Merintih manfaat ukhrawi, memperoleh manfaat duniawi

Musim haji tiba lagi, lambaian kaabah bermula 1 syawal mendorong bakal hujjaj bersiap sedia untuk menuju bumi paling mulia yang menjadi destinasi impian hidup Muslim. Bagi siapa yang mengenal tuhan, sudah pasti mengejar lambaian ini. Ketika ini, persediaan mental dan fizikal sangat penting bagi para jemaah haji agar ibadat rukun Islam kelima ini dapat disempurnakan dengan baik. Firman Allah Taala dalam surah al-Hajj ayat 27-28 menjelaskan kehebatan ibadat haji.

Maksudnya : “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu Dengan berjalan kaki, dan Dengan menunggang berjenis-jenis unta Yang kurus Yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) Yang jauh.”Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara Yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari Yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka Dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); Dengan Yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang Yang susah, Yang fakir miskin.

Beberapa pandangan tentang ayat di atas :

1. ) Al-Allamah Abdul Rahman al-Sa’di r.h menjelaskan maksud ayat ini dengan memberi fokus kepada perkataan [ليشهدوا منافع لهم] : supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, iaitu “supaya mereka memperolehi di Baitillah beberapa manfaat diniyyah dalam ibadat-ibadat yang terbaik dan ibadat-ibadat yang tidak wujud melainkan di dalamnya (baitillah), juga beberapa manfaat duniawi seperti mendapat rezeki, keuntungan dunia. Ini adalah suatu perkara yang dapat disaksikan dan diketahui semua orang”.

2. ) Al-Marhum Sheikh al-Shanqiti dalam Adwa’ al-Bayan (5/113-114) menjelaskan hal ini : “Dan di atas ini, sesungguhnya ayat surah al-baqarah ini telah menerangkan sebahagian apa yang ditunjukkan oleh ayat surat al-Hajj. Dan hadis-hadis sahih menjelaskan keterangan ini yang kita telah sebutkan”.

Tambahan beliau lagi[Adwa’ al-bayan 5/114] : “Dan antara manfaat-manfaat tersebut yang tidak dijelaskan dalam al-Qur’an ialah haji mempermudahkan perhimpunan orang Islam dari seluruh pelusuk dunia pada masa-masa tertentu di tempat-tempat tertentu supaya mereka semua dapat merasai perpaduan Islam, dan membolehkan masing-masing mengambil faedah satu sama lain tentang hal-hal penting bagi mereka sama ada berkenaan hal dunia, agama. Tanpa ibadat haji, agak sukar untuk mereka melakukan hal tersebut. Maka, inilah satu pensyariatan yang agung dari Tuhan Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui”.

Antara manfaat haji

1) Manfaat ukhrawi iaitu mendapat kemenangan di hari akhirat dengan janji syurga daripada Allah Taala. Sabda Nabi s.a.w. : “Umrah ke umrah dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga” [al-Bukhari 1773].

2) Haji adalah sebagai satu proses penyucian daripada dosa, bagi mereka yang melaksanakannya dengan penuh keikhlasan dan ketulusan hati. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda :
” من حج لله فلم يرفث ولم يفسق رجع كيوم ولدته أُمه
Maksudnya : “Barangsiapa yang menunaikan haji kerana Allah, dan ia tidak melakukan perbuatan keji dan fasiq, nescaya akan kembali seperti hari ia dilahirkan ibunya”. [al-Bukhari 1521].

3.) Haji mentahqiqkan ketakwaan kita kepada Allah Taala. Taqwa yang menjadi sebaik-baik bekalan hidup manusia di dunia untuk meneruskan perjalanan ke negeri kekal abadi negeri akhirat. Firman Allah Taala dalam surah al-Hajj ayat 32 :
Maksudnya : Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa Yang menghormati syiar-syiar ugama Allah maka (Dia lah orang Yang bertaqwa) kerana Sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Tokoh mufassir mazhab Maliki, Ibn al-Arabi mentarjihkan pandangan yang tepat mengenai maksud syiar-syiar agama Allah di sini ialah semua ibadat haji. [Ahkam al-Qur’an 288].

4.) Haji juga mengandungi manfaat duniawi antaranya ialah haji dapat membina perasaan bangga dan izzah kita sebagai seorang Islam yang menjadi sebahagian kumpulan manusia yang ramai berkumpul di medan ibadat terbesar pada satu waktu dan tempat yang satu. Allah Taala berbangga dengan para jemaah haji sebagaimana dalam hadis Nabi s.a.w. : “Sesungguhnya Allah Taala berbangga dengan ahli Arafah (jemaah haji) kepada penduduk langit”.

5. )Haji menjadi satu medan perhimpunan umat Islam terbesar atau satu muktamar gergasi bagi umat Islam di seluruh dunia.

6. ) Medan merealisasikan prinsip ukhuwwah Islamiyyah dan ukhuwwah imaniyyah antara satu sama lain. Mereka dapat menjalinkan hubungan positif antara satu sama lain dari seluruh dunia, timur dan barat. Sebagai contoh, dalam suasana berwukuf di padang arafah, masing-masing mengenakan pakaian yang sama tidak kira bangsa, warna kulit, pangkat dan keturunan, semuanya mempunyai satu tujuan, satu matlamat iaitu mengerjakan rukun Islam yang kelima.

Mudah-mudahan semua para hujjaj dapat menunaikan haji dengan penuh keikhlasa dalam mencari habuan ukhrawi di samping memperoleh habuan duniawi.kaabah

5 responses to “Merintih manfaat ukhrawi, memperoleh manfaat duniawi

  1. Salam ustaz..
    Satu artikel yang bermanfaat untuk semua..Mabruk alaik..
    Moga2 semua muslimin dan muslimat dapat manfaat dari artikel ini ..
    Barakallah fik ustaz…

  2. Mcm mana pulak dengan kita mengupah haji kepada orang lain ustaz? boleh terang secara ringkas…
    Afwan…

Tinggalkan Jawapan kepada albaruhiyy Batal balasan