Daily Archives: Mei 21, 2008

Sharah Kitab Bulugh al-Maram

Sharah Kitab Bulugh al-Maram

باب الغسل وحكم الجنب

Bab Mandi dan Hukum Junub

Bab ini akan menyentuh berkenaan al-ghusl iaitu mandi dan hukum junub iaitu hukum-hukum berkaitan orang yang berjunub.

Mufradat al-Kalimat

Al-Ghusl : dibaca dengan dammah ghayn menunjukkan maksud perbuatan mandi. Setengah ulama menyebut dengan fathah membawa makna masdar atau kata terbitan bagi ghasala (basuh).

Maksud mandi dalam bab ini ialah dua jenis mandi :

  1. Mandi Wajib
  2. Mandi Sunat

Al-Junub : ذا جنابة iaitu yang berjunub. Perkataan junub boleh digunakan untuk lelaki, wanita, mufrad, muthanna dan jamak.

Imam al-Nawawi berkata : Perkara yang mewajibkan mandi (bagi orang hidup) ada empat perkara sebagaimana ittifaq ulama. Ia adalah :

  1. Memasukkan hasyafah zakar ke dalam faraj
  2. Keluar mani
  3. Keluar Haid
  4. Keluar Nifas.

Maksud “memasukkan hasyafah zakar” : memasukkan hasyafah dengan sempurna dalam kemaluan sama ada manusia atau bukan manusia (haiwan), qubul atau dubur, lelaki atau perempuan yang hidup atau mati, kecil atau dewasa, maka kesemuanya mewajibkan mandi.

Hadis Pertama :

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :

الْمَاءُ مِنْ الْمَاءِ . رواه مسلم وأصله في البخاري

Maksudnya : “Daripada Abi Said al-Khudri r.a katanya, Rasululah s.a.w. bersabda : Air adalah daripada air. Riwayat Muslim dan asalnya dalam Bukhari.

Mufradat al-Hadis

Air daripada air : “Air” pertama maksudnya air mutlak yang digunakan untuk mandi, “air” kedua adalah mani. Dari segi balaghah ia dikenali sebagai al-jinas al-tam dalam ilmu badi’. Makna hadis ialah Mandi berpunca daripada keluar air mani.

Pengajaran hadis

  1. Hadis ini menunjukkan tidak wajib mandi kecuali apabila keluar air mani dan tidak wajib mandi jika tidak keluar mani walaupun telah tenggelam hashafah. Ini adalah pandangan Daud al-Zahiri dan sebahagian kecil sahabat serta tabi’in.

Dalil mereka ialah hadis di atas dan hadis Bukhari bahawa Uthman ditanya tentang orang yang jimak isterinya dan tidak keluar mani. Lalu Uthman berkata : “Hendaklah ia berwudhuk seperti wudhuk untuk solat dan basuh zakarnya”.

  1. Pendapat kedua ialah jumhur ulama yang menyatakan bahawa jika tidak keluar mani maka diwajibkan mandi apabila telah tenggelam hashafah. Jumhur berkata : “mafhum hadis ini dimansuhkkan dengan hadis Abi Hurairah iaitu hadis kedua dalam bab ini”.

Kesimpulan

  1. Keluar mani mewajibkan mandi
  2. Jimak (tenggelam hashafah dalam kemaluan) mewajibkan mandi walaupun tidak keluar mani.

hukum kata : “Kamu masuk syurga”

