya kepadanya : “Adakah kamu pernah menyaksikan dua hari raya berhimpun pada hari sama bersama dengan Rasulullah s.a.w.?”. Jawabnya : “Ya”. Ditanya lagi : “Apa yang dilakukannya?”. Jawabnya lagi : “Baginda solat Raya kemudian member rukhsah dalam solat Jumaat dan baginda bersabda :
من شاء أن يصلي فليصل
“Barangsiapa yang ingin solat, maka solatlah”. [direkodkan Ahmad, Abu Dawud, al-Nasaie, Ibn Majah dan al-Darimi serta al-Hakim dalam al-Mustadrak. Kata beliau (al-Hakim) : Hadis ini sahih isnad dan kedua-duanya (Bukhari dan Muslim) tidak mengeluarkannya, baginya shahid mengikut syarat Muslim. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi dan al-Nawawi berkata dalam al-Majmuk : “Isnadnya baik”.

2. Dan shahidnya yang disebutkan ialah hadis Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Telah berhimpun hari kamu ini dua perayaan, maka barangsiapa yang ingin, memadai baginya solat raya dari Jumaat, dan kami sesunggunya melakukan Jumaat”. [Direkodkan al-Hakim seperti yang telah dijelaskan dan direkodkan Abu Dawud, Ibn Majah, Ibn al-Jarud, al-Bayhaqi dan lai-lain].

3. Hadis Ibn Umar r.a katanya :
اجتمع عيدان على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم فصلى بالناس ثم قال: من شاء أن يأتي الجمعة فليأتها ومن شاء أن يتخلف فليتخلف
“Telah berhimpun dua perayaan pada zaman Rasulullah s.a.w lantas baginda solat bersama orang ramai dan bersabda : Barangsiapa yang ingin datang solat Jumaat, maka datanglah, dan barangsiapa yang ingin tidak datang, maka tidak perlu datang”.[direkodkan Ibn Majah, dan al-Tabarani dalam al-Mukjam al-Kabir dengan lafaz :

اجتمع عيدان على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم: يوم فطر وجمعة، فصلى بهم رسول الله صلى الله عليه وسلم العيد، ثم أقبل عليهم بوجهه فقال: يا أيها الناس إنكم قد أصبتم خيراً وأجراً وإنا مجمعون، ومن أراد أن يجمع معنا فليجمع، ومن أراد أن يرجع إلى أهله فليرجع
Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Rasulullah s.a.w. iaitu Hari Raya AidilFitri dan Jumaat. Maka Rasulullah solat Raya bersama orang ramai dan kemudian mengadap mereka seraya bersabda : “Wahai sekalian manusia, kamu telah mengenai kebaikan dan ganjaran, sesungguhnya kami melakukan jumaat. Barangsiapa yang ingin melakukan jumaat bersama kami, datanglah dan barangsiapa yang ingin pulang kepada keluarganya silalah pulang”

4. Hadis Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
اجتمع عيدان في يومكم هذا فمن شاء أجزأه من الجمعة وإنا مجمعون إن شاء الله
“Telah berhimpun dua hari raya pada hari kamu ini, maka barngsiapa yang ingin, memadai baginya (solat hari raya) dari Jumaat, dan sesungguhnya kami melakukan solat Jumaat InsyaAllah”. [direkodkan Ibn Majah dan berkata al-Busiriyy : “Isnadnya sahih dan perawinya thiqah.

5. Ada riwayat mursal dari Zakwan bin Soleh, kata beliau : “Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Rasulullah s.a.w. iaitu hari Jumaat dan hari raya maka baginda solat kemudian baginda bangkit seraya berkhutbah hadapan orang ramai dan berkata :
اجتمع عيدان على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم جمعة ويوم عيد فصلى ثم قام، فخطب الناس، فقال: قد أصبتم ذكراً وخيراً وإنا مجمعون، فمن أحب أن يجلس فليجلس -أي في بيته- ومن أحب أن يجمع فليجمع.
Maksudnya : “Kamu telah mengenai zikir dan kebaikan, dan sesungguhnya kami melaksanakan Jumaat. Maka barangsiapa yang hendak duduk, maka duduklah (yakni dirumahnya) dan barang siapa yang hendak melakukan solat Jumaat, maka lakukanlahnya”. [direkodkan al-Bayhaqi dalam al-Sunan al-Kubra]

6. Daripada Ata’ bin Abi Rabah kata beliau : “Ibn al-Zubayr pernah bersolat hari raya bersama kami pada hari Jumaat iaitu awal pagi, kemudian kami pergi solat Jumaat dan beliau tidak turut serta bersama kami solat Jumaat. Lantaran itu kami solat masing-masing. Dan ketika itu, Ibn Abbas di Taif. Bilamana beliau sampai, kami ceritakannya kepada beliau dan beliau berkata :
أصاب السنة
Maksudnya : “Kamu telah menepati sunnah” [direkodkan Abu Dawud]. Manakala Ibn Khuzaimah meriwayatkan lafaz lain dan menambah di akhir riwayat tersebut cerita : “Bahawa Ibn al-Zubayr berkata : “Aku melihat Umar bin a-Khattab apabila berhimpun dua hari raya, maka beliau melakukan seperti ini”.

