Bagaimana nak ikut sunnah?

Kaedah Mengikut Sunnah Nabi

Bulan rabiulawwal memahat satu sejarah agung umat Islam iaitu kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun terdapat kekhilafan di kalangan pakar sejarah berkenaan tarikh sebenar kelahiran baginda s.a.w., namun telah menjadi satu kelaziman bagi umat Islam di negara ini mengadakan perayaan menyambut hari kelahiran Nabi s.a.w. Adakah boleh kita merayakannya? Di sini, penulis tidak ingin membahaskan isu tersebut kerana terlalu banyak artikel, bahkan fatwa berkaitan hukum menyambut kelahiran junjungan kita Nabi s.a.w. Isu yang perlu diutamakan ialah kita wajib mengikut sunnah Nabi s.a.w. sama ada dari segi perkataan, perbuataan, tinggalan dan juga pengakuan atau ikrar Nabi terhadap sesuatu perlakuan orang lain. Tulisan ini dipetik daripada artikel al-Dawabit al-manhajiyyah li al-ittiba’ al-rasul, susunan Prof. Dr. Solah Sultan. Mudah-mudahan sama-sama mendapat faedah daripadanya. Fokus tulisan hanya pada kaedah pertama.

Kaedah : Bezakan antara mengikut sunnah perkataan, sunnah perbuatan, sunnah tinggalan dan sunnah ikrar.

1. Sunnah perkataan
Ini merupakan rujukan asas yang terkuat dalam pensyariatan hukum. Hukum asal ialah kita wajib mengikut sunnah Nabi, kecuali ketika ada dalil yang memalingkan hukum asal tersebut kepada hukum lain. Contohnya, sabda Nabi s.a.w. : “Tiada solat bagi orang yang tidak ada wuduk dan tiada wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah padanya”. Berdasarkan hadis ini, ulama bersepakat bahawa bahagian pertama hadis ini menunjukkan hukum wajib, maka solat orang yang tidak berwuduk adalah batal. Manakala ulama juga bersepakat untuk bahagian kedua hadis iaiatu membaca bismillah adalah sunat dalam wuduk.

2. Sunnah perbuatan
Sunnah ini berada di peringkat kedua selepas sunnah perkataan dari segi kekuatan. Hal ini kerana beberapa faktor :
– Apa yang dilakukan oleh Nabi dan sabit bahawa ia adalah khususiyyat baginya sahaja seperti hukum wisol (berterusan) dalam puasa dan nikah melebihi empat orang wanta. : Ini tidak boleh diikuti.
– Apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. kerana sebab sifatnya sebagai manusia biasa seperti dalam soal makanan, minuman, pakaian, kenderaan. Ini tidak dianggap sebagai pensyariatan hukum. Justeru Nabi s.a.w memberi keluasan hukum kepada umatnya. Sabda Nabi s.a.w : ”Makanlah, minumlah, bersedekahlah, dan pakailah tanpa ada perasaan sombong, dan juga pembaziran, sesungguhnya Allah suka untuk melihat nikmatNya atas hambaNya”. Atas dasar inilah, para sahabat yang pergi membuka negeri-negeri memulakan dakwah dengan asas akidah, akhlak dan syariat. Mereka tidak mengubah uruf dan adat bangsa tersebut.
– Perbuatan peribadatan (ta’abbudi). Perbuatan yang bertujuan taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah Taala. Perbuatan Nabi jenis ini sama ada wajib atau sunat diikuti. Sabda Nabi s.a.w. : ”Solatlah sebagaimana aku solat”.

