Hadanah: Siapa berhak?

Baru-baru ini saya ada terbaca keratan New Strait Times tentang isu kes Patnamathan atau Mohd Riduan Abdullah, sungguh tidak disangka artikel tersebut ditulis oleh seorang ahli akademik pengajian Islam. Artikel tersebut menggelarkan Mohd Rizduan sebagai ‘bad muslim’ atau muslim jahat. Kerana apa ye? Kerana Mohd Ridzuan ingin menukarkan anak-anaknya kepada agama Islam. Seolah-olahnya tindakan Mohd Riduan tu salah…ermmm..

Umum mengetahui, Mohd Riduan telah memeluk Islam dan dia ingin menukarkan anak-anaknya kepada Islam. Namun keinginannya ditentang oleh bekas isterinya ketika agama Hindu dahulu. Dalam menyelesaikan isu ini, Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa agama anak-anaknya mestilah mengikut agama ketika ibu bapa itu berkahwin dahulu. Yakni mesti agama hindu…Yang saya sedihnya, orang Islam sendiri yang menulis artikel tersebut menyokong sekuat-kuat keputusan Jemaah Menteri. Katanya, berasaskan kepada theologi Islam, anak-anak itu tiada taklif kerana masih belum baligh. Islam mensyaratkan aqil dan baligh untuk menentukan taklif seseorang…

Ruangan ini saya ingin berkongsi berkenaan isu hak hadanah…Ini kerana dalam kes ini, hak hadanah amat penting untuk kita tentukan kepada siapa? Apakah kepada si ibu (yang masih hindu) atau bapa? Saya tidak mahu menjelaskan isu berkenaan Perlembagaan perkara 12(4). Cuma saya rasa perlu kita ketahui hukum hadanah yang disyariatkan Islam sangat bertepatan dengan maslahah dan maqasid menjaga kebajikan anak-anak tersebut. Iaitu kebajikan memelihara agama anak-anak. Inilah matlamat utama yang perlu diutamakan.

Apakah hadanah?
Dari segi istilah hadanah ialah menjaga anak-anak dengan mendidik mereka sehingga menjadi mumayyiz. Dalam mazhab al-Shafie ia disebut sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkannya kerana ia tidak mumayyiz lagi seperti kanak-kanak dan orang besar yang gila. Juga dengan mendidiknya (mendidik orang yang dijaga) dengan perkara yang memberin maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan, minuman dan sebagainya”. [Mughni al-Muhtaj 3/452]

Syarat Islam kepada hadinah (penjaga)

Antara syarat menjadi penjaga anak ialah Islam. Ini sebenarnya boleh difahami semua orang apabila merujuk kepada lima maqasid asasi tadi. Matlamat paling utama ialah hifz al-din, iaitu memelihara agama. Bagaimana matlamat tadi boleh dicapai sekiranya penjaganya bukan Islam?

Menurut para ulama, sekiranya bayi atau kanak-kanak itu muslim, maka disyaratkan penjaganya mestilah juga muslim supaya akidah dan agama kanak-kanak tersebut tidak terganggu. Dalam Radd al-Muhtar dijelaskan :

”Dan penjaga (ibu) yang zimmi sekalipun majusi, kemudian suaminya memeluk Islam, namun ia enggan menjadi muslimah, selama mana anaknya tidak mengerti akan hal agama (masih kecil), dan dianggarkan umur tujuh tahun kerana sah Islamnya ketika itu, atau dianggarkan sehingga umur dibimbangi ia boleh menjadi jinak dengan kufur seumpama dibawa bayi tersebut ke tempat ibadat mereka, maka mesti dicabut (hak hadanah) daripadanya sekalipun kanak-kanak tersebut tidak mengerti agama”. [Hashiyah Radd al-Muhtar:13/48].

Mazhab al-Shafie menyatakan dengan jelas tidak sabit hadanah kepada orang kafir untuk menjaga orang Islam, kerana tiada wilayah baginya ke atas orang Islam. Ini kerana juga hak hadanah dijadikan bertujuan untuk maslahah anak-anak, sedangkan tiada maslahah untuk anak muslim dalam penjagaan orang kafir. Oleh itu al-Muti’i, seorang cendekiawan Islam terkenal berkata :
”Dan tidak sabit (hadanah) kepada orang fasiq kerana ia tidak dapat menyempurnakan hak penjagaan itu, dan kerana hadanah dijadikan (disyariatkan) untuk menjaga (maslahah) anak sedangkan tiada bahagian (maslahah) bagi anak dalam penjagaan orang fasiq, kerana dibimbangi anak akan membesar mengikut caranya (orang fasiq), dan juga tidak sabit hak tersebut kepada orang kafir”. [takmilah al-Majmuk 18/320].

