Ijtihad semasa

Dawabit Ijtihad dalam Memberi Fatwa Hukum Semasa

 

Pendahuluan

 

Ijtihad merupakan satu tugas penting dan ia menjadi matlamat utama dalam ilmu usul al-fiqh. Isu ijtihad ini banyak diperbahaskan oleh para ulama klasik dan moden. Terutamanya berkaitan keharusan berijtihad pada zaman sekarang dan hubungannya dengan kes-kes semasa. Tujuan mencapai tahap ijtihad adalah untuk melihat kemampuan seseorang mujtahid mencari hukum kes-kes semasa dan baru yang banyak timbul pada zaman sekarang. Justeru, ijtihad merupakan satu keperluan yang mendesak terutamanya pada zaman ini -zaman serba pantas, kepelbagaian bentuk kegiatan ekonomi yang kompleks dan peristiwa-peristiwa baru- bagi memberikan penyelesaian yang sesuai menurut syarak.

 

Definisi Ijtihad

 

Ijtihad dari segi bahasa bermaksud mencurahkan usaha dan tenaga. Biasanya perkataan ijtihad digunakan pada maksud kesungguhan dan kesukaran. Orang Arab berkata, berijtihad  untuk mengangkat batu besar, tetapi mereka tidak berkata, berijtihad untuk mengangkat biji tamar. (al-Shanqiti, Muzakkirat Usul al-Fiqh, hlm 526)

 

            Menurut istilah para ilmuwan usul al-fiqh, ijtihad ialah mencurahkan sepenuh usaha dan tenaga bagi mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum syarak melalui penelitian terhadap dalil-dalil syarak. (al-Jizani, Ma’alim Usul al-Fiqh Inda Ahl al-Sunnah, hlm 470). Melalui definisi ini, kita dapat mengetahui bahawa ijtihad memerlukan kepada curahan usaha dan tenaga bersungguh-sungguh. Bermakna seseorang yang hendak berijtihad dalam sesuatu masalah tidak boleh melakukannya dalam keadaan sambil lewa atau seperti melepaskan batuk ditangga. Tanggungjawab mengeluarkan hukum hendaklah dilakukan dengan penuh serius dan bersungguh-sungguh. Oleh kerana itu ijtihad hanya boleh dilakukan oleh orang yang pakar berkenaan dalil-dalil syarak dan mempunyai keupayaan mengistinbatkan hukum.

 

Definisi istilah di atas juga menunjukkan bahawa ijtihad lebih umum daripada qiyas. Ini kerana dalam ijtihad, seseorang perlu memberi fokus menyeluruh kepada dalil-dalil syarak, bukan setakat hanya membandingkan satu kes baru dengan kes yang telah ada hukumnya. Selepas fokus terhadap dalil tersebut, maka seseorang itu akan mengeluarkan hukum (istinbat) dan istinbat ini sama ada sehingga mencapai tahap yakin atau zan (sangkaan berat). Ijtihad yang dilakukan adalah merupakan pandangan seseorang, bermakna hukum hasil daripada ijtihad seseorang tidak seperti pensyariatan al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Dawabit Ijtihad Dalam Hukum Semasa

 

Hukum-hukum semasa atau nawazil adalah satu istilah yang biasanya merujuk kepada fatwa baru atau realiti yang berlaku pada zaman sekarang. Fatwa tersebut diistinbatkan oleh para mujtahid zaman sekarang setelah mereka tidak mendapati tiada hukum disebut oleh ulama-ulama dahulu. Berijtihad dalam hukum semasa atau kes baru adalah satu kepentingan dan kewajipan ke atas umat ini. Ia merupakan fardhu kifayah, dan boleh sampai ke tahap wajib atau fardhu ain bagi sesetengah orang yang mampu melakukan penyelidikan dan kajian.

Ini menggambarkan kepada kita betapa pentingnya ijtihad dilakukan pada zaman kini. Ijtihad ulama dapat membuktikan kemampuan syariat diaplikasikan pada setiap zaman dan menunjukkan bahawa syariat Islam adalah syariat yang kekal merentasi sepanjang zaman.

            Terdapat beberapa dawabit (prinsip atau syarat) penting perlu dipenuhi oleh mereka yang ingin berkecimpung dalam bidang ijtihad era kini.

