Daily Archives: Ogos 12, 2008

Memahami Istihsan

Konsep al-Istihsan Sebagai Dalil Syarak

Al-Istihsan dari sudut bahasa menganggap atau mempercayai sesuatu itu baik.[1] Manakala dari sudut istilah para ulama berselisih pendapat dalam memberikan definisi yang tepat kepada al-istihsan. Terdapat banyak definisi yang diberikan berasaskan kepada pemahaman yang berbeza mengenainya. Definisi yang terbaik ialah “al-cudul (berpaling) dalam sesuatu masalah daripada hukum yang telah diputuskan pada masalah yang sebandingnya kepada hukum yang berlawanan kerana satu sebab yang lebih kuat menghendaki al-cudul”. ”[2]

Merujuk kepada karangan muktabar dalam usul fiqh, para ulama banyak menyebut perselisihan pendapat mengenai status kehujahannya. Sebenarnya, pendapat ulama yang menerima kehujahannya dan menolak kehujahannya tidak sama definisi yang mereka kemukakan. Golongan yang menolak kehujahan al-istihsan sebenarnya menghendaki al-istihsan dengan makna sesuatu yang dianggap baik oleh mujtahid dengan akalnya tanpa merujuk kepada dalil.

Manakala golongan yang menerima kehujahanya, hanya membenarkan berhujah dengan al-istihsan yang bermaksud mengenepikan hukum suatu masalah daripada bandingannya berdasarkan kepada dalil. Bahkan mereka sebenarnya juga menolak al-istihsan yang bermaksud sesuatu yang dianggap baik oleh mujtahid dengan akal tanpa merujuk kepada dalil.

Kesimpulannya, al-Istihsan telah difahami dengan dua maksud iaitu maksud yang batil dan maksud yang sahih. Tidak hairanlah terdapat kenyataan ulama yang menolak penerimaan al-istihsan sebagai dalil syarak kerana al-istihsan yang dimaksudkan ialah berdasarkan kepada makna yang batil. Para ulama yang menerima al-istihsan sebagai dalil telah memberikan definisi al-istihsan dengan maksud yang sahih.[3]

Tidak menjadi perselisihan di kalangan ulama bahawa al-Istihsan yang bermaksud menggunakan akal semata-mata adalah ditolak oleh syarac [4]. Para ulama juga tidak berselisih pandangan tentang kewajipan beramal dengan dalil yang lebih kuat (al-Istihsan dengan makna yang sahih). Namun begitu, berlaku perselisihan dalam menamakannya sebagai al-Istihsan. Ulama yang menjadikan al-istihsan sebagai satu sumber hukum merujuk kepada makna al-istihsan yang sahih. Sebaliknya mereka yang menolak mereka al-istihsan merujuk kepada makna al-istihsan yang batil.

Maksud al-Istihsan menurut ulama yang menerima al-Istihsan ialah sama ada salah satu daripada dua perkara berikut :[5]

  1. Tarjih (mengutamakan) qiyas khafiyy dari qiyas jaliyy berdasarkan kepada kewujudan dalil yang lebih khusus.
  2. Pengecualian sesuatu masalah juz’iyyah daripada dalil kulli atau kaedah umum kerana kewujudan dalil yang lebih khusus.

Oleh itu, al-Istihsan merupakan dalil syarak yang merangkumi penggunaan sumber hukum yang pelbagai. Ia menggunakan dalil daripada al-Qur’an, al-sunnah, qiyas, ijma’, maslahah mursalah dan lain-lain. Ia bermaksud perpindahan hukum dari satu dalil kepada dalil lain yang lebih kuat.


[1] Ia berasal dari perkataan الحسن yang bererti baik atau cantik berlawanan perkataan hodoh, Lihat Al-Fairuzabadi, al-Qamus al-Muhit, Dar al-Jil, Beirut, jil 4, hlm 215; Ibn Faris, Mu’jam Maqayis al-Lughah, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut, 1422H/2001M, hlm 234.

[2] Definisi ini disandarkan kepada al-Karkhi, seorang tokoh mazhab Hanafi yang terkenal. Ia adalah definisi yang paling baik disebut oleh tokoh-tokoh mazhab Hanafi kerana kesyumulan definisi ini. Lihat Abd al-Aziz al-Bukhari, jil 4, hlm 4 ; al-Ghazali, jil 1, hlm 414 ; al-Amidi, jil 4, hlm 164

[3] Al-Zuhayli, Usul Al-Fiqh Al-Islami, jil.2, hlm 737 ; Al-Bugha, Atharul Adillah Al-Mukhtalaf Fiha, hlm 129 ; Al-Jizani, Maalim Usul Fiqh, hlm 236

[4] Imam Syafie berkata : “Barangsiapa yang beristihsan maka dia telah meletakkan syariat baru.”

[5] Al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islamiy, jil 2, hlm 739