Mazhab Hanbali pula menyebutkan :

”Dan tiada hadanah kepada orang kafir ke atas orang Muslim, bahkan mudaratnya lebih besar, ini kerana ia boleh memberi fitnah kepada bayi tersebut dalam agamanya dan boleh mengeluarkannya daripada Islam melalui mengajarkannya akan kekufuran. Dan pada demikian semuanya menjadi mudafar ke atasnya”. [Kashshaf al-Qina’, 19/487].

Ini menarik perhatian kita terhadap isu yang berlaku hari ini di negara kita, dalam kes hak hadanah anak-anak bawah umur apabila salah seorang dari ibu-bapa yang asalnya non-muslim kemudian memeluk Islam. Menilai dari sudut maslahah dan maqasid syarie, boleh kita tegaskan bahawa maslahah menuntut agar hak penjagaan diberikan kepada orang Islam. Maslahahnya ialah untuk memelihara akidah dan agama bayi tersebut. Sekiranya diserahkan hak tersebut kepada non-muslim, ia dibimbangi membesar dalam keadaan kafir. Nauzubillah min zalik!

Bahkan situasi semasa dan tempat turut menyokong keadaan ini. Tidakkah fatwa itu mengikut masa dan tempat. Sejarah Umar al-Khattab r.a ketika pemerintahannya, pernah memutuskan satu kes terhadap Huzaifah bin al-Yaman agar beliau menceraikan isterinya yang beragama Yahudi sedangkan dalam Islam diharuskan lelaki muslim menikahi wanita yahudi atau nasrani. Mengapa Umar al-Khattab memutuskan hukuman ini? Tidak lain tidak bukan, maslahahnya ada pada zaman terserbut, iaitu agar wanita-wanita muslim tidak ditinggalkan begitu sahaja tanpa dinikai kerana masih ramai lagi wanita muslim yang belum berkahwin ketika itu. [Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in jil 3.].

Ya, ada pandangan yang mengatakan bahawa hak hadanah boleh diberikan kepada wanita kitabiyyah (yahudi atau nasrani). Tetapi janganlah alasan khilaf fiqhiyyah selalu digembar gemburkan apabila timbul sesuatu isu. Rujuklah kepada nas-nas syariat yang betul, yang menepati maslahah dan maqasid syarie. Sebenarnya, pandangan tersebut merupakan satu pandangan mengikut situasi ketika itu dan ia adalah situas yang amat berbeza dari sekarang. al-Kasani, tokoh mazhab Hanafi terkemuka, pernah mengemukakan pandangan ini : ”Sekiranya wanita yang menjaga bayi itu kitabiyyah dan anak pula adalah muslim, maka hak hadanah kekal padanya seperti seorang wanita muslim juga” [al-Bada’i al-Sana’i : 4/42]. Kenyataan ini sebenarnya bersesuaian pada zaman kekuatan umat Islam dan perundangan Islam menjadi tonggak sesebuah negara.

Ibn Hazm pernah menyebutkan :
”Dan ibu yang kafir maka ia berhak menjaga kedua-dua anak kecil sepanjang masa penyusuan. Selepas kedua-duanya sampai umur lepas susuan, boleh makan sendiri dan memahami, maka tiada lagi hak hadanah kepada orang kafir dan orang fasiq”.

Ibn Hazm menjelaskan alasan pendapatnya melalui firman Allah Taala :
Maksudnya : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan
[al-Maidah : 2],

Dan firman Allah Taala :
Maksudnya : Hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan,
[al-Nisa’ 135],

Dan juga firman Allah Taala
Maksudnya : Dan tinggalkanlah kamu dosa Yang nyata dan Yang tersembunyi
[al-An’am 120].
Justeru, membiarkan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan berlatih dari kecil mendengar kekufuran dan belajar mengingkari kenabian Muhammad s.a.w. sebagai Rasul sehingga tertanam subur kufur dalam jiwa mereka adalah termasuk dalam perbuatan bantu-membantu dalam dosa dan permusuhan bukan termasuk dalam bantu-membantu dalam kebaikan dan ketakwaan. Ia juga tidak termasuk dalam kategori meninggalkan dosa yang zahir atau batin. Sebaliknya ia adalah perbuatan haram dan maksiat. [Ibn Hazm, al-Muhalla, jil 10, hlm 323-324]

Hubungan bayi dengan ibubapa
Sekiranya salah seorang ibubapa bukan Islam, maka perlu diketahui hubungan bayi dengan ibubapa yang non-muslim tidak putus. Hal ini supaya bayi tersebut hidup dalam keadaan aman dan sejahtera dapat merasai kasih sayang ibubapa.