 

Syarat pertama : Penyelidik hendaklah dikalangan orang berkelayakan untuk ijtihad

 

Seseorang yang ingin berijtihad hendaklah memiliki syarat-syarat yang disebut oleh para ulama usul al-fiqh berkaitan ijtihad (al-Namlah, al-Jami’ Li Masa’il Usul al-Fiqh, hlm 399-400; al-Shanqiti, Muzakkirat Usul al-Fiqh, hlm 527). Antaranya ialah :

           i.   Mengetahui dalil-dalil hukum syarak iaitu al-Qur’an, al-Sunnah, ijmak, qiyas, istishab, istihsan dan lain-lain dalil hukum.  Di samping itu, ia perlu mengetahui ilmu nasikh mansukh, asbab nuzul, permasalahan ijmak, khilaf dan termasuk status kesahihan suatu hadis. Dengan kata lain, seseorang yang ingin berijtihad perlu mempunyai pengetahuan mendalam berkaitan objektif syariat di mana beliau mampu memahami kehendak dan matlamat pensyariatan.

          ii.   Mengetahui bahasa Arab. Memadai tahap boleh memahami bahasa Arab.

        iii.   Pengetahuan mendalam berkenaan ilmu usul al-fiqh sehingga mempunyai kemampuan untuk mengistinbatkan hukum daripada dalil-dalilnya. Oleh itu, ia perlu mengetahui lafaz-lafaz am, khas, mutlak, muqayyad, nas, zahir, mu’awwal, mujmal, mubayyan, mantuq, mafhum, muhkam, mutashabih, lafaz perintah dan lafaz larangan.

        iv.   Mencurahkan segala usaha dan tenaga dalam mengkaji dan menyelidik.

 

Ini adalah syarat-syarat yang disebut oleh kebanyakan para usuliyyin. Dari sudut pandangan kita, barangkali kita mempersoalkan syarat-syarat yang disebutkan. Ini kerana amat sukar pada zaman sekarang  untuk mendapati seseorang yang sampai tahap ijtihad seperti di atas atau tahap mujtahid mutlak. Namun di sana ada konsep yang di namakan sebagai tajazzu’ al-ijtihad atau ijtihad pada bidang tertentu sahaja tidak pada bidang lain. (al-Jizani, Ma’alim Usul al-Fiqh, hlm 472). Paling kurang, ia adalah seorang yang mujtahid dalam permasalahan yang hendak dikaji atau bidang yang berkaitan dengan permasalahan tersebut. Dengan kata lain, sudah cukup jika ia merupakan seorang pakar dalam bidang kajian yang hendak dikaji sahaja walaupun tidak dalam bidang lain atau diistilahkan sebagai mujtahid juz’iyy.

 

Syarat kedua : Seseorang itu hendaklah mendapat gambaran dan kefahaman jelas dan tepat berkenaan permasalahan baru yang hendak dikaji

 

Oleh kerana itu, seseorang mujtahid perlu membuat kajian literature reveiw berkaitan permasalahan yang hendak dikaji. Maksudnya seseorang mujtahid wajar mempunyai pengetahuan mengenai realiti semasa berkaitan permasalahan kajian. Sebagai contoh, seseorang mujtahid yang ingin mengeluarkan sesuatu hukum mengenai masalah jual beli melalui internet, maka ia perlu mengetahui bentuk transaksi yang berlaku melalui internet tersebut. Justeru, seseorang mujtahid mesti mencurahkan segala usaha dan tenaganya sedaya mungkin untuk memahami gambaran permasalahan baru yang hendak dikaji hukumnya. Dalam satu kaedah fiqh (Ibn Najjar, Sharh al-Kawkab al-Munir, 1/17) :

الحكم على الشيء فرع عن تصوره

Maksudnya : “Menghukumkan sesuatu ialah satu cabang daripada menggambarkannya”

 

Syarat ketiga : Seseorang yang berijtihad mesti mencari sandaran hukum kepada sumber hukum yang muktabar

 

Sumber hukum tersebut sama ada nas al-Qur’an dan al-Sunnah, ijmak, qiyas, maslahah atau lain-lain dalil yang diiktiraf oleh ulama. Haram bagi seseorang menggunakan hawa nafsu tanpa dalil dalam membuat sebarang keputusan. Bahkan seluruh ulama telah ijmak tentang pengharaman berijtihad berdasarkan hawa nafsu dan tanpa dalil. Oleh kerana itu, perlu diwujudkan satu team ulama yang bebas dari sebarang pengaruh luaran. Ini supaya mereka boleh membincangkan isu-isu fiqh dengan bebas dari sebarang pengaruh seperti pengaruh politik, kepentingan individu dan sebagainya.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, dalam situasi semasa sekarang ijtihad perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Perkembangan teknologi yang pesat menuntut para ulama berijtihad dalam pemasalahan yang berlaku. Kemampuan ijtihad ulama membuktikan kelestarian syariat Islam dalam setiap zaman dan tempat. Walaupun syarat-syarat untuk berijtihad dirasakan agak ketat dan sukar dipenuhi, ulama tidak menafikan konsep tajazzu’ al-ijtihad. Maksudnya sesetengah orang hanya mampu berijtihad dalam satu bidang sahaja, tidak dalam bidang-bidang lain. Mungkin bidang-bidang tersebut boleh dikategorikan dalam bidang isu-isu pemikiran, ibadat, perkahwinan serta perceraian, seni, isu pemakanan, politik, perubatan, muamalat dan sebagainya. Mudah-mudahan ijtihad yang dilakukan oleh para ulama masa kini dapat menyelesaikan banyak permasalahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam secara khusus dan umat manusia secara umum.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s