3. Sunnah tinggalan.
Sunnah jenis ini lebih rendah tahap kekuatan pensyariatannya dalam permasalahan wajib mengikutinya. Ia memerlukan kepada qarinah atau bukti sampingan yang menyokong sama ada Nabi s.a.w. meninggalkan perbuatan tersebut kerana pensyariatan atau kerana tabiat semulajadi atau kerana tujuan lain. Contohnya seperti berikut :
– Apa yang ditinggalkan oleh Nabi kerana sebab tabiat semulajadi. Khalid bin al-Walid menceritakan bahawa didatangkan kepada Nabi sa..w. daging dhab yang dipanggang. Kemudian baginda ingin mencapai daging tersebut untuk memakannya. Sahabat terus berkata : “Itu adalah dhab”. Nabi s.a.w. pun berhenti dan Khalid berkata : Adakah ia haram? Lantas Nabi menjawab : “Tidak, tetapi ia tiada di tempat kaumku, maka aku kurang selera”. Kemudian Khalid pun memakannya sedangkan Rasulullah s.a.w. sedang melihatnya”. Begitu juga Nabi s.a.w. gemar memakan bahagian paha kambing dan tidak gemar memakan bahagian lain. Para sahabat tidak mengatakan peninggalan Nabi ini menunjukkan satu pensyariatan kerana ia hanya merujuk kepada citarasa seseorang manusia.
– Apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w. sebagai satu pensyariatan kepada umatnya. Contohnya, Nabi meninggalkan perbuatan bersalaman dengan wanita. Daripada Aisyah r.a. : “Adalah Nabi s.a.w. berbai’ah dengan wanita melalui ucapan dengan ayat ini { ولا يشركن بالله شيئا } . Katanya : Dan tangan Rasululah s.a.w. tidak pernah menyentuh tangah perempuan lain kecuali perempuan yang dimilikinya”. Maka peninggalan Rasulullah jenis ini merupakan satu pensyariatan dan menunjukkan wajib kita mengikut sunnah ini.
– Apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w. kerana bimbang difardukan ke atas umatntya. Seperti kata-kata Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. solat di masjid pada satu malam. Lantas orang ramai mengikutnya. Kemudian baginda juga solat pada malam berikutnya. Akhirnya mereka berkumpul pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi s.a.w. tidak keluar juga pada malam tersebut. Tatkala tiba waktu subuh Nabi bersabda : “Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu lakukan. Tidaklah menghalang aku keluar kepada kamu melainkan kerana aku bimbang ia menjadi fardhu ke atas kamu”. Maka peninggalan Nabi dalam kes ini ialah kerana bimbang ia difardukan. Oleh sebab itu, tiada sahabat lain yang megingkari perbuatan Umar r.a apabila beliau mengumpulkan orang ramai untuk berjemaah solat Terawih.
– Apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w. kerana bimbangkan fitnah. Antaranya ialah Nabi s.a.w. tidak membunuh orang munafik zaman baginda kerana bimbang dikatakan bahawa Muhammad membunuh sahabatnya. Begitu juga Nabi s.a.w meninggalkan binaan kaabah atas binaan awal kerana bimbang orang yang baru memeluk Islam ketika itu kurang memahami situasi itu. Ini wajib diikuti oleh ulama, para mufti, para hakim, pemimpin dan ketua negara dalam memahami akibat sesuatu perbuatan, di mana ditinggalkan membuat perkara yang betul kerana ingin menolak perkara yang lebih buruk.

4. Sunnah ikar/taqririyyah
Sunnah jenis ini ada dua kategori :
a) Kategori yang sabit pengetahuan Nabi berkenaannya dan Nabi hanya mendiamkan diri. Ini baru dinamakan sunnah ikar atau taqririyyah dan hanya menunjukkan keharusan perbuatan tersebut. Contohnya kata-kata Amru bin Al-As : “Aku bermimpi satu malam yang dingin dalam peperangan zat al-salasil, maka aku bimbang untuk mandi wajib kerana takut mudarat. Lantas aku bertayammum. Kemudian aku solat dengan sahabat-sahabatku. Mereka pun menceritakannya kepada Nabi s.a.w., dan Nabi berkata : “Wahai Amru, kamu solat dengan kawan-kawan kamu dalam keadaan kamu junub?”. Maka aku memberitahu Nabi sebab aku tidak mandi junub. Dan kataku : Aku mendengar Allah Taala berfirman : {Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sesungguhnya Allah Taala maha menyanyangi dirimu} Nabi s.a.w. pun ketawa dan tidak berkata apa-apa. Jelaslah, ini menunjukkan bahawa ketawa Nabi itu menunjukkan harus bertayammum jika seseorang bimbang kesejukan memudaratkannya. Boleh jadi kes ini akan sampai ke tahap wajib sekiranya mudara itu diyakini dan dipastikan akan berlaku.
b) Kategori yang tidak sabit pengetahuan Nabi walaupun berlaku di zamannya. Ini tidak dianggap sebagai sunnah taqririyyah.

Oleh sebab itu, kita perlu mengenal pasti apa yang diucapkan atau dilakukan atau ditinggalkan atau diikrarkan oleh Nabi s.a.w. dalam permasalahan untuk mengikut sunnah baginda. Ini bertujuan memastikan adakah ia menjadi wajib, haram, sunat, makruh atau harus mengikutinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s