Malam ini malam tujuh likur

MALAM TUJUH LIKUR

Begitu pantas perjalanan masa, ibarat kata pepatah : “Masa ibarat pedang, sekiranya anda tidak memotongnya maka nescaya ia akan memotongmu”. Sedar tidak sedar, Ramadan hampir melabuhkan tirainya, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Bagi sesetengah masyarakat, hari ini tanggal 26 ramadan adalah detik paling penting kepada mereka. Teringat zaman kanak-kanak, hari ke 26 dan malam ke 27 dipanggil malam tujuh likur. Itu mungkin hanya panggilan orang Melayu, yang lebih tepat ia mungkin dimaksudkan dengan malam penuh berkat iaitu malam lailatul qadar. Walau bagaimanapun, amalan menyalakan lampu dan lilin sangat bertentangan dengan syarak sekiranya semata-semata mempercayai sesuatu kebaikan daripada perbuatan tersebut pada malam tujuh likur.

Walaupun kurang mengerti lagi ketika zaman kanak-kanak erti malam qadar, namun ia seolah-olah sudah ditunggu-tunggu oleh kami sebagai kanak-kanak. Kanak-kanak amat kuat kepercayaannya jika dididik dan diasuh oleh ibubapanya. Sebab itu asuhan tentang lailatul qadar juga perlu disemat dalam jiwa kanak-kanak. Menunggu malam tujuh likur untuk menadah tangan berdoa kepada Allah taala menjadi kelaziman mereka yang mempunyai impian dan harapan daripada Allah Taala. Tidak kurang juga masyarakat Arab, teringat ketika berada di bumi Madinah dan Mekah, malam 27 adalah malam yang dipenuhi oleh orang ramai. Di Masjidil Haram ada yang solat diatas escalator. Tidakkah ini menggambarkan kepercayaan masyarakat terlalu kuat tentang malam ke 27.

                Tetapi, adakah benar malam tujuh likur atau malam ke 27 ramadan adalah malam lailatul qadar yang sangat ditunggu-tunggu? Bagaimana kita hendak mengenali malam tersebut? Pukul berapakah malam itu?  Sebenarnya para sarjana Islam silam telah berselisih pandangan dalam menentukan bilakah malam lailatulqadar. Dalam entry kali ini, penulis hanya ingin berkongsi maklumat bahawa ada ulama yang menegaskan bahawa malam ke 27 adalah paling diharap-harapkan menjadi malam qadar. Bahkan ini dinisbahkan kepada pandangan Jumhur sebagaimana kenyataan Ibn Hajar.   Daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Maksudnya : “lailatul qadar ialah malam ke 27” (Direkodkan oleh Imam Ahmad 4793 daripada hadis Ibn Umar dengan sanad sahih, dan Abu Dawud1386 daripada hadis Mu’awiyah bin Abi Sufyan)

Imam Muslim merekodkan (762) daripada Ubay bin Kaab r.a. bahawa beliau pernah bersumpah mengatakan malam 27 adalah malam lailatul qadar. Begitu juga Ibn Abi Shaibah meriwayatkan daripada Zurr bahawa beliau pernah ditanya tentang lailatul qadar, maka jawabnya : “Adalah Umar, Huzaifah dan sebahagian sahabat tidak menyesyaki lagi bahawa malam 27 adalah lailatul qadar” (al-Durr al-Manthur, tafsir surah al-Qadr)

                Jika kita mengkaji surah al-Qadr, perkataan فيها (fiha) dalam ayat ( تنزل الملائكو والروح فيها) adalah perkataan yang ke 27 daripada surah tersebut. Ada juga ulama yang mengistinbatkan malam qadar pada malam 27 melalui kaedah perkiraan atau matematik. Kalimah ليلة لبقدر mengandungi 9 huruf. Ia disebut sebanyak 3 kali dalam surah al-Qadr. Maka 9×3 = 27. Namun cara ini tersangat jauh untuk dijadikan pegangan. Terlalu takalluf, jadi tidak perlu dipegang cara-cara seperti ini.

                Antara dalil-dalil syarak yang boleh dijadikan hujah ialah kisah seorang lelaki yang bermimpi melihat malam qadar pada malam 27 ramadan, lantas Nabi bersabda :

أرى رؤياكم في العشر الأواخر فاطلبوها في الوتر منها

Maksudnya : “Aku melihat mimpi-mimpi mu pada sepuluh terakkhir maka carilah nya pada malam-malam witir daripadanya”. (Bukhari 2015)

Kesimpulannya pada pandangan saya, melihat kepada kisah ini, Nabi s.a.w. tidak mengiyakan bahawa malam 27 adalah malam qadar tetapi Nabi lebih cenderung menggalakkan umatnya mencari lailatul qadar pada malam-malam witir daripadanya. Adapun malam ke 27, mungkin ia adalah biasa berlaku (wallahualam) dan kadang kala boleh berlaku pada malam ke 21 seperti hadis Abi Said al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. sujud pada pagi 21 atas tanah becampur air (في ماء وطين). Dan mungkin boleh berlaku malam-malam lain.

                Apa yang perlu dikejar dan dilakukan oleh seseorang yang bergelar mukmin ialah merebut peluang yang masih berbaki ini. Perbanyakkanlah ibadat, solat, zikir dan doa seperti doa yang diajar oleh nabi kepada Aisyah r.ah.

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Begitu juga setiap diri orang-orang Islam tidak wajib bagi seseorang itu mengetahui bahawa dia telah berjaya berjumpa lailatul qadar. Ini kerana yang wajib ialah kesungguhan dan keikhlasannya dalam melakukan ibadat sama ada ia mengetahui malam tersebut lailatul qadar atau tidak. Boleh jadi ia tidak mengetahui malam tersebut malam qadar, tetapi ia bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam ibadat. Oleh itu, teruskan usaha anda…….usaha dan usaha…..

تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s