Bertakwalah dalam sumpah

Bahana Sumpah Dusta

 

Akhir-akhir ini, kita mula mendengar kalimah sumpah, mubahalah, laknat Allah dan sebagainya. Gara-gara fitnah menfitnah yang berlaku di Negara kita, masyarakat mula menyedari betapa pentingnya sumpah dengan nama Allah. Isu DSAnwar Ibrahim dan Saiful hangat diperkatakan oleh sesiapa sahaja. Baru-baru ini Saiful sudah pun bersumpah dengan sumpah laknat yang dilakukan di Masjid Wilayah. Diikuti pula, YAB Timbalan Perdana Menteri membuat sumpah menyatakan bahawa beliau tidak mengenali wanita Mongolia itu. Seterusnya, Bekas Menteri Besar Perak juga bersumpah menyatakan beliau tidak terlibat dalam apa-apa konspirasi menjatuhkan kerajaan PR Perak dalam isu rasuah EXCOnya.

 

            Sepatutnya, umat Islam perlu berhati-hati dengan lafaz sumpah dengan nama Allah. Janganlah terlalu dipermainkan nama Allah dan nampak terlalu mudah melafazkannya. Umat Islam perlu diingatkan dengan bala dan bencana akibat mempermudahkan atau memperkecilkan sumpah dengan nama Allah. Kita bimbang, masyarakat non muslim di luar sana, hanya melihat dan geli hati dengan perbuatan umat Islam. Seolah-olah kita umat Islam mudah sangat bersumpah dengan nama Allah. Tidak masyarakat non muslim akan melihat umat Islam seolah-olah memperkecilkan nama Allah. Ada sesetengah yang bersumpah dengan nama Allah, boleh bersumpah dalam keadaan suka-suka dan senyum-senyum. Seolah-olah tiada kegerungan pada sumpah yang dilakukan. Firman Allah :

77. Sesungguhnya orang-orang Yang mengutamakan keuntungan dunia Yang sedikit Dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian Yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata Dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.

 

Ayat ini mencela orang Yahudi yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan mereka mengetahui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan mereka bersumpah atas apa yang mereka ucapkan padahal Allah Taala Maha Mengetahu apa yang dikatakan.

 

            Justeru, wahai sekelian umat Islam, janji dan sumpah dengan nama Allah merupakan perkara yang sangat besar. Ia tidak boleh dianggap remeh dan perkara mudah-mudah sahaja. Ia bukan hanya satu ucapan biasa. Surah al-Maidah (89) :

dan jagalah – peliharalah sumpah kamu.

 

Janganlah terlalu mudah menggunakan nama Allah apabila berlaku pertembungan politik, pemikiran, perbalahan perkara kecil dan remeh dan sebagainya. Ingatlah satu hadis tentang larangan Nabi daripada sumpah dusta:

من اقتطع مال امرئ مسلم بيمين هو فيها فاجر لقي الله وهو عليه غضبان

Maksudnya : ‘Barang siapa yang mengambil harta seorang muslim dengan sumpah yang mana ia dusta padanya, maka nescaya ia akan bertemu Allah sedang Allah murka ke atasnya”.

            Mudah-mudahan umat Islam memuliakan nama Allah dan hindarilah bersumpah dengan nama Allah kecuali berada dalam pihak yang benar. Wallahualam.

 

 

 

             

Tinggalkan komen