Kewangan Islam mampu takluk dunia

KUALA LUMPUR 10 April – Kewangan Islam mampu menembusi pasaran negara-negara bukan Islam kerana selain menawarkan potensi perniagaan yang besar ia juga merupakan sistem kewangan kerohanian.

Pensyarah University of South Australia, Prof. Mervyn K. Lewis berkata, sistem itu boleh diguna pakai dan direplika di negara-negara bukan Islam kerana ia didapati menepati kehendak pasaran global.

Menurutnya, masyarakat kini dilihat menyedari mengenai kepentingan sistem kewangan Islam berbanding konvensional.

Beliau memberitahu, setakat ini, sistem tersebut praktikal untuk diamalkan memandangkan umat Islam juga terdapat di negara bukan Islam seperti Thailand, Singapura, Filipina, China dan Australia.

”Ia merupakan potensi yang amat baik kerana sistem kewangan Islam merupakan sistem kewangan berasaskan syariah yang menghalang amalan riba dan ini boleh membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi di sesebuah negara.

“Malah, negara-negara barat yang mengamalkan sistem kewangan konvensional sepenuhnya didapati terjerat dan sukar untuk keluar dari masalah krisis ekonomi pada waktu ini.

“Malaysia pula mempunyai dua sistem kewangan yang sedikit sebanyak boleh membantu menyelamatkan pertumbuhan ekonomi di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Lewis berada di Malaysia selama sebulan untuk memenuhi undangan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Universiti Malaya (UM) bagi membentangkan kertas kerja pada seminar yang akan diadakan di UM, di sini bermula 6 April lalu.

Lewis turut menceritakan kejayaan kewangan Islam yang dilaksanakan di Australia melalui Koperasi Komuniti Muslim Australia (MCCA) yang mempunyai dua buah cawangan di Melbourne dan Sydney.

Katanya, melalui MCCA, penduduk Islam di Australia boleh membuat pinjaman untuk pembiayaan perumahan, kenderaan dan peribadi yang berlandaskan syariah Islam.

“Australia mempunyai lebih 300,000 penduduk Muslim dan sistem kewangan Islam amat membantu di sini.

“Selain penduduk Islam, sistem kewangan Islam yang dipraktikkan dalam MCCA turut mempunyai hubung kait dengan salah sebuah institusi kewangan, Credit Union di Australia yang memberi perkhidmatan kepada semua penduduk berbilang agama di negara ini,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai sesetengah negara Arab yang tidak menerima sebahagian konsep sistem kewangan Islam di negara-negara lain termasuk Malaysia, beliau memberitahu, apa yang boleh dilakukan ialah memantau pelaksanaannya dalam usaha memastikan pematuhan syariah dituruti.

SUMBER :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Komentar ditutup.