7. Dan dalam Sahih al-Bukhari r.h dan Muwatta’ Imam Malik, ada riwayat daripada Abu Ubayd, hamba kepada Ibn Azhar, kata Abu Ubayd : “Aku menyaksikan dua hari raya pada zaman Uthman bin Affan dan ketika itu hari Jumaat. Lantas beliau solat dan berkhutbah, seraya berkata :
يا أيها الناس إن هذا يوم قد اجتمع لكم فيه عيدان، فمن أحب أن ينتظر الجمعة من أهل العوالي فلينتظر، ومن أحب أن يرجع فقد أذنت له
Maksudnya : “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya. Maka barangsiapa yang mahu menunggu sehingga Jumaat dari kalangan orang luar Bandar, maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin pulang, maka aku izinkan baginya pulang”.

8. Dan daripada Ali bin Abi Talib r.a, tatkala berhimpun dua hari raya pada satu hari, beliau berkata :
Maksudnya : “Barangsiapa yang ingin melakukan jumaat, maka lakukanlah, dan barangsiapa yang ingin duduk, maka duduklah”. Kata Sufyan (yakni duduk diruamhnya). [direkodkan Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf, dan seumpamanya dalam Ibn Abi Shaybah].
Maka, berdasarkan kepada hadis-hadis marfu’ ini serta athar-athar dari sebahagian sahabat ini, dan berdasarkan kepada apa yang diputuskan oleh majority ahli ilmu mengenai fiqh riwayat-riwayat tersebut, maka pihak Lajnah memutuskan hokum-hukum berikut :

i. Barangsiapa yang telah hadir solat hari Raya, maka diberi rukhsah kepadanya untuk tidak hadir solat Jumaat, dan dia hendaklah solat Zohor pada waktu zohor. Dan sekiranya dia mahu mengambil azimah, maka hendaklah dia mengerjakan solat Jumaat bersama orang ramai, dan inilah yang afdal.

ii. Barangsiapa yang tidak hadir solat hari Raya, maka ia tidak mempunyai rukhsah tersebut. Oleh itu, kewajipan solat Jumaat tidak gugur darinya. Maka wajib ke atasnya pergi ke masjid bagi mengerjakan solat Jumaat. Sekiranya tiada bilangan yang cukup untuk mengerjakan solat Jumaat, maka dia hendaklah mengerjakan solat Zohor.

iii. Wajib ke atas Imam masjid Jumaat, mendirikan solat Jumaat pada hari tersebut supaya sesiapa yang ingin hadir dapat hadir dan juga orang yang tidak hadir solat hari Raya dapat hadir. Sekiranya hadir bilangan yang cukup untuk solat Jumaat, maka solat lah Jumaat, manakala jika tidak, maka solatlah solat Zohor.

iv. Barangsiapa yang telah hadir solat hari Raya, dan diberi rukhsah tidak menghadiri Jumaat, maka dia hendaklah solat Zohor selepas masuk waktu zohor.

v. Pada waktu ini, tidak disyariatkan azan kecuali di masjid-masjid yang mendirikan solat Jumaat. Maka tidak disyariatkan azan bagi solat Zohor pada hari tersebut.

vi. Pendapat yang mengatakan, bahawa orang yang telah hadir solat sunat Hari Raya, maka gugur baginya kefarduan Jumaat dan Zohor hari tersebut, adalah pandangan yang tidak tepat. Oleh itu ramai ulama meninggalkan pendapat ini dan menghukumkannya sebagai salah dan pelik kerana bercanggahan dengan sunnah dan ia telah menggugurkan salah satu kefarduan Allah tanpa dalil. Dan barangkali empunya pendapat tidak sampai kepadanya hadis-hadis serta athar berkaitan isu ini yang memberi rukhsah kepada orang yang hadir solat hari Raya untuk tidak menghadiri solat Jumaat dan bahawasanya wajib ke atasnya solat Zohor. Wallahualam.

وصلى الله على نبينا محمد وآله وصحبه وسلم.

اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء
• الرئيس: عبدالعزيز بن عبدالله بن محمد آل الشيخ.
• عضو: عبدالله بن عبدالرحمن الغديان.
• عضو: بكر بن عبدالله أبو زيد.
• عضو: صالح بن فوزان الفوزان.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s