Daily Archives: Mei 24, 2008

Buku Kedua Penulis

MUQADDIMAH

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله اللهم صل على نبينا محمد بن عبدالله و على آله وصحبه ومن والاه

أما بعد :

Asas kepada pembinaan agama Islam ialah beriman kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benarnya. Seseorang itu tidak akan masuk ke dalam agama Islam melainkan melalui ucapan dua kalimah syahadah iaitu Lailahaillallah Muhammadarrasulullah. Bahkan jihad Rasulullah s.a.w. adalah untuk menyatukan sekalian manusia di atas kalimah Lailahaillallah. Sabda Nabi s.a.w. :

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتىَّ يَقُولُوا : لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله، فَإذَا قَالُواهَا عَصَمُوْا مِنِّي دِمَاءَهُم وأَمْوَالهَم

Maksudnya : “Aku diperintah agar memerangi manusia sehingga mereka berkata : Lailahaillallah. Maka apabila mereka telah menyatakannya, darah dan harta mereka terpelihara daripadaku”. Al-Qur’an yang menjadi perlembagaan bagi umat Islam mengukuhkan lagi hakikat kepentingan akidah dalam diri seseorang. Turunnya surah al-Ikhlas yang menekankan konsep mengesakan Allah S.W.T (al-Ikhlas 1-4):

Maksudnya : :Katakanlah (Wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;”Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya”.

Ini juga dibuktikan lagi dengan dakwah para Nabi alaihimussolatuwassalam yang menyeru kepada mengtauhidkan Allah S.W.T dengan menyembahkan Allah Tuhan Yang Maha Esa. Firman Allah Taala (al-Anbiya’ : 25) :

Maksudnya : “Dan Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; Oleh itu, beribadatlah kamu kepadaku”.

Oleh kerana itu, Islam mewajibkan umatNya membaca surah al-Fatihah dalam setiap rakaat sembahyang, di mana surah al-Fatihah ini memberi penekanan kepada konsep akidah dan tauhid. Akhir-akhir ini, timbul pelbagai gejala ajaran sesat di Negara kita. Bermula dari mereka yang mengaku menjadi Nabi sehinggakan ada yang mengaku memiliki kuasa seperti Tuhan. Ditambah pula dengan kepincangan akidah yang berlaku di kalangan muda mudi seperti black metal dan tidak kurang juga jenayah murtad yang mengundang bahaya kepada masyarakat Islam. Apa yang berlaku menunjukkan pentingnya penerapan ilmu akidah kepada masyarakat Malaysia masa kini.

Menyedari hakikat ini, penulis merasa terpanggil untuk menghasilkan sebuah buku yang dapat dijadikan sumbangan bagi memberi kefahaman tentang akidah kepada masyarakat. Buku Soal Jawab Remeh-temeh tentang akidah Tapi Anda Malu Bertanya ditulis dengan uslub yang mudah difahami melalui soalan dan jawapan. Semoga kehadiran buku ini dapat merungkai sebahagian persoalan-persoalan akidah yang terbuku dalam benak fikiran anda. Penulis cuba merujuk kepada kitab-kitab akidah dan tauhid yang muktabar dengan diselitkan setiap persoalan dengan dalil dan hujah daripada al-Qur’an dan hadis-hadis dengan harapan agar pembaca lebih memahami akidah dengan berdalil. Dengan ini para pembaca boleh merujuk kepada rujukan asal untuk lebih mendalami masalah-masalah akidah yang dikemukakan dalam buku ini.

Akhir sekali, penulis bermohon kepada Allah S.W.T agar mengurniakan keikhlasan dan kejujuran dalam setiap amal usaha yang dilakukan. Semoga apa yang ditulis menambahkan lagi ilmu dan pengetahuan penulis sendiri dan didoakan mudah-mudahan Allah menerimanya serta memanfaatkan buku ini kepada seluruh umat islam. Amin Ya Rabb al-Alamin.

InsyaAllah, jika tiada halangan buku ini akan diterbitkan oleh Telaga Biru pada bulan Jun 2008 ini…

Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada penulis dan para pembaca yang mulia…Amin

Pertikaian Pulau Batu Putih

THE HAGUE, Belanda 23 Mei – Pertikaian mengenai status Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.

Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pemangku Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh ketika membaca keputusan kes tuntutan bertindih itu berkata, status mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih diputuskan oleh majoriti 12-4 hakim, manakala majoriti 15-1 hakim pula bersetuju berhubung kedudukan Middle Rocks dan South Ledge.

Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih.

“Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api.

“Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, adalah menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut.

“Oleh itu mahkamah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat yang mempengerusikan persidangan ICJ bagi memutuskan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Beliau bersidang bersama 15 orang hakim lain.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura mengemukakan nota bantahan kepada Malaysia menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.

Tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge pula hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara berhubung pertikaian Pulau Batu Putih.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sumber – Utusan Malaysia Online

hadis 2 dan tiga bab mandi

Hadis Kedua :

وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : “إذا جلس بين شعبها الأربع ثم جهدها فقد وجب الغسل” متفق عليه وزاد مسلم : “وإن لم ينزل”

Mufradat al-Hadith

  1. Syua’biha al-Arba’ : ialah kedua-dua tangan dan kaki perempuan iaitu kinayah menunjukkan kepada perbuatan jimak.
  2. جهدها : iaitu sampai tahap kekuatannya melakukan pekerjaan itu (jimak).

Pengajaran Hadis

Hadis ini menunjukkan pandangan jumhur berkaitan perbuatan al-ilaj (memasukkan zakar (kadar hashafah) ke dalam kemaluan wanita) mewajibkan mandi sama ada keluar mani atau tidak. Hadis ini menjadi nasikh (yang memansuhkan) hadis riwayat Abi Said al-Khudri r.a yang disebutkan sebelum ini. Maka hadis Abi Said adalah rukhsah pada zaman awal Islam.

Hadis Ketiga :

وعن أنس رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم –في المرأة تري في منامها ما يري الرجل- قال : “تغتسل” متفق عليه

زاد مسلم : فقالت أم سلمة ك وهل يكون هذا؟ قال ك “نعم ،فمن أين يكون الشبه”

Mufradat al-Hadith

( الشبه ) dalam hadis boleh dibaca sama ada al-shabah atau al-shibh. Kedua-duanya adalah betul.

Sekitar Riwayat Hadis

Hadis ini dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim, dan ada beberapa turuq, antaranya ialah daripada Ummu Salamah, Aishah, dan Anas.

Masalah dalam hadis ini juga dialami oleh sebahagin sahabat wanita seperti Khawlah bt Hakim (riwayat Ahmad, al-Nasa’I dan Ibn Majah) dan berlaku kepada Sahlah bt Suhayl (riwayat al-Tabarani) dan Busrah bintih Safwan (riwayat Ibn Abi Shaybah).

Hadis Ummu Salamah meriwayatkan datang Ummu Sulaim (Ibu kepada Anas, Ummu Sulaim bint Milhan iaitu isteri kepada Abi Talhah) berjumpa dengan Rasulullah, lantas berkata : “Wahai Rasulullah sesungguhnya Allah tidak malu daripada kebenaran (menyatakan kebenaran). Adakah wajib atas wanita mandi jika ia bermimpi?. Maka Rasulullah menjawab : Ya, jika ia nampak air (mani)”.

Pengajaran Hadis

  1. Pengajaran berkaitan bab : Dalil menunjukkan bahawa wanita juga bermimpi seperti lelaki, dan maksud hadis ini ialah wajib mandi apabila keluar air mani sebagaimana dalam riwayat al-Bukhari ( نعم إذا رأت الماء ) iaitu selepas bangun dari tidur.
  2. Hendaklah seseorang itu bertanya jika ia jahil akan suatu ilmu, dan boleh meminta lebih penjelasan tentang ilmu tersebut.
  3. Mendahulukan soalan dengan sesuatu (ucapan) yang boleh memaafkan kita seperti dalam Bukhari ; “Sesungguhnya Allah tidak malu daripada perkara benar’.
  4. Harus bagi wanita meminta fatwa dengan dirinya sendiri.
  5. Malu untuk bertanya bukanlah malu yang sebenar yang digalakkan oleh Nabi ( والحياء لا يأتي إلا بخير ). Sifat malu yang dituntut ialah yang menepati syarak.