Jika, bayi tersebut berada dalam jagaan bapa atau ibu yang muslim, ia tidak bermaksud putus hubungan antara bapa atau ibu yang non-muslim. Hak sebagai seorang bapa atau ibu tetap ada. Ini dijelaskan oleh ulama seperti Ibn Qudamah : ”Anak selama mana berada dalam jagaan salah seorang ibubapa, maka ia tidak menghalang yang lain untuk melihat dan menjenguknya”. [Ibn Qudamah, al-Mughni jil 7, hlm 617]

Ini menunjukkan betapa Islam satu agama yang adil dan saksama. Islam tidak akan menzalimi sesiapa pun hatta dia itu non-muslim. Berbalik kepada isu kes Mohd Ridzuan Abdullah dan anak-anaknya. Pada pandangan saya, keputusan Jemaah Menteri perlu dinilai semula dan dikaji semula. Perlu ambil kira pandangan para ulama dan mufti serta NGO Islam di negara kita. Penjagaan anak-anak perlu diserahkan kepada yang Islam bagi menjaga matlamat hifz al-din yang diutamakan dalam perundangan Islam. Oleh itu, saya ingin memberi sumbangan nasihat ini kepada semua pihak yang bertanggungjawab menjaga maruah agama Islam dan umatnya. Mudah-mudahan ia dapat memberi manfaat kepada semua.

5 responses to “Hadanah: Siapa berhak?

  1. umat islam wajib peka terhadap isu sebegini.memelihara agama adalah tanggung jawab umat Islam. Bagi saya ustaz, kerajaan memang tidak sepatutnya tergesa-gesa memutuskan isu ini tanpa mengambil kira pandangan alim ulama serta ahli akademik. Keputusan kerajaan akan menjadi prejudis terhadap perbicaraan dalam kes tersebut yang masih belum selesai..
    Wallahualam..Sekadar pandangan

  2. Hubungan bayi dengan ibubapa
    Sekiranya salah seorang ibubapa bukan Islam, maka perlu diketahui hubungan bayi dengan ibubapa yang non-muslim tidak putus. Hal ini supaya bayi tersebut hidup dalam keadaan aman dan sejahtera dapat merasai kasih sayang ibubapa.

  3. assalamualaikum… bolehkah saya ingin bertanyakan 2 soalan yang sehingga kini saya masih musykil tentang hadanah….
    bergini…ibubapa seorang kanak2 ini telah bercerai pada tahun 2003 dan hasil perkhawinan mereka sebelum penceraian ialah 3 orang anak lelaki.selepas penceraian itu si ibu telah menyerahkan anak ke-3 nya kepada kakaknya untuk dijaga kerana mengalami masalah kewangan selepas penceraian itu.si bapa bertindak untuk membayar nafkah anak untuk 2 orang anak sahaja dengan ALASAN si ibu memberikan anaknya kepada orang lain dan enggan membayar apa2 pun nafkah anak untuk anak ke -3.dan pada masa itu seorang anak jumlah nafkah anak ialah RM300 seorang ( 2 orang anak berjumlah RM600 sebulan )
    kini pada tahun 2013,si bapa hanya membayar RM200 seorang anak sahaja dan masih tidak membayar nafkah anak untuk anak ke-3 nya.

    soalan :
    1.adakah berdosa jika si ayah tidak membayar nafkah ANAKNYA yang ke-3 itu dan apakah hukuman yang boleh dikenakan jika ianya bersalah?
    2.si ayah kini membayar RM200 sebulan ( SEMAKIN KURANG ). jika dilihat pada tahun 2003 dia mebayar RM300 seorang anak dan kini hanya membayar rm200 seorang anak.pembelanjaan dan keperluan anak semakin banyak mengapa si ayah membayar nafkah anaknya SEMAKIN KURANG…apakah telah berdosa dan apa hukuman yang boleh dikenakan jika si ayah didapati bersalah… sekian harap boleh dijawab…

    • Assalamualaikum wrt

      Sepatutnya, kes ini mestilah dirujuk kepada Mahkamah Syariah supaya lebih clear dan lancar.
      Mahkamah biasanya akan melihat status dan tahap kewangan seorang bapa. Oleh itu nasihat
      saya, elokkah sekiranya dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

      Walaubagaimanapun, seorang bapa tetap bertanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya tidak kira meskipun
      telah bercerai dengan si ibu. Ini kerana hubungan antara bapa dan anak tidak akan putus, maka segala hak\
      dan tanggungjawab masih kekal mengikut syariat.
      Wallahualam.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s