Trend tidak berwitir bersama imam

Afdal witir bersama imam pada bulan Ramadan
Apabila tiba bulan Ramadan, ibadat solat tarawih tidak boleh dipisahkan dari ibadat puasa. Tarawih ibarat kembar bagi ibadat puasa. Umat Islam di Malaysia tidak ketinggalan menunaikan solat Tarawih secara berjemaah. Menariknya, masjid-masjid dipenuhi anak-anak muda yang datang untuk berpesta ibadat dengan melakukan solat Tarawih. Kebiasaannya, di Negara kita, tarawih dilakukan 20 rakaat atau 8 rakaat. Witir yang dilakukan pula biasanya 3 rakaat dengan dua salam.

Cuma satu trend orang ramai ialah, selesai sahaja Imam solat 8 rakaat atau 20 rakaat, mereka akan keluar berpusu-pusu dari masjid tanpa mengikut Imam melakukan solat witir. Rata-rata di kebanyakan masjid, saya perhatikan ini yang berlaku. Mengapa ye? Mungkin kerana mereka ingin melaksanakan solat witir di rumah sebagai penutup solat. Benar sekali, solat witir ialah penutup solat.

Dalam hadis yang sahih, Nabi s.a.w. bersabda :
اجعلوا آخر صلاتكم بالليل وترًا
Maksudnya : “Jadikanlah witir sebagai akhir solat kamu pada waktu malam” [Ahmad, al-Bukhari dan Muslim].

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa witir sunat dijadikan penutup solat. Cuma, suka diingatkan ialah, solat witir pada malam Ramadan elok dilakukan secara berjemaah. Ia berbeza dengan malam-malam lain. Dalam Fatwa Lajnah Tetap bagi Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi disebutkan :
الوتر في رمضان بعد صلاة التراويح يفعل جماعة، وأما في غير رمضان فلا نعلم دليلا يدل على مشروعيته جماعة بصفة مستديمة، لكن إذا فعل جماعة في بعض الأحيان جاز، كما وقع لابن عباس مع النبي صلى الله عليه وسلم وكما فعل أبو الدرداء مع سلمان .

Maksudnya : “Witir pada bulan Ramadan selepas solat Tarawih
dilakukan secara berjemaah. Adapun selain Ramadan, maka kita tidak mengetahui dalil yang menunjukkan pensyariatan secara berjemaah dalam bentuk berterusan. Tetapi sekiranya dilakukan secara berjemaah beberapa ketika, maka hukumnya harus sebagaimana berlaku kepada Ibn Abbad r.a bersama Nabi s.a.w, dan yang berlaku kepada Abu al-Darda’ bersama Salman”. [9/213]

Bahkan, sunnah mengajar seseorang makmum perlu menyempurnakan solatnya bersama dengan imam. Dengan kata lain, makmum boleh beredar selepas imam selesai solat pada malam tersebut kecuali ada hajat lain.

Menurut Sheikh Ibn Baz dalam fatwanya, yang sunnah ialah hendaklah makmum menyempurnakan solat bersama imam. Sekalipun imam solat sebanyak 23 rakaat kerana Rasulullah s.a.w bersabda : [direkodkan al-Tirmizi dalam bab Puasa no 734, Ibn Majah dalam bab Iqamatussolah wa al-sunnah no 1317, Ahmad dalam Musnad al-Ansar no 20450] :
من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب الله له قيام ليلة
Maskudnya : “Barangsiapa yang qiam bersama imam sehingga imam selesai, maka Allah Taala menulis baginya pahala qiam satu malam”.
Dalam lafaz lain [direkodkan Ahmad dalam Musnad al-Ansar no 20474] : بقية ليلته (Baki malamnya)

Maka perbuatan terbaik atau afdal bagi makmum ialah ia qiam bersama imam sehingga imam selesai sama ada imam solat 11 rakaat, 13 rakaat, 23 rakaat atau lain-lain bilangan. Ini ialah perbuatan yang afdal iaitu makmum mengikut imam sehingga imam selesai. [Majmuk Fatawa Bin Baz 11/380].
tarawih
Justeru, barangsiapa yang datang bertarawih bersama imam, adalah digalakkan menyempurnakan solat pada malam itu bersama imam termasuk berwitir bersama imam. Ini bertepatan dengan hadis yang dinyatakan di atas. Mudah-mudahan, kita diberikan pahala dan ganjaran yang berlipat ganda bulan Ramadan ini. Amin…

2 responses to “Trend tidak berwitir bersama imam

Tinggalkan Jawapan kepada albaruhiyy Batal balasan