Bismillah..Walhamdulillah Wa Ba’d…
Tidak boleh disaksikan seseorang itu masuk syurga kcuali kepada siapa yang disebutkan dalam nusus seperti al-Asharah al-Mubasyyarin bi alJannah, Hasan, Husain ketua pemuda ahli syurga, Bilal dan lain-lain.
Ahli Sunnah mengatakan tidak boleh disaksikan seseorang secara khusus bahawa masuk syurga atau masuk neraka, tetapi boleh diharapkan orang baik masuk syurga adn orang jahat dibimbangi masuk neraka. Orang yang melakukan maksiat, kita tidak boleh mengatakan “kamu masuk neraka” kepadanya.
Namun kita boleh menyebut secara umum, iaitu “setiap mukmin masuk syurga dan setiap kafir masuk neraka”. Ini umum.
adapun menyebut si fulan bin si fulan masuk neraka maka ini tidak harus. atau si fulan ini masuk syurga, pun tidak boleh. Tetapi kita harapkan kebaikan kepadanya jika ia istiqamah. Ini pendapat jumhur.
Ada sebahagian ulama mengharuskan kita menaik saksi orang yang terkenal dgn kebaikan bahawa ia akan masuk syurga. Berdalilkan dengan hadis
مروا عليه بجنازة فأثنوا عليها خيراً، فقال وجبت. ثم مروا بجنازة أخرى فأثنوا عليها شراً، فقال: وجبت. فسألوا عن ذلك فقال: هذا أثنيتم عليه خيراً فوجبت له الجنة، وهذا أثنيتم عليه شراً فوجبت له النار”. والله أعلم.
Lalu dengn jenazah lantas mereka puji kebakan. Nabi bersabda ; “Wajiblah”. Kemdian lalu jenazah lain dan mereka mengejinya. Nabi bersabada : Wajiblah. Lantaran itu sahabt bertyanya, Nabi menjawab : Ini kamu puji lalu wajiblah baginya syurga dan yang satu lagi kamu keji maka wajiblah neraka baginya
Wallahualam

Komentar Dr Asri tentang Perkauman

 

Sempitnya perkauman, luasnya prinsip Islam

Ini adalah beberapa petikan tulisan Dr Asri dalam Utusan Malaysia..

Terpulanglah, namun apa yang perlu diingat, perjuangan bangsa itu jauh lebih sempit dari perjuangan membela prinsip Islam yang bersifat sejagat lagi adil untuk semua. Tidak salah perjuangan ingin menolong bangsa sendiri. Namun adalah salah jika ia bertukar menjadi semangat perkauman yang boleh membawa kepada menzalimi pihak yang lain.

Maka perjuangan yang hanya terhad untuk membela sesuatu bangsa cuma, amatlah sempit dan terbatas. Ia perjuangan yang tidak dapat dikongsi kebaikannya oleh kaum yang lain sekalipun keadaan mereka sama. Umpamanya, perjuangan untuk membela fakir miskin bangsa tertentu tidak dikongsi kebaikannya oleh bangsa yang lain, sekalipun kemiskinan mereka itu sama. Bahkan kadang-kala ia boleh bertukar menjadi perkauman yang amat sempit dan mengorbankan pelbagai pihak atas sentimen kepuakan. Namun jika kemiskinan cuba dilangsaikan atas nama prinsip Islam, sesiapa saja yang miskin ada hak yang boleh diperoleh sedekah Islam – termasuk dari zakat wajib dan wang baitulmal walau siapa pun keturunannya, bahkan walaupun berbeza agama, selagi dia seorang miskin.

Maka, orang Melayu jika mereka hendak mulia, bukanlah dengan inang dan zapin, atau makyung dan joget, tidak juga institusi raja atau adat, tetapi menegakkan prinsip-prinsip Islam yang tulen. Bukan bererti saya menyeru agar dihapuskan identiti kaum, adat dan budaya mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Jika adat dan budaya tidak bertentangan dengan Islam boleh diteruskan. Namun, kemuliaan insan yang hakiki tidak dapat dicapai hanya di atas semangat puak atau bangsa, sebaliknya dengan menjunjung prinsip-prinsip Islam.

Kita bukan yang paling berjaya dalam ekonomi, tidak juga dalam pelajaran akademik. Bahkan politik Melayu pun dalam banyak keadaan telah mengorban bangsa sendiri. Orang lain berpolitik secara seni yang akhir mengaut untung untuk dibahagi sesama mereka. Sementara kita bertarung bermati-matian sesama sendiri sekalipun sehingga tergadai negeri dan kota. Kedengkian sesama sendiri, melebihi cemburu kita kepada ‘orang lain’. Ada pula yang diberi amanah, negara dijadikan modal untuk kocek sendiri, anak menantu dan juga segala macam kroni. Sementara yang hendak membaiki, ada pula yang sanggup menanggalkan prinsip perjuangan kerana melihat ‘kerusi idaman’.
Sementara Melayu yang menggunakan nama Islam pula, ada yang hanya menjadikannya modal kempen. Hari ini prinsip-prinsipnya pun sudah mula luntur. Dulu ada yang bukan main ekstrem sehingga saya pun diserang dan dituduh longgar. Hari ini ada di kalangan penceramah yang sedemikian yang kelihatan bukan sahaja longgar, tapi mungkin boleh terlondeh. Ada juga di kalangan semua itu yang benar-benar jujur, saya tidak nafikan.